Home Klik Di Bawah

Jumaat, 13 September 2013

Ramai ahli syurga kalangan orang miskin

Abu Abas, nama sebenarnya Sahal bin Sa’ad as-Sa’idi melaporkan: “Suatu ketika ada seorang lelaki lalu di hadapan Nabi Muhammad SAW. Rasulullah SAW bertanya kepada seorang sahabat yang duduk di sebelah beliau: Apa pendapat saudara berkenaan orang ini?

 “Sahabat itu menjawab: Orang ini ada kedudukan dan mulia dalam masyarakat. Demi Allah, sekiranya dia meminang memang patut pinangannya diterima. Sekiranya dia meminta supaya orang lain menyalurkan bantuan, memang patut permintaannya dipenuhi. 

“Nabi Muhammad diam saja. Kemudian seorang lelaki lain pula lalu. Nabi bertanya lagi kepada sahabat tadi: Apa pendapat saudara berkenaan orang ini? “Sahabat itu menjawab: Wahai pesuruh Allah, orang ini datang daripada golongan orang Islam yang miskin. Sekiranya dia meminang, memang patut pinangannya ditolak. Sekiranya dia meminta supaya orang lain menyalurkan bantuan, memang patut permintaannya tidak diendahkan.




Sekiranya dia bercakap, memang patut kata-katanya tidak didengari. “Nabi Muhammad pun menerangkan: Orang ini lebih baik sebanyak sepenuh bumi berbanding orang tadi.” (riwayat Bukhari dan Muslim) 

Abu Sa’id al-Khudri melaporkan: “Nabi Muhammad menerangkan, syurga dan neraka pernah bertengkar. Kata neraka: Orang perengus yang suka memaksa orang lain dan orang yang angkuh ada dalam syurga. Kata syurga: Orang yang lemah dan miskin ada dalam saya. “Allah pun meleraikan mereka, kata-Nya: Kamu syurga adalah rahmat kasih sayang-Ku. Denganmu nanti Aku merahmati sesiapa yang Aku inginkan. Dan kamu pula neraka, adalah azab seksaan-Ku. Denganmu nanti aku menyeksa sesiapa yang Aku inginkan. Aku pasti akan memenuhkan kamu berdua.” (riwayat Muslim) 

Usamah Zaid melaporkan, Nabi Muhammad menerangkan: “Saya berdiri di hadapan pintu syurga. Kebanyakan orang yang masuk ke dalamnya adalah orang miskin. Orang kaya pula masih ditahan untuk dikira amalan mereka, kecuali mereka yang memang ahli neraka, diarahkan masuk ke dalam neraka. Kemudian saya berdiri di hadapan pintu neraka. Kebanyakan orang yang masuk ke dalamnya adalah orang perempuan.” (riwayat Bukhari dan Muslim) 
Buku Riyadus Solihin Taman Orang Soleh
 http://bicarasantai2011.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan