MANUSIA perlu didengar cakap dan suara hatinya seperti mana dia perlukan makanan. Tanpa makanan,
badan tidak akan sihat dan bertenaga. Maka begitulah juga manusia yang
cakapnya tidak didengar, jiwa dan perasaannya akan sakit dan terdera.
Sehubungan
itu, untuk membina dan mengekalkan hubungan cinta, maka jadilah
pendengar yang baik pada pasangan kita. Sebab itu ada ungkapan yang
berbunyi: “The first duty of love is to hear” (tanggungjawab pertama
cinta ialah mendengar).
Kekasih
yang baik ialah seorang pendengar yang baik. Soalnya, bila kali
terakhir kita menjadi pendengar yang baik kepada pasangan kita? Ketika
kita pulang dari kerja atau musafir, kita memilih menjadi pendengar
kepada isteri yang ditinggalkan di rumah atau sebaliknya?
Mungkin,
banyak yang ingin diceritakan atau disuarakan oleh isteri yang berada
di rumah, namun kita menjadi ‘tuli’. Kononnya cerita atau masalah di
pejabat atau sepanjang permusafiran kita, jauh lebih besar dan penting
daripada apa yang dialami isteri di rumah.
Demikian
juga di pihak suami, kadangkala ia ingin juga meluahkan rasa hatinya
kepada isterinya melalui cerita. Tetapi bila didapati isterinya asyik
membebel atau merungut, lalu lidah dan hatinya terkunci untuk bercerita.
Kekadang raut wajah dan mimik muka kita menjadi penghalang untuk
pasangan kita memperdengarkan suara hatinya.
Kita
tidak bercakap tetapi ‘bahasa badan’ atau ‘ayat mata’ kita seolah-olah
memberi amaran: “Jangan ganggu saya. Saya letih!” Esok, lusa dan
hari-hari seterusnya begitu juga. Lama kelaman pasangan kita kehilangan
suara. Dia tidak akan bercakap lagi. Dan lebih malang lagi, apabila dia
berpaling kepada pihak ketiga yang lebih sudi mendengar.
Beza Antara Empati dan Simpati
Mendengar
dengan jiwa akan melahirkan empati. Mendengar dengan telinga akan
melahirkan simpati. Apa bezanya simpati dan empati? Empati bererti kita
merasai suara hati yang diperdengarkan dan tidak diperdengarkan oleh
pasangan kita.
Manakala simpati hanya memahami apa yang diperdengarkan melalui ayat dan kata-kata. Empati
akan memperkukuhkan cinta, kerana cinta itu hakikatnya berkongsi rasa
bukan sekadar berkongsi kata. Suami atau isteri yang baik akan menjadi
pendengar yang baik kepada cerita,
berita, luahan rasa pasangannya. Walaupun mungkin yang diperkatakan itu
sudah berkali-kali dan kerap kali ‘diulang tayang’… tetapi kekasih yang
setia tidak akan jemu-jemu mendengarnya.
Jika
anda pulang ke kampung, dan duduk di sebelah ibu bapa yang telah tua,
bukankah selalu anda ‘diperdengarkan’ dengan cerita yang sama? Bagaimana
reaksi anda? Ya, anak yang baik akan terus mengangguk-angguk,
mengiyakan dan tersenyum dengan cerita ‘lapuk’ ibu bapanya. Maka
begitulah seorang suami, guru, pemimpin yang baik – sentiasa menjadi
pendengar yang baik kepada isteri, pelajar dan pengikut-pengikutnya.
Walaupun mendengar lebih ‘pasif’ daripada berkata-kata tetapi untuk
mampu mendengar sebenarnya lebih sukar daripada berkata-kata.
Anda
pernah melihat orang yang asyik ‘memonopoli’ sesuatu perbualan? Lepas
satu, satu ceritanya. Dia tidak memberi peluang langsung kepada orang
lain untuk bercakap. Seolah-olah dia
berkata: “Kau diam. Dengar sahaja apa yang aku cakap!” Atau belum
sempat orang lain bercakap, dia pun segera memotong percakapan itu. Apa
tanggapan kita terhadap orang begini? Ya, tentu sahaja negatif.
Mendengar lebih sukar kerana ia bererti “memberi perhatian, hati dan
perasaan”. Hanya orang yang pemurah sahaja sanggup berbuat demikian.
Orang yang bakhil tidak akan sanggup. Si bakhil tidak akan sanggup
memberi tumpuan, perhatian dan hatinya kepada orang lain.
Demikian dengan orang yang bersifat ego, ia tidak sanggup mendengar ucapan orang lain, walaupun yang berguna. Dengan bercakap dan terus bercakap, dia ingin terus mendapat perhatian. Dalam suatu bentuk perhubungan, terutamanya dalam hubungan cinta… sikap memberi akan menyatukan. Sebaliknya, sikap hanya ingin menerima akan memisahkan.
Mendengar dan Mengasihi Allah
Tuhan
yang maha mendengar adalah Tuhan yang maha mengasihi hamba-hambaNya.
Untuk mengasihi, Allah mendengar. Sebab itu antara nama-nama Allah yang
baik (Asma’ ul-Husna) ialah al-Sami’. Allah Maha mendengar rintihan, doa
dan pengaduan hamba-hambaNya.
Tanpa
mengira sesiapa, bila dan di mana jua, Allah mendengar doa
hamba-hambaNya. Allah memakbulkan permintaan, memenuhi harapan. Allah
tidak jemu-jemu mendengar sayangnya, kita yang sering jemu
memperdengarkan. Jadi, sekarang kita seharusnya sedar mengapa Allah
wajar dijadikan Kekasih Awal dan Akhir… kerana Dia maha mendengar!
Contohilah
sifat Allah yang Maha Mendengar untuk menjadi kekasih yang baik.
Rendahkanlah hati, kurangkanlah kepentingan diri dan tekan rasa ego agar
tidak menjadi orang yang ‘tuli’ dalam bercinta. Mungkin itulah
hikmahnya mengapa Allah ciptakan untuk kita dua telinga dan satu mulut.
Tuhan mendidik kita agar lebih banyak mendengar daripada berkata-kata.
Jangan bosan mendengar apa yang diperkatakan oleh pasangan kita, kerana siapalah kita berbanding
Allah? Tuhan Yang Maha Agung itu pun masih terus-terusan sudi mendengar
rintihan hamba-hambaNya yang berulang-ulang. Jadi, apabila pulang dari
kerja, atau kembali dari musafir nanti… ketika si dia anda menunggu di
depan pintu dengan cerita, rintihan atau luahan hatinya, maka
dengarkanlah. Lakukanlah tugas cinta yang pertama, jika anda benar-benar
cintakannya dengarkanlah. Pandang matanya, belai tangannya, sapa
rasanya dengan rasamu. InsyaAllah, dengan mendengar anda seolah-olah terus berkata-kata: “Aku tetap setia, aku tetap cinta!”
Pahrol Mohd JuoiSumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3
http://www.addeen.my/porta
Tiada ulasan:
Catat Ulasan