ISLAM sebuah agama yang berlandaskan ilmu dan bukan sekadar teori
mahupun falsafah semata-mata. Umat Islam zaman-berzaman diperintahkan
untuk mendalami ilmu agar menjadi seorang Muslim yang sejati.
Ia bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Allah akan
meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu dan orang yang
diberi ilmu pengetahuan agama beberapa darjat. (al-Mujadalah: 11)
Oleh itu, umat Islam hendaklah menuntut ilmu berkaitan syariat Islam
sebelum mampu beramal dengan baik. Wahyu pertama yang diturunkan oleh
Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ialah Iqraâ, yang bermaksud bacalah
daripada surah al-Alaq yang merupakan ayat fiâil amar (kata perintah)
yang memberi maksud umat Islam perlu sentiasa membaca dan menuntut
ilmu.
Ayat ini didahulukan daripada perintah dan kewajiban yang lain
seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. Ini menunjukkan betapa
pentingnya membaca dan menuntut ilmu kerana ibadah tidak akan dapat
dilakukan tanpa ilmu mengenainya.
Allah SWT berfirman dalam surah az-Zumar ayat kesembilan:
Katakanlah, adakah sama orang yang berilmu dengan orang yang tidak
berilmu? Al-Quran turut memerintahkan umat Islam agar sentiasa berdoa
memohon kepada Allah SWT supaya diberikan ilmu dan kefahaman. Firman
Allah yang bermaksud: Janganlah kamu tergesa-gesa (membacakan) al-Quran
sebelum ia selesai diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan katakanlah:
Ya Rabbku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan. (Taha: 144).
Ibnu Kathir di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa Rasulullah SAW
sentiasa memohon kepada Allah SWT agar ditambahkan ilmunya sehinggalah
baginda wafat. Jika seorang nabi sentiasa berdoa agar diberikan ilmu,
maka kita sebagai manusia biasa hendalkah lebih memohon diberikan ilmu
dan kefahaman.
Islam mengangkat nilai ilmu ke suatu posisi yang tinggi, sama ada
ilmu berkaitan dengan syariat Islam atau ilmu duniawi. Kedua-dua cabang
ilmu ini penting untuk kehidupan seorang Muslim di dunia dan akhirat.
Selain menjadi aset manusia di dunia, ilmu juga menjadi saham yang terus
mengalir walaupun telah meninggal dunia.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda
maksudnya: Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia maka terputuslah
semua (pahala) amalannya kecuali sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat
dan anak soleh yang selalu mendoakan untuknya. (riwayat Muslim)
Umat Islam yang berilmu bukan sahaja mendapat manfaat kepada dirinya
sendiri, bahkan turut memberi manfaat dan kebaikan kepada orang lain.
Begitu juga jika umat Islam jahil, ia bukan sahaja memberikan keburukan
kepada dirinya bahkan mungkin akan memudaratkan orang lain atas
kejahilan dirinya.
utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan