Bagaimana
keadaan kita jika terlihat seekor lipan di hujung kaki tetapi kemudian
terpandang seekor harimau tidak berapa jauh daripada kita? Apakah kita
masih memikirkan bahaya lipan atau bahaya harimau?
Ya, tentu
sahaja kita akan berikhtiar untuk menyelamatkan diri daripada bahaya
harimau. Walaupun lipan dekat, tetapi gigitannya tidaklah seganas
cengkaman harimau.
Begitulah
perumpamaan antara bahaya nafsu dengan bahaya-bahaya yang lain. Nafsu
akan menyebabkan kita lebih rasa menderita. Bukan sahaja di dunia
tetapi juga di akhirat.
Malangnya, hal yang sepenting itu tidak
dititik-beratkan. Kejahatan hawa nafsu, sifat-sifat dan kaedah
melawannya hampir tidak pernah dibicarakan. Padahal, nafsu itulah
angkara segala kejahatan yang kita deritai kini. Sebut sahaja, apa
kejahatannya, pasti dalangnya adalah hawa nafsu.
Kita sibuk
memperketat kawalan, disiplin dan undang-undang tetapi membiarkan
puncanya berkembang subur dan membiak. Mampukah pagar yang rapuh
mengawal binatang buas yang bilangannya kian banyak dan tenaganya
semakin kuat?
Begitulah bandingannya undang-undang ciptaan manusia dengan kejahatan hawa nafsu.
Undang-undang walaupun sehebat mana pun tidak akan berkesan jika nafsu tidak dijinakkan terlebih dahulu.
Pagar itu akan diterjah dan rebah dipijak dan diinjak menyebabkan kita terpaksa membina pagar demi pagar, berulang-kali.
Kuasai Nafsu, Kuasai Dunia
“Jika kita menguasai diri, kita akan menguasai dunia,” demikian kata cerdik pandai.
Tetapi bagaimana pula kalau kita gagal menguasai diri? Ya, pasti kita pula yang akan dikuasai dunia.
Jika
demikian amat buruk akibatnya lantaran dunia itu adalah ‘hamba’ yang
baik tetapi ‘tuan’ yang sangat jahat. Orang yang berjaya adalah orang
yang gigih mencari kebaikan dunia tetapi selamat daripada tipuannya.
Firman Allah: “Sesungguhnya tiadalah kehidupan dunia itu melainkan mata benda yang menipu daya.” (Surah al-An’am 6: 32)
Al-kisah,
seorang raja sedang menaiki kuda dengan angkuhnya. Dia terserempak
dengan seorang petani yang soleh sedang berjalan kaki. Raja pun
bertanya, “siapa kamu?”
Petani yang soleh itu menjawab, “aku seorang raja.”
Raja tertawa, kemudian terus berkata dengan nada menyindir, “raja kerajaan mana?”
Petani menjawab, “raja untuk kerajaan diriku.”
Raja terdiam. Dan kemudian petani itu pula bertanya, “adakah tuanku menjadi raja kepada diri sendiri?”
Raja terus terdiam kerana faham maksud kata-kata petani yang soleh itu.
Begitulah
dalam kehidupan kita sehari-hari. Ramai orang besar yang hakikatnya
hanya insan kerdil kerana tidak mampu melawan hawa nafsunya.
Kuasa,
ilmu, harta dan nama yang tersohor tidak membawa makna dan kebahagiaan
dalam hidup sekiranya hidup diperkotak-katikkan oleh hawa nafsu.
Hal
ini kerana nafsu itu sifat tabiinya hanyalah mengarah kepada
kejahatan. Maka hidup seseorang yang dikuasainya hanya akan penuh
dengan kejahatan. Jika demikian, mana ada ketenangan dan kebahagiaan?
Tidak ada kebahagiaan bagi manusia yang tenggelam dalam kejahatan.
Dikuasai
dunia maksudnya, diri kita akan didorong oleh sesuatu yang berbentuk
kebendaan, kemasyhuran dan jawatan dalam apa jua fikiran dan tindakan.
Ketika itu kita gagal memperalatkan dunia sebaliknya dunialah yang
memperalatkan kita.
Akibat gagal menguasai dirilah kebanyakan manusia sangat cintakan dunia.
Selain
itu cintakan dunia akan menyebabkan manusia cenderung melakukan
kejahatan. Sebab itu masyhurlah kata-kata popular dalam kalangan
ahli-ahli tasawuf; cinta dunia itu adalah kepala segala kejahatan.
Apabila
semua itu terjadi, manusia tidak lagi layak menjadi hamba Allah. Oleh
sebab itu, untuk menjadi hamba Allah manusia mestilah menguasai
dirinya.
Inilah yang dibimbangkan oleh Syeikh Ibn Ataillah dalam al-Hikam menerusi katanya:
“Bagaimana
akan terang hati seseorang yang segala gambaran dunia itu terpahat
dalam cermin hatinya? Atau bagaimanakah dia akan mengembara menuju
kepada Allah padahal ia terbelenggu oleh nafsu syhawatnya?”
Manusia Dan Mujahadah
Seterusnya,
apakah yang dimaksudkan dengan menguasai diri? Jelas maksud menguasai
diri ialah menundukkan nafsu jahat yang ada di dalam diri bagi
membolehkan kita melakukan perintah Allah dan meninggalkan
larangan-Nya. Sedangkan nafsu itu sebahagian daripada diri kita yang
sentiasa ingin menghancurkan diri kita.
Berhubung dengan melawan hawa nafsu ini Imam al-Ghazali menyebutkan tiga tingkatan manusia dalam usaha memerangi hawa nafsunya:
1. Telah menyerah kalah.
Golongan
ini tergolong dalam mereka yang dikuasai sepenuhnya hawa nafsunya dan
tidak dapat melawannya sama sekali. Ini merupakan keadaan majoriti
manusia. Mereka ini telah mempertuhankan hawa nafsunya. Firman Allah:
“Maka, pernahkah kamu melihat orang yang telah menjadikan hawa nafsunya
sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.”
(Surah al-Jatsiyah: 23)
2. Sedang dan sentiasa berperang.
Golongan
ini terdiri daripada mereka yang sentiasa dalam bertarik tali berlawan
dengan hawa nafsu. Adakalanya dia menang dan ada kalanya kalah.
Insya-Allah, inilah orang yang sedang berjuang (mujahadah). Mereka ini
menunaikan apa yang diperintahkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui
sabdanya yang bermaksud: “Berjuanglah kamu melawan hawa nafsumu
sebagaimana kamu berjuang melawan musuh-musuhmu.”
3. Orang yang telah menang.
Golongan
itu terdiri daripada mereka yang berjaya menguasai sepenuhnya hawa
nafsunya. Mereka ini terpelihara daripada berbuat dosa dan maksiat
kecuali sangat sedikit melakukan maksiat. Perjuangan menentang hawa
nafsu adalah satu bentuk perjuangan jangka panjang. Perjuangan ini
hanya akan berakhir dengan kematian. Sikap waspada dan sentiasa siapa
siaga amat diperlukan setiap masa.
Erti Mujahadah dan Kepentingannya
Melawan
hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah
wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah.
Demikian yang
dapat difahami daripada kaedah, “tidak sempurna sesuatu yang wajib
melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib.”
Berdasarkan
itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa.
Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak
nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah:
“Dan adapun
orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri
daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya” (Surah
al-Naziat: 40-41)
Melawan hawa nafsu juga adalah syarat untuk mendapat pimpinan Allah.
Kepentingan melawan hawa nafsu ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah s.a.w. menerusi sabdanya:
“Tidak
beriman salah seorang antara kalian hingga hawa nafsunya mengikuti apa
yang aku bawa.” Baginda juga bersabda: “Seorang mujahid (iaitu seorang
yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah.”
Mujahadah bermaksud berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu.
Istilah
“mujahadah” berasal daripada kata “al-jihad” iaitu berusaha segala
kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini benar.
Dengan kata yang lain, seorang yang bermujahadah dengan rela
meninggalkan apa yang disukainya demi memburu sesuatu yang diyakininya
benar, baik dan betul.
Inilah maksud kata-kata Imam al-Ghazali:
“Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan
perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama
ada dalam aspek zahir atau batin.”
Selain itu ilmu, taktik dan
strategi melawan hawa nafsu wajib dipelajari. Bahkan kita tidak akan
menang jika dalam menempuh jalan mujahadah hanya dilakukan dengan
semberono. Malangnya, ilmu tentang mujahadah ini seolah-olah terpinggir
pada masa kini. Manakala strategi melawan hawa nafsu hampir tidak
dibicarakan lagi.
Ironinya, jika dengan musuh zahir yang
jarang-jarang kita berdepan dengannya, kita sanggup membelanjakan
jutaan ringgit untuk membeli kelengkapan perang dan sejata, mengorbankan
banyak masa dan tenaga untuk persiapan berperang, tetapi dengan hawa
nafsu yang setiap detik kita berperang dengannya, mengapa ambil tidak
indah sahaja.
Sedangkan nafsu ini adalah musuh yang paling
berbahaya, yang sepatutnya lebih diberi perhatian serius. Rasulullah
s.a.w. bersabda:”Orang yang kuat bukanlah orang yang dapat mengalahkan
musuhnya tetapi dapat menguasai marahnya.”
Prinsip Asas Dalam Melawan Hawa Nafsu
Berikut
tiga prinsip asas kaedah melawan nafsu. Tiga kaedah ini telah
digariskan oleh ulama pakar dalam meneliti perjalanan hati dan nafsu
manusia. Dalam kitab Minhajul Abidin misalnya, Imam Ghazali telah
menggariskan tiga prinsip asas berikut:
1. Menahan atau menyekat sumber kekuatannya.
Nafsu
yang diumpamakan kuda yang liar itu boleh dijinakkan dengan syarat
ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal
dengan menahan makan (berpuasa).
Oleh sebab itulah dalam Islam
kita diwajibkan berpuasa sebulan dalam setahun. Dan digalakkan juga
berpuasa sunat hari-hari tertentu. Malah mereka yang belum mampu
berkahwin, nabi Muhammad s.a.w. menganjurkan mereka menjinakkan nafsu
seks dengan berpuasa.
Selain menahan perut daripada banyak makan,
ada lagi beberapa sumber kekuatan nafsu yang perlu disekat. Antaranya,
menahan pandangan (mata) daripada yang haram, telinga daripada
mendengar sesuatu yang berdosa, mulut daripada berkata-kata yang
dilarang, hati daripada sifat-sifat mazmumah dan lain-lain.
Semua
ini perlu diketahui dengan cara belajar. Ilmu yang berkaitan dengan
menjaga pancaindera inilah yang dimaksudkan dalam ilmu tasawuf sebagai
akhlak. Hukum mempelajarinya, fardhu ain bagi setiap mukhallaf.
2. Membebankan nafsu itu dengan ibadah.
Setelah
nafsu yang diumpamakan sebagai kuda liar itu disekat sumber
kekuatannya, langkah seterusnya ialah dengan dibebankan ibadah tertentu
terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat.
Solat
terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk
‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat lima waktu tetapi solat malam
(qiamulalil) sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu.
Begitu
juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca al-Quran serta
wirid-wirid tertentu (yakni yang bersumberkan al-Quran, hadis-hadis
sahih dengan tunjuk ajar dan didikan syeikh atau guru yang benar serta
mendapat petunjuk (mursyid).
Begitu juga dengan amalan sedekah,
kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok
pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa
letih untuk melakukan kejahatan.
Ingatlah nafsu itu tidak pernah
puas dan kehendanya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat
menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan
dibatasi oleh rasa puas.
3. Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskannya.
Usaha menentang hawa nafsu hendaklah dimulakan, diiringi dan disudahi dengan berdoa kepada Allah.
Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu).
Bahkan,
usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan
membentuk komunikasi dan interaksi yang harmoni dengan Ilahi.
Hubungan
ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang
payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita
dambakan. Malah inilah pesan Rasululllah
s.a.w. kepada Muaz bin Jabal
dengan katanya:
“Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu. Maka
selepas kau mengerjakan solat jangan sekali-kali
kau lupa berdoa kepada
Allah dengan doa ini:
“Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk mmperbaiki ibadah kepada-Mu.”
Banyak lagi doa-doa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bermujahadah melawan hawa nafsu ini. Antara doanya itu ialah:
“Ya
Allah ya Tuhanku, berilah aku taqwa, dan bersihkanlah diriku.
Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang membersihkan. Engkaulah
pelindungku dan pemimpinku.”
Langkah-Langkah Jalan Mujahadah
Langkah-langkah tersusun untuk melawan hawa nafsu seperti berikut:
1. Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.
Belajar mengenai sifat-sifat mahmudah dan mazmumah (ilmu akhlak atau tasawuf) adalah wajib.
Kita
mesti mendapat ilmu yang digali daripada al-Quran dan Sunnah untuk
mengetahui sifat-sifat nafsu, angkara kejatannya dan bagaimana
melawannya. Para ulama telah mempermudahkan ilmu-ilmu ini mengikut
kategorinya tersendiri.
2. Membina kesedaran dan keazaman yang tinggi.
Tidak
cukup dengan mempunyai ilmu sahaja tanpa kesedaran dalam hati dan
keazaman yang kuat untuk mengamalkannya. Bagaimana jika kita hanya ada
senjata (ilmu) tetapi tidak ada keingininan yang kuat untuk
mngamalkannya apabila diserang musuh?
Ilmu bukan untuk pengetahuan dan kefahaman semata-mata, tetapi yang lebih penting untuk diamalkan.
3. Mempraktikkan ilmu.
Inilah tahap yang paling sukar tetapi inilah tahap yang paling penting.
Perkara
ini memerlukan satu iltizam yang kuat dalam diri kerana apa yang
disukai nafsu adalah juga yang disukai oleh diri kita sendiri. Ramai
orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan
ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.
Semua itu kerana mereka belum ‘mahu’, dan baru sekadar ‘tahu’.
Pengetahuan
itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan
mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktikkan ilmu
barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh
sebab itu ‘tahu’ tempat letakkannya di akal tetapi ‘mahu’ itu letaknya
di hati.
4. Terus melatih diri dan bersifat konsisten melawannya.
Ramai
juga orang yang telah tahu dan mahu melakukan kebaikan dan
meninggalkan kejahatan, tetapi tidak lama, mereka berpatah semula ke
belakang. Bak kata peribahasa Melayu sekadar “hangat-hangat tahi ayam”.
Mereka tidak berdaya untuk konsisten (istiqamah) dalam kebenaran.
Apa yang perlu ialah latihan yang berterusan agar tahap pengetahuan dan kemahuan itu diteruskan hingga ke tahap kemampuan.
Imam
Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa.
Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan
secara bertahap-tahap.
Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu
dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda
Rasulullah s.a.w.:
“Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit.”
“Alah
bisa, tegal biasa,” begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan
untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan
dan kebajikan.
Sampai ke tahap ini, nafsu itu akan menjadi tenaga
penggerak atau kenderaan (kuda tunggangan) kepada manusia. Umpama,
racun pada ular senduk – di situ ada racun, di situlah juga ada
penawarnya.
Sebab itu ditegaskan berkali-kali bahawa nafsu itu bukan untuk dihapus tetapi untuk diurus.
Jika diuruskan dengan baik, nafsu akan membawa kepada kemajuan rohaniah dan material dalam kehidupan.
Nafsu
seks yang diurus melalui pernikahan yang sah, akan memberi ketenangan,
keberkatan dan rahmat dalam diri suami dan isteri. Ia juga meneruskan
kesinambungan zuriat yang akan menjadi tenaga penggerak kepada
pembangunan ummah.
Begitu juga nafsu makan yang terurus, akan
memberi tenaga untuk beribadah dan menyebabkan terbentuknya jaringan
perniagaan, industri makanan, hub halal, inovasi dan teknologi makanan
dalam bidang bioteknologi dan sebagainya.
Manusia yang dibekalkan
dengan unsur nafsu inilah yang menjadi sebab mereka dilantik menjadi
khalifah di muka bumi – bukan malaikat, kerana dengan nafsu makmurlah
muka bumi ini dengan pembangunan yang bersendikan hukum Allah.
Sebaliknya,
malaikat tidak mempunyai potensi ini kerana mereka sepi daripada
sebarang keinginan dan rangsangan. Namun, jika nafsu tidak terurus
manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk
nafsu tanpa akal).
Jangan menoleh ke belakang… tempuhlah jalan mujahadah.
Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah.
Tidak ada jalan pintas!
iluislam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan