Home Klik Di Bawah

Selasa, 4 Mac 2014

Dunia Ini Ladang Akhirat

Dalam bidang perniagaan, aspek untung dan rugi akan diambil kira sebagai perkiraan audit kerana ia akan memberi gambaran berjaya atau gagalnya urus niaga dilakukan. Tiada yang sanggup membiarkan perniagaannya mengalami kerugian. Mustahil! Semua mahu untung.

Bagaimana pula dengan kehidupan kita selaku hamba-Nya? Tidakkah kita juga ingin menjadi hamba beruntung dan tidak mahu jatuh muflis atau rugi? Jika ditanya, pasti semua ingin untung, baik di dunia mahupun kehidupan abadi di akhirat. Namun, sedar atau tidak, ada di antara kita hanya mengejar untung di dunia sedang akhiratnya rugi. Kita lebih menumpukan kepada dunia, sedangkan ia suatu persinggahan sementara.

dunia
Dunia itu jambatan ke akhirat kelak




Saidina Ali bin Abi Talib RA mengumpamakan dunia sebagai ladang akhirat. Ini bermaksud kehidupan kita di dunia ini adalah untuk ‘bercucuk tanam’ dalam bentuk ibadah dan amalan soleh. Hasilnya kita akan tuai di akhirat dan itu pun jika ada.

 Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya menjadikan diri bukan sebagai penduduk tetap di dunia ini, tetapi anggaplah diri sebagai musafir yang sedang berkelana menuju ke destinasi terakhir iaitu alam akhirat. Panjang mana sekalipun usia yang dianugerahkan kepada kita, akan sampai juga titik akhir dan ketika itu tahulah kita setakat mana bekalan kita bawa bersama untuk bertemu Allah nanti.
Atas faktor itulah kita seharusnya sentiasa dalam keadaan insaf untuk menjalani kehidupan di dunia ini mengikut lunas dan landasan ditetapkan agama. Segala perintah Allah wajib ditunaikan tanpa sebarang alasan dan segala larangan-Nya kita elakkan sejauh-jauhnya tanpa berasa berat di hati. Inilah jalan takwa sebagaimana yang dituntut kepada kita.
Kita juga wajar mengingatkan diri, bekalan menuju alam akhirat bertemu Allah nanti tidak hanya berlegar terhadap kerajinan ibadah tertentu khususnya yang menjadi paksi kepada rukun Islam semata-mata, malah banyak lagi bentuk ibadah yang perlu dilakukan. Sebenarnya konsep ibadah dalam Islam amat luas dan tidak terhenti kepada hubungan dengan Allah. Bahkan, ia turut membabitkan hubungan sesama manusia dan alam sekitar. Kedua-dua bentuk hubungan itu perlu dipelihara dan dilalui dengan sebaik-baiknya.
Andainya kita beranggapan aspek hubungan sesama manusia tidak penting, ternyata kita sudah melakukan satu kesilapan besar yang akan merencatkan bekalan kita ke akhirat kelak. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada sahabat:

“Tahukah kamu, siapakah yang dimaksudkan orang yang rugi itu?”

Mereka menjawab: “Orang yang rugi menurut pendapat kami adalah orang yang tidak mempunyai duit mahupun harta.”

Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan maksud sebenar orang rugi: “Orang yang rugi dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan membawa amal solehnya, puasanya dan zakatnya dan dia membawa seluruh amalnya, sedangkan dia mencaci itu, menuduh ini, memakan harta ini, memukul ini dan menumpahkan darah ini, maka akan ditebus perbuatannya itu daripada amal kebajikannya dan ini daripada amal kebajikannya. “ Jika sudah habis kebaikannya sebelum seluruh amal kebaikannya dihisab, maka diambil daripada amal keburukan mereka (orang yang pernah disakitinya) sehingga seluruh keburukan mereka dilemparkan kepadanya kemudian dia dilemparkan ke neraka.” (Hadis riwayat Muslim dan at-Tirmidzi).

Nyata, begitu rapi audit Allah. Jadi, tidak gerunkah kita dengan audit sebegitu rapi yang dikenakan ke atas segala amal kita di dunia sehingga akhirnya mengalami kerugian bertimpa-timpa dan menempatkan diri kita ke jurang neraka? Bagi mengelakkan kita mengalami kerugian di akhirat kelak, ada baiknya kita hayati sepenuhnya peringatan Rasulullah SAW itu.

Jika sebelum ini kita tidak ambil peduli soal persaudaraan, jadi marilah kita mula jalinkan persaudaraan. Kita perelokkan budi pekerti sesama saudara, tidak mencela dan mengintai keburukan, tetapi saling memuji dan menjunjung kebaikan. Kita buanglah sikap suka mengata dan memperlekehkan sesama sendiri yang selama ini menjadi tabiat kerana ia sedikit pun tidak mengundang kebaikan, sebaliknya lebih banyak mendatangkan kerugian.

Semua mengetahui hakikat itu, namun jarang ada yang mahu ambil peduli. Mengapa dan adakah keuntungan duniawi lebih diutamakan? Mungkin kerana itulah juga ada pihak yang berasa tidak bersalah mengambil harta secara tidak sah seperti rasuah dan riba. Rezeki haram juga dikejar untuk disuap kepada anak dan isteri, sedangkan rezeki halal masih banyak. Begitulah manusia, mudah terpedaya dan rambang mata sehingga hilang pertimbangan. Manusia menjadi keliru dalam mempertimbangkan di antara keuntungan dan kerugian, halal dan haram, lebih-lebih apabila mempunyai pengaruh dan harta yang banyak.

Oleh itu, marilah kita ambil pengajaran daripada hadis Rasulullah SAW tadi agar di akhirat nanti kita semua tidak tergolong dalam kalangan mereka yang rugi. Jalanilah kehidupan berpandukan syariat yang benar dan murni seperti ditetapkan Allah dan ditunjuk Rasulullah SAW. Semoga dengan itu, kita semua tergolong hamba-Nya yang beruntung khususnya di akhirat.
Sumber  :  Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan