Masa itu emas
Ungkapan melayu dahulu kala sering
mengaitkan masa dengan emas. Masa itu emas. Mungkin pada masa dahulu,
emas ini tampak berharga dari segalanya.
Benarkah sampai begitu sekali?
Ada juga yang mengatakan masa ini lebih
berharga daripada emas. Logiknya, emas yang hilang mungkin boleh dicari
dan diganti semula akan tetapi, bagaimana pula dengan masa?
Sedetik yang berlalu belum tentu boleh
diganti dan dicari semula. Itulah asbabnya masa ini terlalu berharga
untuk dibuang dan dibazirkan begitu sahaja.
As-Syahid Hassan Al-Banna pula jelas
mengaitkan masa dengan kehidupan, “Masa adalah sebuah kehidupan. Dan
kehidupan itu adalah masa yang dia habiskan bermula pada saat kelahiran
sehingga ke saat kematiannya”.
Manusia ini seringkali terleka dengan masa lapang dan mudah saja lalai dengan kehidupan fana.
Kadangkala sudah bertekad dan berazam
untuk menggunakan masa dengan baik, namun akhirnya kecundang jua, jalan
pembaziran yang menjadi pilihan untuk dilalui. Begitulah hakikat makhluk
yang diciptakan oleh Allah s.w.t di muka bumi ini.
Sesungguhnya, Allah s.w.t telah berjanji dengan masa:
Demi masa. Sungguh manusia dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran. ( Surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 3)
Allah s.w.t telah memperingatkan kita akan kepentingan masa melalui kalamnya iaitu kitab al-Quran.
Melalui ayat di atas, kita ketahui manusia akan terus berada dalam
kerugian kecuali bagi orang mukmin yang sedar akan kepentingan masa lalu
menggunakan masa tersebut untuk melakukan kebajikan dan kebaikan serta
memberi peringatan untuk manfaat diri sendiri dan masyarakat sekeliling
secara umumnya.
Namun berapa ramaikah yang mengambil pengajaran daripada ayat di atas?
Terlalu ramai yang tersungkur di pentas arena dunia fana apabila dikaitkan dengan pengurusan masa.
Mereka lebih rela menghabiskan masa yang
terluang dengan perkara yang membawa kepada keseronokkan, yang dapat
menghiburkan hati mereka, tanpa sedikit pun memikirkan tentang kematian
yang saban hari mendekati mereka!
Punca pembaziran masa
Ada manusia yang mampu menguruskan masa
dengan baik sehinggakan setiap detik masa yang ada diinfakkan untuk
melakukan kebaikan dan memperoleh redha daripada Allah s.w.t.
Ada juga manusia yang tidak tahu menghargai masa dan selalu menghabiskan masa untuk perkara yang menggembirakan hati mereka.
Ada manusia juga yang mampu menggunakan
masa dengan baik pada mulanya, tetapi tidak kekal lama, akhirnya kembali
meneruskan tabiat yang lama. Persoalannya, mengapakah perkara ini
seringkali terjadi?
“Iman itu kadang naik kadang turun, maka perbaharuilah iman kalian dengan la ilaha illallah.” (HR Ibn Hibban)
Inilah antara sebab mengapa manusia
seringkali culas dengan pengurusan masa. Imannya kadangkala turun dan
naik. Tidak tetap. Perkara inilah yang perlu kita akui sebagai insan
yang lemah di hadapanNya.
Perlu diingatkan juga, walaupun iman ini
sentiasa naik dan turun, namun kita punyai pilihan sama ada untuk
meningkatkannya atau mengurangkannya.
Oleh sebab itulah di dalam hadis ini,
kita disarankan agar sentiasa memperbaharui iman kita. Apabila iman
sudah tetap di hati, maka pengurusan mengenai masa bukanlah masalah
terbesar yang perlu dihadapi.
Kedua, manusia ini mempunyai hati yang mudah berbolak-balik.
Mungkin di siang hari, kita senang untuk
melakukan kebaikkan, tetapi tiba di malam hari, kita berubah dan lebih
tega untuk melakukan maksiat.
Begitulah manusia yang mempunyai hati tidak tetap dan seringkali berubah. Allah s.w.t telah berfirman:
“Dan Kami bolak-balikkan hati mereka dan penglihatan mereka.” (Surah Al-Anam, ayat 110)
Semakin tetap hati kita, semakin sukar
untuk kita jatuh dan tergelincir ke kancah maksiat. Namun, bukan mudah
untuk tetapkan hati.
Nabi Muhammad s.a.w selalu mengamalkan doa, “Wahai Rabb yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku pada agamaMu.”
Jika Nabi yang tidak pernah melakukan
apa-apa kesalahan, seringkali meminta agar ditetapkan hati, apatah lagi
kita yang tidak pernah gagal untuk melakukan dosa, sudahkan doa ini
dilazimi di bibir kita?
“(Iblis) menjawab, “kerana
Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka
dari jalan-Mu yang lurus, kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari
depan, dari belakang, dari kanan, dan dari kiri mereka. Dan Engkau
tidak akan mendapati kebanyakkan mereka bersyukur.” (Surah Al-A’raf,
ayat 16 dan 17)
Inilah antara punca yang terakhir yang ingin dikongsikan dalam di dalam artikel ini.
Janji syaitan terhadap Allah s.w.t sebelum golongan ini keluar dari syurga dan ditempatkan pula di neraka jahanam.
Syaitan telah berjanji akan terus menyesatkan cucu cicit Adam sehingga hari kiamat tiba.
Hanya manusia yang benar-benar ikhlas sahaja dan tidak lalai akan terselamat dari godaan dan tipu daya syaitan.
Ayuh kita atasinya!
Terlewat melaksanakan sesuatu tindakan
adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Malah situasi akan
menjadi lebih parah lagi sekiranya tiada apa-apa tindakan yang diambil
untuk mengatasi masalah tersebut.
Orang yang benar-benar mengenali masa
dengan baik akan berpotensi menggunakan masa sebaiknya tanpa
membazirkannya ke jalan yang sia-sia.
Setiap manusia dikurniakan 24 jam dalam sehari.
Hanya yang betul-betul mengenali masa
dengan baik akan merasakan waktu yang diberikan cukup bermakna untuk
melakukan kebaikkan dan kebajikan, selebihnya akan merintih dan
seringkali mengeluh kerana kesempitan waktu.
Sabda Rasulullah s.a.w,
“Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai apabila sesorang kamu bekerja dan
melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Nabi Muhammad s.a.w menekankan supaya
apabila kita ingin melakukan sesuatu, maka hendaklah dia melakukan
dengan bersungguh-sungguh.
Dalam konteks penggunaan masa, kita
hendaklah bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan agar masa yang
digunakan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.
Biarlah pekerjaan itu sedikit, tetapi pastikan jangan meleret!
Lakukan dengan bersungguh-sungguh dan
elakkan bertangguh agar masa yang selebihnya dapat digunakan untuk
perkara lain yang sama taraf kepentingannya.
Hormati masa orang lain
Hidup bermasyarakat mensyariatkan kita
agar bermuamalat dengan manusia lain. Kita sering sahaja memandang
enteng tentang kepentingan masa orang lain. Apabila perkara ini tidak
dibendung sewajarnya, maka mudarat mudah sahaja mendekati!
Mungkin mudah untuk berjanji masa dengan
orang lain, tetapi tidak mudah untuk menepati masa dengan orang lain.
Berjanji masa lain, tepati masa lain.
Inilah mentaliti yang perlu kita atasi
secepatnya. Membiarkan perkara ini sehingga bernanah, akan merumitkan
lagi langkah pemuliharaan.
Sekiranya berjanji, maka tepatilah
sehabis baik. Hormati masa orang lain sebagaimana kita mahu orang lain
menghormati masa kita. Sebagai seorang mahasiswa, pelajar dan juga
penuntut, kehidupan kita sangat dekat dengan kelas serta kuliah. Kuliah
yang kita hadiri saban hari perlulah kita peka dengan waktu pembelajaran
bermula. Andai terlewat, kita bukan sahaja menganggu kelas dan
pensyarah, tetapi memandu insan sekitar kita untuk melabelkan diri kita
sebagai manusia yang tidak tahu menghargai masa!
Sekiranya bersyura, berusrah,
bermesyuarat atau apa-apa majlis yang memerlukan kehadiran kita untuk
majlis itu bermula, maka jangan zalimi masa orang lain.
Jika terpaksa lewat disebabkan perkara
yang tidak dapat dielakkan, latih diri untuk beradab dengan masa orang
lain. Mohon kemaafan dan maklumkan akan kelewatan kita.
Ini lebih indah daripada lewat tanpa berita dan alas an yang kukuh!
Tawan masa!
Ramai manusia yang celik akan kepentingan masa tetapi buta akan cara menggunakannya.
Jadi, perkara ini akan merugikan diri
kita sendiri. Belajarlah cara menawan masa dan janganlah biarkan diri
kita ditawan pula oleh masa!
“Dua nikmat yang ramai manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan masa lapang.” (Riwayat Bukhari)
Antara kita dengan masa, siapakah lebih cilik?
Tanya diri kita sendiri, moga beroleh petunjuk Ilahi. Wallahualam.
*****
Artikel ini adalah perkongsian daripada sahabat kita, Cetusan Mukmin
http://akuislam.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan