Home Klik Di Bawah

Jumaat, 17 Januari 2014

Resipi kemenangan

Firman Allah dalam surah al-Anfal bermaksud:
 
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan). (45)

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (46)
 
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji) serta mereka pula menghalang manusia daripada jalan Allah, dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka kerjakan. (47)”
 
Hari mengundi semakin hampir. Debaran di dalam dada semakin kencang. Siapakah yang terpilih untuk menerajui tampuk pemerintahan di peringkat negeri dan persekutuan pada penggal akan datang? Kita berharap dan berdoa agar kemenangan berpihak kepada golongan yang ikhlas, amanah, berkelayakan dan iltizam dalam perjuangan menegakkan keadilan serta kebenaran selaras dengan ajaran Islam.
 
Kemenangan tidak datang bergolek. Kejayaan tidak tercipta dengan cara magik. Kemenangan ada resipi serta syarat-syaratnya. Sebahagian daripada syarat-syarat itu digariskan dalam tiga ayat yang tertera di atas:
 
Pertama: Tetap atau teguh pendirian ketika berdepan dengan lawan. Jangan berganjak, berundur, apa lagi berpaling. Hadapi rintangan, tangkis cabaran, pertahan pendirian. Tetap pendirian merupakan resipi pertama untuk menang. Sesungguhnya bagi pejuang kebenaran, tiada sebab untuk undur dan mundur keranan di hadapan sedia menanti dua kemuliaan: menang atau syahid.
 
“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
 
(An-Nisaa’: 104)
 
“Katakanlah: (Sebenarnya) tidak ada yang kamu tunggu-tunggu untuk kami melainkan salah satu daripada dua perkara yang sebaik-baiknya (iaitu kemenangan atau mati syahid) dan kami menunggu-nunggu pula untuk kamu bahawa Allah akan menimpakan kamu dengan azab dari sisi-Nya atau dengan perantaraan tangan kami. Oleh itu tunggulah, sesungguhnya kami juga menunggu bersama-sama kamu.”
(At-Taubah: 52)
 
Kedua: Ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, dalam hati, dengan lidah pada setiap ketika, di semua tempat, dalam semua keadaan. Sesungguhnya mengingati Allah sebanyak-banyaknya menjanjikan kebaikan yang tidak terkira. Mengingati Allah bermakna kita berhubung dengan Yang Maha Kuat. Allah adalah sumber kekuatan yang tidak mungkin dapat dikalahkan. Maka lahirlah keyakinan akan datangnya pertulungan kerana Dia berjanji akan menolong mereka yang menolong agamanya.
 
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
(Muhammad: 7)
 
Mengingati Allah juga melahirkan sifat cekal dan berani menghadapi apa jua dugaan dan ugutan. Hal ini dibuktikan oleh tukang-tukang sihir Firaun saat mereka mengisytiharkan keimanan yang tidak berbelah bagi. Apabila Firaun mengugut mereka dengan hukuman yang berat, mereka menjawab:
 
“Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan Islam (berserah bulat-bulat kepada-Mu).”
(Al-A’raf: 126)
 
Ketiga: Taat kepada Allah dan Rasul. Ingat! Perjuangan ini bertujuan untuk meninggikan kalimah Allah, menegakkan keadilan yang dituntut oleh Allah dan menzahirkan kebenaran agama Allah. Justeru, mana mungkin pejuang agama Allah tidak taat? Mana mungkin pendukung kebenaran melakukan maksiat dan khianat? Setiap ucapan, semua perlakuan mesti sejajar dengan suruhan Allah dan Rasul-Nya
 
Keempat: Jangan berbantah-bantah. Allah kasih kepada mereka yang berperang di jalan Allah dalam satu saf yang tersusun teguh laksana satu bangunan yang kukuh. Bertengkar, berbantah-bantah, berlawan dan bercakaran sama sendiri akan menyebabkan saf jadi goyang, longgar dan akhirnya berkecai. Sifat berbantah-bantah hanya ada pada mereka yang berjuang demi kepentingan diri atau mencari keuntungan duniawi. Ia sepatutnya tidak timbul dalam kalangan tentera-tentera Allah yang ikhlas kerana matlamat mereka tidak lain kecuali mengharap keredhaan Allah semata-mata.
 
Kelima: Bersabarlah kerana perjuangan itu sukar dan mencabar. Perjuangan hanya mampu digalas oleh mereka yang berjiwa kental, tidak gentar diuji, tidak goyah dicaci.
 
Keenam: Jangan keluar dalam keadaan riak, menunjuk-nunjuk serta bermegah-megah dengan apa yang dimiliki, sama ada bekalan, bilangan, peralatan dan seumpamanya. Kemenangan adalah hak Allah yang mutlak. Hanya Dia yang menentukan bila, di mana, bagaimana dan di tangan siapa kemenangan akan terlaksana. Kita hanya berusaha, merancang dan berjuang sehabis daya, setulus hati dan jiwa.
 
Telah tercatat dalam lipatan sejarah, keangkuhan membawa padah. Kesombongan menjadi punca ketewasan dan kehinaan. Semasa perang Badar al-Kubra, Abu Jahal dinasihatkan supaya kembali ke Makkah, tidak perlu meneruskan niat menentang pasukan Muhammad sallallahu alaihi wasallam kerana kafilah Abu Sufyan yang hendak dilindungi telah tiba dengan selamat. Namun dengan angkuhnya dia menolak saranan itu dan berkata:
 
“Tidak! Demi Allah kita tidak akan pulang sebelum kita sampai ke Badar. Kita akan berkhemah di situ selama tiga hari. Kita menyembelih unta, kita menjamu selera, kita minum arak sambil menikmati tarian para penari kita. Dengan itu, bangsa Arab akan terus memandang kita sebagai kaum yang hebat dan sentiasa gerun kepada kita.”
 
Maka kesudahannya dengan izin Allah mereka mengalami kekalahan yang cukup menghinakan.
 
Oleh: Ustazah Maznah Daud
 http://bahtera-rumahtangga.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan