Kisah Pakcik Jual Laksa Beras
Suatu hari sedang saya membersihkan halaman, lalu seorang penjual
laksa beras, menaiki motorsikal mengelilingi kampung. Oleh kerana
matahari telah makin merendah selepas asar, saya pun berhenti rehat.
Apabila nampak penjual laksa beras lalu, saya pun memanggil untuk merasa
laksa berasnya. Baru kira-kira satu bulan saya dan keluarga berpindah
ke kampung ini, bertugas sebagai inspektor menjaga parit dan saliran.
Saya melaung bertanya kepada isteri dan anak-anak, adakah mereka juga
turut ingin makan laksa beras. Isteri dan anak-anak 4 orang juga
inginkan laksa beras. Bermakna saya pesan 6 pinggan laksa beras. Dengan
menggunakan ukuran mangkuk standardnya laksa dihidang dalam mangkuknya
dahulu sebelum dituang ke pinggan yang pelanggan sediakan.
Zaman ini, kebanyakan penjual laksa beras bermotorsikal tidak perlu
bawa banyak mangkuk atau plastik bungkus. Cukup sebuah mangkuk yang
dibawanya untuk jadi ukuran yang sama setiap pinggan yang dipesan
pelanggan. Semua yang membeli laksa beras perlu membawa pinggan atau
mangkuk sendiri ke motor pakcik jual laksa itu berhenti.
Setelah membeli laksa beras, pelanggan akan makan di dalam rumah
masing-masing bersama keluarga. Cara ini telah menyelamatkan alam
sekitar, tidak ada pelupusan bahan plastik atau pembaziran bekas.
Setelah membayar harga bagi 6 pinggan laksa beras, saya melihat
penjual itu membahagikan duit yang saya bayar kepada 3 tempat. Duit itu
di bahagi 3, 1/3 ke dalam dompet, 1/3 ke dalam laci duit dan 1/3 ke
dalam bekas seperti tabung.
Melihat keadaan itu, menjadikan saya teruja ingin tahu kenapa duit-duit itu diasingkan. Maka terus saya bertanya, “Pak cik kenapa pakcik asing-asingkan duit tersebut?”
Pakcik itu pun menjawab, “Duit yang masuk dompet digunakan untuk
perbelanjaan perniagaan dan keluarga, duit yang masuk tabung untuk
simpanan penyempurnaan agama dan duit yang masuk laci untuk infak.
Dalam setiap rezeki yang kita perolehi, ada hak orang lain juga.
Walaupun sikit, kita wajar berbagi sama. Saya menggilirkan wang itu
antara beberapa surau dan masjid. Atau untuk rumah anak yatim juga.
Selama lebih 20 tahun saya berniaga laksa beras, dari berbasikal,
sekarang sudah bermotorsikal, setiap tahun saya dapat melaksanakan
ibadah korban walaupun cuma 1 ekor kambing yang sederhana besar.
Alhamdullilah, saranan agama, walaupun sunat, ia dapat dilakukan. Setiap
hari saya mula berniaga dari pukul 11.00 pagi. Apabila tiba di
mana-mana kampung, menjelang waktu solat sama ada zohor atau asar, saya
akan berhenti untuk solat berjemaah di mana-mana surau kampung
berkenaan. Saya tidak akan lupa memasukkan sedikit hasil jualan laksa
beras ini walaupun sedikit.
Walaupun cuma menjual laksa beras, saya tetap dapat mengerjakan solat
di awal waktu secara berjemaah. Dapat menginfak wang hasil jualan laksa
beras untuk dikongsi dengan orang lain. Saya suka berniaga mengelilingi
kampung dan berhenti solat di mana-mana surau atau masjid yang ditemui
menjelang waktu solat. Saya pernah dengar tuan guru kata, nanti di
mahkamah akhirat, bumi dan hari akan menjadi saksi. Maka nanti bumi akan
berkata, si polan pernah solat di sini, di sini, di sini. Hari Isnin
sipolan solat di masjid ini, hari Selasa kata si polan solat di surau
ini.Dan seterusnya. Saya tidak kaya, tidak punya harta yang banyak untuk
melaksanakan zakat atau wakaf, namun saya tetap bersedekah ikut rezeki
yang Allah berikan kepada saya setiap hari.
Duit dalam tabung pula sebagai simpanan untuk menyempurnakan rukun
Islam. Islam terdiri dari 5 rukun, mengerjakan haji adalah rukun ke 5.
Adakah solat itu sempurna jika rukunnya tidak sempurna? Saya merasakan
islam saya tidak akan sempurna jika rukunnya saya tidak sempurnakan.
Oleh itu saya mahu berusaha menyempurnakan rukun Islam ke 5 iaiatu
mengerjakan haji. Jika tidak menabung, bagaimana mungkin saya dapat
mengerjakan haji kerana ia memerlukan biaya yang besar.”
Terpegun saya dengan jawapan yang diberikan oleh seorang penjual
laksa beras ini. Seorang penjual laksa beras, mempunyai misi dan visi
yang jelas sebagai seorang islam.
“Pakcik, bukankah mengerjakan haji bagi yang mampu saja, jika tidak mampu kita tidak dituntut untuk mengerjakannya.”
“Bagaimana boleh mampu jika kita tidak usaha menuju ke arah mampu.
Jika tidak menabung, bagaimana mungkin akan mampu mengerjakan haji suatu
hari nanti? Mampu itu kita sendiri yang tentukan. Adakah selamanya kamu
mahu hidup miskin jika kamu tidak usaha menjadi kaya dengan menabung
sedikit-sedikit mengumpul modal bagi meluaskan perniagaan?”
MasyaAllah, begitu jelas sekali fikirannya tentang maksud mampu.
Tersentap hingga hujung hati bila membanding diri ini dengan pakcik yang
hanya menjual laksa beras bermotosikal menggelilingi kampung. Muka saya
bagai ditampar-tampar kerana berilmu tetapi tidak beramal.
Siapa yang sangka dan ambil peduli akan kejernihan fikiran pakcik dalam melaksanakan syariat agama Islam ini.
Kisah ini saya abadikan bagi mengingatkan keenakan laksa beras yang
selalu saya beli dari seorang penjual laksa beras yang bermotosikal
mengelilingi kampung. Tidak pasti adakah pakcik ini masih hidup atau
telah meninggal dunia. Laksa berasnya memang enak.
Sama-samalah kita mengambil iktibar darinya untuk kebaikan diri kita sendiri.
http://fid.ohmacamitu.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan