Home Klik Di Bawah

Jumaat, 7 Februari 2014

Hidayah Menanti atau Mencari

Wahai anakku, berimanlah kamu kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya Dia sahaja yang berhak disembah.”
“Aku tidak akan menyembah Tuhanmu,” jawab anaknya. 

“Wahai anakku, marilah naik kapal bersama-sama kami, janganlah kamu kufur dan mengingkari perintah Allah SWT lagi. Janganlah kamu mengikut orang-orang yang ingkar itu.”

“Aku akan mendaki gunung yang tinggi itu sehingga aku terlepas daripada banjir besar ini,” jawab anaknya.

“Sesungguhnya hari ini tidak ada seorang pun yang akan selamat kecuali yang mengikuti aku dan mereka yang dirahmati Allah SWT sahaja,” 
 


Selepas kata-kata itu, maka lenyaplah si anak daripada pandangan si ayah kerana ditenggelami banjir.
Begitulah kata-kata Kan’an yang penuh bonggak dan sombong kepada ayahnya Nabi Nuh. Dia adalah salah seorang yang ditenggelamkan dalam banjir oleh Allah atas kekufuran dan menolak dakwah ayahnya. bertapa pilunya hati baginda saat itu sehingga baginda berdoa dan bertanya pada Allah “Ya Allah, bukankah Kan’an itu anak aku dan daripada keluarga aku sendiri,” rintih Nabi Nuh. Baginda merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu daripada keluargaku sendiri dan bahawa janji-janji-Mu adalah benar dan Engkaulah sebijak-bijak hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya.”

Firman Allah :

” Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu bukanlah daripada keluargamu (kerana dia telah memutuskan hubungan denganmu disebabkan kekufurannya), sesungguhnya amalannya bukanlah soleh, maka janganlah kamu memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak tahu mengenainya. Sebenarnya Aku memperingatkan kepadamu supaya kamu tidak termasuk orang-orang yang tidak berpengetahuan. (71: 46)

Jelas berdasarkan kisah di atas, baginda telah berusaha menyampaikan kebenaran tentang Islam, walau dakwah baginda ditolak bukan sahaja kaumnya, bahkan ahli keluarganya sendiri, orang yang sangat rapat dalam hidup baginda. Begitu juga dengan Nabi Muhammad SAW, dakwahnya pada bapa-bapa saudaranya disambut dingin, malah dicaci, dikeji dan dihina.. orang yang lahir daripada darah daging sendiri sanggup melakukan kezaliman pada saudara mereka sendiri hanya kerana tidak mahu kebenaran (tentang Islam) disebarkan. sangat pilu.. tetapi Allah Maha Mengetahui, segala sesuatu adalah milikNYA, termasuk HIDAYAH..

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNYA dan Dia jualah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan) untuk mendapat hidayah petunjuk” (28:56)

Berdasarkan ayat di atas, saya menegaskan kepada 3 perkara :

1) Manusia tidak mempunyai daya memberi petunjuk (kebenaran) hidayah pada manusia lain walaupun mereka adalah orang-orang yang kita sayangi

2) Allah sahaja yang berkuasa memberi petunjuk (kebenaran) hidayah pada manusia yang Dia inginkan tidak kira rupa,umur, kaum dan sebagainya

3) Allah sahajalah yang Maha Mengetahui setiap hamba yang berusaha (terbuka hati) mencari hidayah Allah

Apa yang saya ingin katakan ya, benar, hidayah milik Allah, Allah pemegang setiap hati, namun kita disuruh berusaha, berusaha mencapai apa yang kita mahu. Kita boleh beri seribu alasan di dunia ini, “ah, nanti sudah tua aku berubahlah taubat, muda-muda mahu enjoy” “ah nanti-nantilah solat mengaji Al-Quran, belum nak mati pun kan sihat ni, dah tua sakit nanti buatlah” persoalannya, yakin kah ESOK MASIH ADA.. duduk dan renung, andai hari ini saat ini, apa yang anda lakukan sekarang adalah yang terakhir dalam hidup anda… bagaimana??

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan” (21:35)

Setiap kata-kata Allah adalah benar, dan apabila Dia mengatakan setiap bernyawa pasti mati, ia akan mati, lalu bekalan apa yang kita bawa untuk melalui frasa selepas dunia iaitu alam barzakh (kubur) alam penantian sebelum hari kebangkitan (kiamat) dan hari perhitungan (akhirat).

Berusaha mencari hidayah Allah tidak susah, ramai yang mempersoalkan bagaimana mahu mencari sedang hati belum terbuka. hati belum terbuka adalah kerana sisa-sisa dosa semalam, umpama besi yang tidak digunakan, dibiarkan tidak disimpan, dijaga atau diubahsuai penggunaannya, lama-lama ia akan jadi rosak, buruk karat kerana berpanas dan berhujan. begitu juga hati manusia. Jika badan memerlukan nasi sebagai tenaga untuk bergerak, hati juga memerlukan tenaga untuk sentiasa bergerak melakukan kebaikan dan mencintai apa yang Allah cintai.. makanannya mudah sahaja, amal kebaikan. segala amal-amal kebaikan adalah penjana dan penggerak hati untuk terus melakukan kebaikan yang lain, asal ia dilakukan kerana Allah bukan untuk mendapat penghargaan manusia.

…. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.” (13:11)

Jadi mulai hari ini bersihkanlah hati daripada dosa semalam, daripada berburuk sangka, khianat, dengki, kerana hati yang bersih mudah menerima tarbiyyah illahi..(dengan izinNYA) dan sentiasalah berbaik sangka pada Allah, tidak Allah tetapkan sesuatu dengan sia-sia.. semuanya bersebab dan pengakhirannya adalah sesuatu kebaikan.

“Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.” (93:4)
“Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati. “(93:5)
“Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya”(93:11)

Jalan berusaha tidak sesusah jalan untuk beristiqamah, dan saat inilah akan berlaku pelbagai ujian Allah buat hambaNYA, kerana nikmat syurga Allah itu luar biasa, jadi jalannya haruslah berliku, namun jangan khuatir duhai hati, Allah sentiasa bersama kita, dan jangan sesekali merasakan diri itu jahat, dan tidak layak ke syurga, kerana syurga neraka itu juga milik Allah, siapa yang berada dalamnya semua dibawah pengetahuan Allah, bukan manusia. namun jangan pula merasakan diri terlalu mulia untuk masuk ke syurga Allah, kerana kebongkakan itu sekelip mata Allah boleh hapuskan amal kebaikan kita. tugas kita untuk berusaha melakukan kebaikan sehingga akhir nyawa, dan berdoa agar allah memberi rahmatNYA untuk kita masuk ke syurgaNYA.

“Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.” (12:87)

Semoga pintu hidayah sentiasa terbuka luas buat kita dan Allah tidak menariknya semula.. inshaAllah ameen Allahumma ameen.. wallahualam~

Terima Kasih
i lu islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan