Home Klik Di Bawah

Selasa, 25 Mac 2014

Cara mudah melamar dan terima lamaran kahwin !

Melamar & lamaran si dia

Mustahil kamu hanya ingin bercinta dan menikmati saat indah itu semata-mata tanpa memikirkan fasa seterusnya. Sudah tentu selepas beberapa ketika, soal berkahwin dan membina masa depan bersama harus difikirkan. Bercinta pun tak manis lama-lama kerana ia mengundang maksiat selain membuang duit saja.

Bagaimanapun, apa yang perlu kamu tahu sebelum mengambil langkah itu? Apa perlu kamu lakukan dan bagaimana pula untuk melamar si dia? Persoalan itu sudah tentu bermain pada fikiran terutama kamu si lelaki yang sudah bersedia menyuntik kekasih hati menjadi suri hidup ke akhir hayat.
Tambahan pula kedua-dua keluarga sudah bertanya bilakah masa untuk kamu hidup berdua. Namun, pada masa sama, kamu mungkin belum bersedia berkahwin kerana merasakan masih ada perkara yang belum selesai. Bilakah masa sesuai untuk kamu melamar pasangan?
 


Ingat, lima perkara ini sangat penting untuk dipertimbangkan bagi memastikan semua rencana berjalan lancar.

Pertamanya, persediaan. Untuk hidup berumah tangga ia bukan semudah A, B dan C kerana kamu perlu mengetahui ilmu kekeluargaan sebagai persediaan hidup berumah tangga. Umum mengetahui perkahwinan adalah penyatuan hidup sehingga ke akhir hayat. Biarpun ada rumah tangga yang runtuh di tengah jalan, namun ia bukan alasan tidak memahami erti perkahwinan.

Jadi sebelum berkahwin, kamu perlu bersedia berubah. Maksud persediaan di sini ialah kamu harus bersedia mental dan fizikal kerana dengan adanya kekuatan diri, Insya-Allah kamu sudah bersedia untuk hidup berdua dengan pasangan. 

Kamu sebagai lelaki harus memastikan diri dan sikap dalaman sudah cukup sempurna dan lengkap untuk memimpin sebuah keluarga kerana tanggungjawab perkahwinan itu di atas bahu kamu. Jika gagal kamu berdua, silap itu adalah kamu dan tewaslah kamu memeliharanya. 

Keduanya, kewangan hendaklah kukuh. Jika perkahwinan tidak semudah membaca A, B dan C, justeru sebelum berkahwin juga kamu perlu mengukuhkan kewangan terlebih dulu. Ini kerana sebelum ini kamu mungkin biasa makan seorang diri, tapi apabila sudah berumah tangga, segala-galanya dalam kiraan untuk dua orang. 

Bercinta itu lain meskipun kamu adalah orang yang akan membayar setiap kali ‘dating’ kerana aktiviti itu tidak kamu lakukan setiap masa. Berbanding berkahwin, semuanya perlu dikira dari soal penyelenggaraan rumah, kereta hinggalah ke makan minum. 

Kalau rezeki murah, kamu mungkin bertiga, berempat dan sebagainya. Ada juga rumah tangga bercerai berai hanya kerana masalah duit. Ada kes suami berhenti kerja dan mengharapkan isteri menanggung segala-galanya. 

Jika isteri tidak selesa, pergaduhan pasti berlaku dan dari sinilah punca terjadinya perceraian. Tahukah kamu jika bergaji agak kecil, sebenarnya agak susah kamu berbelanja membeli keperluan rumah tangga. Jadi kamu perlu bersiap sedia dari aspek kewangan kerana ia asas utama dalam perkahwinan.

Tiada orang boleh hidup dengan cinta kerana pada zaman ini serba-serbi memerlukan duit.
Ketiga pula, kamu mesti bersedia melupakan bekas kekasih. Berkahwin, kamu perlu bersedia segala-galanya terutama untuk melupakan bekas kekasih yang mungkin hadir sebelum kedatangan si dia. Ini kerana ada pasangan yang sukar melupakan bekas kekasih dan lebih teruk lagi, kamu masih berhubungan dengan bekas kekasih.

Jangan ketawa atau hanya senyum sinis kerana banyak rekod perceraian menyebut ia berlaku kerana berpunca orang ketiga dan peratusan membuktikan bekas kekasih kembali mengharap cinta lama.
Keempatnya, memberi keutamaan. Apabila kamu bersedia berkahwin, bermakna kamu bersedia memberi keutamaan kepada rumah tangga. Kamu tidak seharusnya memikirkan keseronokan bersama kawan-kawan sama seperti ketika kamu masih bujang di mana kamu bebas untuk keluar menonton wayang atau melepak di mamak dan sebagainya kerana kamu harus memberi 100 peratus komitmen kepada rumah tangga. 

Tapi itu tidak bermakna kamu tidak boleh langsung menghabiskan masa bersama teman, tapi harus bijak dalam mengurus masa.

Terakhir, hubungan itu hendaklah direstui keluarga. Tidak guna kamu menjalin hubungan jika tidak mendapat restu keluarga. Ini kerana perkahwinan akan bahagia jika direstui keluarga. Tentu kamu pernah mendengar cerita, rumah tangga tidak aman dan bahagia bila mana seorang anak membelakangkan keluarganya kerana cinta terhadap pasangan. 

Ada juga kes di mana pasangannya bercerai kerana pelbagai masalah dan bila disemak, ternyata perkahwinan tersebut tidak mendapat restu keluarga.

Jika kamu melepasi semua lima kriteria di atas, itu bermaksud yang kamu sudah bersedia untuk menjadi suami. Tunggu apa lagi? Lamar si dia. 

10 soalan sebelum melamar

Setiap pasangan berkahwin pastinya mengharapkan perkahwinan itu kekal bahagia buat selama-lamanya. Ramai berjaya, namun tidak kurang pula kecewa. Tapi sebelum itu, adakah kamu benar-benar bersedia walaupun semua lima kriteria di atas sudah berjaya dengan cemerlang.
Percintaan sebelum berkahwin seperti dilakukan oleh segolongan masyarakat dan ditonjolkan dalam segala macam media sebagai suatu kemestian, suatu dunia yang penuh dengan keindahan dan keseronokan adalah sebenarnya penipuan belaka.

Alam percintaan tidak mendedahkan hakikat diri sebenarnya. Masing-masing berusaha menunjukkan yang terbaik saja di hadapan pasangannya. Tetapi selepas berkahwin barulah terbongkar segala rahsia, segala perangai dan sikap buruk yang selama ini disembunyikan.

Untuk mengenali calon pasangan hidup anda dengan mendalam, apa kata kamu ajukan 10 soalan ‘maut’ ini kepada pasangan bagi mengukur tahap persediaan masing-masing sebelum berkahwin. 

1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Inilah perlu kamu ketahui mengenai bakal pasangan hidup kamu. Sekiranya kamu dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup sama maka perselisihan dalam rumah tangga akan berkurangan.

2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman serta tasawur atau gambaran jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya kedua-dua pihak mempunyai kefahaman berbeza, umpamanya satu pihak menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadat, sudah semestinya rumah tangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada perselisihan dan pergaduhan.

3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku disebabkan kelainan kegemaran dan cita rasa. Sekiranya kegemaran setiap pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.

4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap orang mempunyai pandangan berbeza mengenai masa sesuai untuk menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.

5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah kesihatan kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan penyakit kronik atau kecacatan mengaibkan boleh dianggap sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah lain pula suka menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana kamu cari?

7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwinan bukan sekadar akad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya perkahwinan adalah hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.

8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.

9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata sebenarnya hidup dalam dunia sempit dan mati sebagai insan kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai insan hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang zaman-berzaman.

10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumah tangga mereka? 

Setengah orang menganggap rumah tangga adalah masalah peribadi terlalu khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan memasuki gerbang perkahwinan.

Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya. Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun sudah berkeluarga? Apabila kamu mendapat jawapan bersesuaian dengan apa dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk melamarnya. 

Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan kamu mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan ‘maut’ ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/18
http://www.hmetro.com  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan