Home Klik Di Bawah

Jumaat, 22 November 2013

Kisah Seorang Remaja Yang Bercita – Cita Untuk Ke Syurga

Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha’labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta’labah.

Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha’labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha’labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha’labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.
 


“A’uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah…”

Rintihan Tha’labah
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha’labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha’labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.

Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha’labah beberapa hari namun Tha’labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha’labah dan beliau terjumpa Tha’labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.

Umar berkata “Tha’labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu.”

“Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka.” Kata Tha’labah dalam ketakutan yang amat sangat.

Oleh sebab Tha’labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha’labah, Tha’labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha’labah.
Tetapi Ta’labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, “kenapa wahai Tha’labah?”

“Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu,” kata Tha’labah.

“Apa yang kamu mahu Tha’labah?”

“Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah”

Cita-citanya hanya Syurga
 “Apa cita-cita kamu wahai Ta’labah?”
“Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku.”

Lalu Rasulullah s.a.w berkata, “wahai Tha’labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu.”

Tidak lama selepas itu, Tha’labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.

Ketika mayat Tha’labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha’labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha’labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya, “wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?”

Rasulullah menjawab, “kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha’labah ke kubur.”

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha’labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan.

Subhanallah!
nizarazu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan