Home Klik Di Bawah

Ahad, 11 Ogos 2013

Siapa Musuh Dalam Iman?


Siapa Musuh Dalam Iman? 
TANGGUNGJAWAB seorang Khalifah di muka bumi ini merupakan amanat bagi setiap insan di dunia yang penuh dengan cabaran dan dugaan, namun apabila kita mengemudi kehidupan dengan berlandaskan syariat yang betul, semua itu akan menjadi mudah.

Kita semua adalah khalifah yang bakal memerintah kehidupan seharian dari pelbagai ujian.

Firman Allah SWT maksudnya : “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Aku hendak menjadikan khalifah (pengganti, pemimpin atau penguasa) dibumi’ Mereka berkata; Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih, memuji-Mu dan mensucikan nama-Mu? Dia berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui’.” (Surah Al-Baqarah ayat: 30).
 


Sesungguhnya setiap ciptaan Allah adalah yang terbaik.

Sejarah penciptaan manusia bermula dengan penciptaan Nabi Adam a.s yang dicipta daripada tanah dan sejak daripada itu, iblis laknatullah tidak mahu menyembah Adam a.s kerana merasakan dirinya hebat yang dicipta daripada api.

Iblis laknatullah telah berjanji untuk menyesatkan anak Adam a.s supaya tersesat.

Sebagai hamba yang patuh kepada perintah Allah sudah tentu banyak cabaran dan dugaan yang di alami.

Dalam Al-quran, ada menyatakan tentang kemungkaran iblis untuk sujud kepada Adam, “dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun, dan (ingatlah) peristiwa ketika kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, lalu mereka sujud melainkan iblis, ia berasal dari golongan jin, lalu ia mernderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah  kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu.  Amatlah buruk bagi orang-orang yang zalim.” (Surah Al-kahfi:50)

Tak kenal maka tak benci adalah tentang kisah iblis laknatullah di mana ia ditugaskan untuk menyesatkan anak adam di muka bumi ini.

Parah jika kita tidak mengenali siapa sebenarnya iblis atau syaitan yang berusaha untuk sesatkan umat Islam khususnya.

Apa yang menjadi rebutan iblis adalah hati. Hati adalah sumber utama yang diinginkan oleh iblis untuk menghasut atau melalaikan anak Adam.

Tipu daya Iblis lahir dalam beberapa bentuk hasutan iaitu, yang paling berbisa ialah melalui bisikan, mngadakan permusuhan antara suami isteri, kawan-kawan dan sebagainya.

Selain itu juga, menurut ulama, tiga pintu utama adalah melalui, pintu syahwat atau keinginan nafsu. Kelalaian dan kejahilan juga adalah tipu daya yang amat berkesan pada zaman sekarang.

Iman adalah kekuatan bagi umat Islam yang bergelar manusia atau hamba Allah di muka bumi ini.
Sesungguhnya cara iblis laknatullah menyesatkan anak adam adalah daripada depan, belakang, kanan, kiri.

Namun bukan di atas, kerana atas adalah simbol kepada orang yang sentiasa berdoa.

Begitu juga di bawah, kerana ia adalah simbol orang yang sentiasa bersujud.

Orang yang berjaya menepis godaan syaitan adalah seorang hamba yang sentiasa memohon keampunan dari-NYA. Berfikirlah secara matang dan penuh dengan keinsafan dan hanya ingin mengagungkan cinta kepada Allah.

Godaan syaitan datang dalam pelbagai bentuk dan hanya dengan bisikan, insan yang lemah imannya akan mudah terikut dengan tipu daya iblis.

Musuh dalam Iman adalah bisikan dan godaan yang sedaya upaya untuk menyesatkan seseorang hanya dengan hati.

Hati yang sentiasa berdoa dan memohon keampunan insyaAllah akan terselamat dan sentiasa beristighfar kepada Allah S.W.T.

Perintah Allah harus dilakukan dan ditunaikan dalam hidup sebagai seorang insan yang beriman dan sebagai umat islam itu sendiri.

Manusia diciptakan untuk melakukan segala perintah Allah dan tinggalkan segala laranganNYA.

Seorang hamba yang kukuh imannya dan juga kuat, pasti tidak akan mensia-siakan hidupnya sebagai seorang Islam di muka bumi ini.
mynewshub

Tiada ulasan:

Catat Ulasan