Home Klik Di Bawah

Jumaat, 7 Mac 2014

Info -Nasi Goreng, Ayam Goreng, Keropok Ikan Penyumbang Serangan Jantung & Angin Ahmar

Awas penggemar nasi goreng, ayam goreng dan keropok ikan kerana hidangan kegemaran rakyat Malaysia itu kini tergolong antara makanan paling tinggi kandungan garam, sekali gus berisiko tinggi menyumbang kepada serangan jantung dan angin ahmar.
  
Tiga hidangan itu adalah antara 10 makanan tinggi garam yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan selain ikan goreng, kicap soya, sos tomato dan cili, ikan bilis, kari ikan, kari lembu dan kambing, bebola ikan dan udang.
 
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, laporan mengenai hidangan tinggi garam itu dibuat dalam satu kajian rintis oleh Institut Kesihatan Umum pada 2011 hingga Februari 2012 yang dilakukan dalam kalangan anggota kesihatan di Malaysia.
 
Beliau berkata, hasil analisis menunjukkan purata pengambilan garam dalam kalangan anggota kesihatan adalah 8.7 gram (g) sehari atau bersamaan 3,405 miligram sodium sehari iaitu 1.7 kali lebih tinggi berbanding saranan pengambilan garam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu lima gram sehari.
 
“Seseorang yang mengambil paras natrium (sodium) yang tinggi dalam darah berisiko untuk menghidap hipertensi seterusnya berisiko mendapat serangan jantung dan strok.
 
“Berdasarkan Kajian Beban Penyakit di Malaysia, penyakit jantung dan strok adalah di antara lapan penyakit utama yang membebankan negara kita dari segi kewangan dan kualiti gaya hidup rakyat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Minggu Kesedaran Garam Sedunia Ke-7, di sini, semalam.
 
Dr Subramaniam berkata, kajian juga mendapati kira-kira 5.8 juta rakyat Malaysia dewasa berusia 18 tahun ke atas kini menghidap penyakit hipertensi dipercayai akibat pengambilan garam berlebihan setiap hari.
 
Beliau berkata, kajian sama juga menunjukkan kicap soya adalah antara makanan utama yang menyumbang kepada kandungan garam tinggi.
 
Menurutnya, golongan lelaki didapati mengambil lebih banyak garam berbanding wanita.
 
“Bagaimanapun, pihak industri makanan di Malaysia turut menyokong usaha kementerian untuk mengurangkan kandungan garam dalam produk keluaran masing-masing.
 
“Hasilnya, sejak 2011 hingga 2013, sebanyak 30 jenis makanan di pasaran tempatan yang mempunyai kandungan garam tinggi dikurangkan kandungan garamnya sebanyak dua hingga 40 peratus daripada tahap asal,” katanya.
 
Katanya, antara makanan berkenaan termasuk biskut, kicap, mi segera, makanan ringan, daging beku, perasa tiruan dan sapuan roti. - Harian Metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan