Home Klik Di Bawah

Sabtu, 4 Januari 2014

Kalau Bukan Hantu,Apa?

KISAH INI diceritakan oleh seorang rakan yang bekerja dalam industri media.

Namanya Omar. Menurut Omar, ketika itu pukul 12.00 malam, dia menunggang motosikalnya meninggalkan majlis malam media di Klang, Selangor. Omar yang merupakan seorang jurugambar perlu pulang segera ke rumahnya di Kuala Lumpur.
Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang dinihari itu, sehinggalah dia sampai di bawah jejantas berhampiran SIRIM, Shah Alam. Di situ Omar lihat ada seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan. Pelik, berani betul gadis itu bersendirian di dalam gelap.
 

Omar memberhentikan motosikal dan mempelawa gadis tersebut untuk menghantarnya pulang. Dia bimbangkan keselamatannya. Namun sapaan dan pelawaan Omar langsung tidak berjawab. Gadis yang rambutnya melepasi bahu dan mengenakan baju serta skirt putih itu tetap diam membatu.


Hanya selepas lebih 10 minit menanti, barulah gadis itu bersuara. Kata si gadis, kalau benar Omar mahu membantu, dia harap dapat dihantar pulang ke rumahnya di sebuah taman perumahan di Klang.


Omar berikannya topi keledar dan mereka mula bergerak menuju ke taman perumahan yang disebutkan tadi. Dalam perjalanan, gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Mizah itu memberitahu, dia berdiri di tepi jalan kerana ditinggalkan oleh seorang kawan lelaki.


Pada mulanya Mizah menumpang kereta lelaki tersebut untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis hari jadi. Bagaimanapun, di dalam perjalanan, lelaki berkenaan mula berkelakuan tidak senonoh.


Dia memberhentikan kereta di bawah jejantas tadi dan memaksa Mizah untuk menyerahkan kehormatannya.
 
“Mujur saya dapat lepaskan diri. Saya buka pintu, keluar dan menjerit. Dia terus pecut kereta dan tinggalkan saya di sini," kata Mizah sambil merapatkan dirinya ke tubuh Omar.


Akhirnya mereka sampai di rumah Mizah. Di halaman rumah yang masih terang itu kelihatan dua orang anak kecil bermain-main. Kata Mizah, itu anaknya. Dia baru bercerai setahun lepas.


Sebelum berpisah, Omar dan Mizah saling bertukar nombor telefon.


Hendak dijadikan cerita, seminggu kemudian Omar pergi ke rumah Mizah bersama seorang kawan. Niat Omar adalah untuk memperkenalkan kawannya itu kepada gadis berkenaan.


Namun, sampai di rumah Mizah, kedua-dua mereka terkejut. Manakan tidak, di hadapan mereka ialah sebuah rumah yang sudah lama terbiar. Tingkapnya rebeh, cermin pecah, dinding berkulat dan lalang tinggi meliar!
 

Ketika Omar dan sahabatnya tercangak-cangak, seorang jiran keluar apabila menyedari kedatangan mereka. Omar dan kawannya terkejut apabila jiran tersebut memberitahu, Mizah dan dua orang anaknya sudah meninggal dua tahun lepas!


Tambah jiran itu, sebenarnya selain Omar, sudah hampir 10 orang datang ke rumah terbiar itu mencari Mizah. Semua lelaki berkenaan memberitahu mereka terserempak dengan Mizah di bawah jejantas berhampiran SIRIM, tempat dia ditinggalkan.


Apa yang telah berlaku sebenarnya?


Kata jiran tersebut, pada malam kejadian, Mizah berjaya pulang. Gadis itu bagaimanapun ditemui mati keesokannya bersama mayat kedua-dua orang anaknya, dipercayai dibunuh oleh lelaki yang cuba mencabulnya.
Kes kematian Mizah ada dilaporkan di media-media tempatan, sekitar 25 tahun yang lalu.



Kisah kedua ini pula diceritakan oleh seorang lelaki berusia 50-an, bernama Maspa Dawi, semasa saya berkunjung ke Sarawak pada awal 2000.


 Maspa memberitahu, pada pukul 2 pagi awal 1980-an, dia memandu kereta ke hospital umum Kuching, Sarawak untuk menghantar jirannya yang mahu bersalin.


Di tengah perjalanan, Maspa terpandang seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan menghala ke Matang. Apabila disuluh lampu keretanya, kelihatan gadis itu sedang membelakangkannya sambil memegang sekaki payung.


Gadis itu memakai kebaya pendek warna hijau muda. Rambutnya disanggul dan dihiasi bunga kecubung. Penampilannya persis gadis tahun 1940-an dan 1950-an.


Pulang dari hospital, Maspa terkejut kerana si gadis berkenaan masih berdiri di tepi jalan tadi. Maspa memperlahankan keretanya dan memandang gadis tersebut. Ternyata si gadis sangat cantik paras wajahnya. Mukanya disolek rapi.


“Sah... pelacur!" kata Maspa di dalam hati.


Seminggu kemudian semasa menghadiri majlis kenduri di rumah arwah sepupunya, Maspa menceritakan kisah tadi kepada seorang ustaz. Terkejut Maspa kerana ustaz tersebut rupa-rupanya pernah melihat gadis berkenaan. Malah dia turut menumpangkan gadis itu menaiki keretanya. Di sepanjang perjalanan selama 15 minit, si gadis langsung tidak berkata walau sepatah pun.


Yang menyeramkan, sampai saja di sekolah berkenaan, ustaz itu mendapati gadis berkenaan sudah pun ghaib. Esoknya ustaz tersebut mendapati ada kuntuman bunga kecubung bertaburan di atas kerusi belakang keretanya!


Menurut penduduk setempat, gadis itu dahulu telah ditangkap dan dijadikan hamba seks tentera Jepun. Dia kemudian dibunuh dan mayatnya ditanam di sekitar bulatan tersebut. Kisah misteri ini pernah disiarkan oleh majalah Mastika, suatu ketika dahulu.
Soalan saya, ‘siapakah’ yang ditumpangkan dalam kisah-kisah yang dipaparkan tadi? Hantu! Ya, Hantu. Ops! Itu bukan jawapan saya, tapi jawapan anda.


Tiada siapa boleh menafikan, kita cukup gemar mendengar cerita hantu, khususnya masyarakat Melayu. Bagaimanapun, cara kita berfikir dan mentafsir fenomena itu tidak banyak berubah sejak dari zaman animisme.


Pada zaman itu, ketika ilmu moden belum bermula, setiap kejadian yang tidak dapat dijawab oleh akal, seperti petir dan gempa bumi, akan disandarkan kepada kuasa supernatural ghaib.


Apabila Islam sampai ke Nusantara kira-kira 10 abad yang lalu, kepercayaan itu dimurnikan, dan ditambah dengan konsep tuhan, syaitan dan jin. Syaitan tidak jemu berusaha untuk menyesatkan umat manusia, termasuk dengan menjelmakan diri sebagai hantu.


Bagaimanapun, pencerahan minda itu terhenti setakat di situ saja. Sampailah sekarang, andai berlaku saja kejadian atau fenomena aneh yang sukar dijawab, ia terus saja didakwa angkara hantu, syaitan, jin dan makhluk ghaib lainnya seperti hantu raya dan orang bunian. Tiada cerdik pandai sains yang cuba membantu memberikan jawapan dari sudut ilmu moden.


Hah, bosannya! Anggapan itu telah menyebabkan kita menjadi malas dan keliru. Bukan menolak kebenaran agama, tetapi kenapa kita tidak pernah membuka fikiran untuk mencari kesahihan, ‘Benarkah itu hantu?'
 

Bukankah elok kalau kita berusaha menafikan kewujudan hantu itu, daripada sewenang-wenang mengesahkannya? Bukankah takut kepada hantu dan syaitan itu boleh memesongkan akidah?


Paling menyedihkan, cara berfikir ini sangat sukar untuk diubah. Kita lebih suka mendengar cerita berbanding mencari jawapannya.


Untuk itu, apa kata kalau mulai minggu ini kita buka sedikit fikiran dan cuba dengar apa pandangan pengkaji paranormal barat tentang hantu. Untuk pengetahuan anda, kajian paranormal barat mempunyai pelbagai teori dan sebahagian besarnya mengatakan bahawa sebenarnya hantu itu tidak wujud.


Yang wujud adalah kesilapan kita mentafsir apa yang disaksikan itu. Wahai ustaz, saya ingin bertanya, sesatkah kita kalau mempercayai teori-teori sebegini?


Kembali kepada cerita kita: Jadi, siapakah wanita yang ditumpangkan dalam kisah-kisah di atas tadi? Kalau bukan hantu, siapa?
http://akakdisebalikpintu.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan