Home Klik Di Bawah

Khamis, 17 Oktober 2013

Ajaib Sungguh Orang Yang Beriman!

Syukur & Sabar
Syukur & Sabar
Dari Abu Yahya Suhaib bin Sinan radhiAllahu `anhu bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ، فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ، صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Sangat ajaib keadaan seseorang yang beriman, sesungguhnya segala urusannya adalah baik, dan itu tidak terjadi kepada seseorang kecuali hanya bagi orang yang beriman. 
Jika dia mendapat kesenangan dia bersyukur, maka demikian itu kebaikan buatnya. Dan jika dia mendapat kesusahan, dia bersabar, maka demikian itu adalah kebaikan buatnya.”
(HR Muslim)



Mendapat kesenangan dimaklumi semua orang di planet bumi ini bahawa ia suatu kebaikan buat orang yang mendapatnya.  Manakala mendapat musibah adalah sebaliknya.  Iaitu ia suatu keburukan dan malang bagi sesiapa yang menimpanya.

Tetapi dalam Islam bukan begitu formulanya.

Dalam Islam, kesemua yang terbentang dalam kehidupan manusia adalah ujian buatnya.  Itulah prinsip yang mesti difahami oleh semua Muslim secara khususnya.  Prinsip ini banyak disebut di dalam Al-Quran.  Kehidupan di dunia ini adalah medan ujian untuk melihat manakah antara sekian banyak manusia yang berjaya menanganinya menurut iman dan taqwa.

Diberi kesenangan belum tentu ia suatu kebaikan kepadanya.  Kerana padanya ada ujian dari ALLAH `Azza wa Jalla.  Jika dia bersyukur, maka dia mendapat kebaikan.  Dan jika dia kufur, maka dia dalam kerugian, walaupun pada mata manusia dia mendapat kesenangan.

Begitu juga dengan musibah atau kesusahan yang menimpa seseorang.  Padanya juga adalah ujian.  Jika dia bersabar tatkala ditimpa musibah, kesusahan, kemalangan atau kegagalan, maka dia mendapat kebaikan dari sisi TUHANnya.  Sifat sabar tersebut merupakan sifat mulia yang ada nilainya di sisi ALLAH dan pastinya dicatit sebagai kebaikan oleh malaikat pencatat kebaikan.  Tetapi jika dia tidak bersabar, maka rugilah dia.

Sifat syukur tatkala mendapat kesenangan dan sabar tatkala mendapat kesusahan hanya ada pada orang yang mempunyai iman yang benar.  Orang yang beriman menjalani kehidupan di dunia ini dengan penuh sedar bahawa ia suatu ujian buatnya.  Dan dia juga sedar bahawa di dunia inilah medan untuknya memberatkan timbangan catitan kebaikan.  Maka atas kesedaran itulah, dia berhati-hati memilih responnya terhadap sesuatu perkara yang menimpanya.  Dia hanya memilih respon yang menguntungnya sahaja.  Iaitu meletakkan syukur dan sabar pada situasi yang sesuai.

Ya, ajaib sungguh orang yang beriman!  Walau apa pun yang menimpa mereka, mereka bisa mendapat kebaikan dan keuntungan.  Dan sifat ini hanya ada pada orang-orang mempunyai iman.  Yakni iman yang teguh terhadap ALLAH dan Hari Kiamat.

Kita minta kepada ALLAH `Azza wa Jalla agar DIA memasukkan kita ke dalam golongan orang-orang yang kukuh iman, supaya kita mendapat kebaikan dalam setiap perkara yang menimpa kita, lantas membesarkan peluang kita mendapat redhaNYA, rahmatNYA dan tempat yang baik pada Hari Akhirat kelak, amin…
- muzir.wordpress.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan