Home Klik Di Bawah

Sabtu, 1 Februari 2014

Dugaan Hidup

Hidup ini indah..andai kita memandang dan melihatnya dengan indah..Hidup ini derita..andai kita memandangnya sebagai satu penderitaan yang tak berkesudahan..

Bila diri di landa duka yang melemahkan iman dan semangat..

Renungkan kembali kata-kata cinta Allah tentang kenapa kita diciptakan di bumi ini..

Demi menenangkan hati yang celaru..

Demi mencari kembali hakikat tujuan kita diciptakan..




Supaya kita sedar akan tugas yang perlu kita laksanakan di muka bumi ini..

Dan tidak akan lalai dengan apa yang selainnya di dunia ini..

“ Dan tidak AKU menciptakan jin dan manusia..melainkan hanya untuk beribadah kepada AKU “
( Adz-Dzariyat 51:56 )
 
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta..”
( Al-Ankabut, ayat 2 & 3 )
 
Sering kali kita terdengar luahan rasa insan-insan yang berputus asa ketika diuji. Ada ketikanya, mereka mencari penyelesaian yang salah, mencederakan diri sendiri, menyakiti diri sendiri, menyeksa diri sendiri dan seumpamanya.Ada jua yang sering menyalahkan takdir yang menimpa diri, mengatakan ketidakadilan terjadi terhadap mereka, memikirkan tiada yang menyayangi diri mereka, termasuklah Allah yang difikirkan tidak pernah memihak pada kehendaknya.Ada jua yang memikirkan mati jalan penyelesaian bagi penderitaan yang dihadapi. Pabila iman di dada semakin tipis, aqidah yang dipelajari sedari kecil semakin pudar, yang tinggal hanya desakan nafsu dan hasutan syaitan. Inilah yang akan terjadi.
 
Ini bukan sekadar kata-kata kosong. Kata-kata yang tidak memahami tapi adalah kata-kata dari kisah yang benar. Kerana diri ini jua pernah mengalaminya dan melihatnya sendiri sewaktu ketika dahulu. Mujur, saat dugaan datang menyapa, iman diri walaupun menipis, masih lagi ada saki baki iman kekal teguh di jiwa yang menghindarkan dari melakukan perkara-perkara yang buruk.

TINDAKAN ANDA KETIKA MENGHADAPI UJIAN HIDUP?

BUNUH DIRI ATAU SOLAT TAUBAT?

MENANGIS dan MERAUNG ATAU BERDOA?

Menangis, meraung, marah, mengamuk benda yang selalu dilakukan untuk mengekspresikan rasa di dalam hati. Tapi percayalah, air mata yang jatuh di atas sejadah itu lebih baik dari air mata yang jatuh di atas bantal. Mendiamkan diri itu lebih baik dari memaki hamun. Tersenyum itu lebih baik dari muka yang masam mencuka. Kerana itu lebih mententeramkan jiwa yang sedang bergelora.

Janganlah cepat berputus asa dalam meniti ujian yang mendatang. Janganlah mencari salah siapa atas dugaan yang menimpa. Redhakan lah diri. Lapangkan hati. Bukakan lah minda. Terima ketentuan setiap yang terjadi. Yakinlah dengan setiap hikmah yang ada. Kukuhkan lah kesabaran dalam jiwa.

“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya dialah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani..”
(Az-Zumar 40:53)


Teringat satu ketika dulu, pabila diri dihimpit dengan rasa sedih yang teramat sangat, waktu itu hanya air mata jadi peneman yang setia. Tak berhenti-henti tangis dari pagi sampai malam. Sehingga menyebabkan mata tak dapat dilelapkan, makanan tak dapat ditelan.

Tiba-tiba hati tergerak dan terasa ingin mengambil wuduk. Lalu langkah kaki diatur menuju ke surau yang berdekatan. Surau yang jarang di imarahkan. Surau yang sunyi sepi tanpa ada seorang manusia pun di dalamnya. Sejadah dibentang. Lalu solat sunat dilaksanakan. Tangan ditadahkan. Segalanya diadukan kepada-Nya. Hati diserahkan 100% dan dihadapkan kepada-Nya.

Air mata tumpah sekali lagi. Dan air mata itu berhenti tatkala tertidur di atas sejadah itu dengan diri yang masih lengkap bertelekung. Bila terjaga dari tidur, hati terasa lapang, tenang, kegelisahan yang melanda hilang begitu sahaja. Bibir sudah mampu mengukirkan senyuman. Keputusan terhadap permasalahan diambil dengan mudah dan tegas tanpa ada apa-apa yang mampu mengugat keyakinan diri lagi. Tatkala itu hidayah mula datang mengusik hati nurani. Diri mula sedar akan hakikat kata-kata yang sering didengar..

“Dengan mengingati Allah, jiwa pasti akan menjadi tenang”

Dugaan dan ujian itu adalah penyeri kehidupan kita. Itulah hakikatnya. Tersenyumlah ketika dirimu diuji. Kerana ketahuilah, dengan diuji, kita tahu bahawa Allah masih mengambil berat tentang kita. Tak mengabaikan kita dan menyayangi kita. Lalu kita diuji untuk Dia mengetahui tahap keimanan diri kita terhadap-Nya. Untuk Dia ketahui tahap kita mencintai-Nya. Ujian jua untuk menguji kesabaran kita dalam menghadapi musibah yang menimpa.

Tanpa ada ujian, tiadalah serinya hidup kita. Terasa pudar dan hambar tanpa ada sebarang cabaran untuk kita hadapi. Kegembiraan itu hanya dapat dirasai apabila kesedihan berlalu. Bahagia itu datang pabila derita dapat diatasi. Dugaan dan ujian ini juga untuk mengajar kita supaya berfikir dan menjadi lebih kuat dan tabah dalam menjalani kehidupan harian di dunia ini.

Betapa halus cara Allah mendidik kita agar kita tak terleka dalam menghadapi dunia yang fana ini. Carilah hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap kejadian kerana yakinlah dugaan yang datang bukan untuk menghukum tetapi untuk membimbing diri kita. Jadi jelaslah sekarang cara yang paling sesuai ketika menghadapi dugaan hidup adalah menyerahkan hatimu kepada Allah. Mohonlah perlindungan dan bantuan-Nya. Kerana Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala yang tersirat di dalam nuranimu. Allah jua yang mampu menbantu kita kerana Allah itu Maha Berkuasa.

(p/s: “bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu, yang menciptakan segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang, serta menyusahkan hidupmu..pasti akan damai lah hatimu, kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia..bukan Allah tak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tapi mungkin itulah yang Dia mahu kerana Dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak dan lebih mudah untuk dekat dan akrab dengan-Nya..”)
 i lu islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan