Banyak perkara yang
manusia ketahui tapi tidak tahu rahsianya di sebaliknya. Antara
perkara-perkara yang manusia tahu tetapi mereka tidak tahu rahsianya
ialah…
1. Di antara cara mendidik manusia menjadi baik ialah dengan usaha menyakitkan nafsunya.
2. Jika seorang muslim
mati bersama sakit zahirnya, maka itu adalah penghapusan dosanya atau
dia mendapat darjat di dalam Syurga. Sebaliknya kalau dia mati bersama
penyakit batinnya, dia akan ke Neraka.
3. Manusia yang
berpenyakit lahir (fizikalnya), sakitnya boleh merosakkan anggotanya
sahaja tetapi manusia yang berpenyakit batin boleh merosakkan semua yang
ada di dunia. Banyak perkara yang akan dirosakkannya.
4. Sesuatu perkara atau
benda yang kita suka, sangat sukar untuk kita tadbir dan mengurusnya.
Biasanya selalu sahaja kita melakukan kesalahan di dalam mengurusnya.
5. Banyak orang boleh
memperkatakan penyakit batin tetapi gagal mengesannya. Lantaran itulah
ada orang waktu menceritakan penyakit sombong, pada masa yang sama dia
sedang memakai sifat itu.
6. Mendidik manusia secara tidak formal dan dari sikap diri kita lebih berkesan daripada sekadar memberi ilmu dan teorinya.
7. Ramai manusia
dirosakkan oleh makhluk yang paling bodoh, yang tiada akal dan tidak
bersekolah iaitu duit dan harta. Bahkan orang yang paling pandai seperti
profesor pun dirosakkannya.
8. Bangsa yang mempunyai
sifat taqwa dan ilmu akan menguasai manusia lain. Begitu pun banyak
bangsa tidak boleh menempuh jalan ini. Maka mereka menguasai bangsa lain
dengan kekuatan lahirnya tetapi kerosakannya terlalu banyak.
9. Orang yang memiliki
dunia selalunya jiwanya tidak tenang. Orang yang memiliki Allah, jiwanya
tenang. Justeru itu orang yang memiliki dunia ada yang membunuh diri
sendiri. Ini tidak berlaku kepada orang yang memiliki Tuhan.
10. Orang yang membunuh dirinya sendiri lebih besar dosanya daripada orang yang membunuh orang lain.
11. Kehidupan manusia di
dunia ini sebenarnya mudah diselesaikan jika tahu rahsianya. Iaitu
dengan iman dan taqwa. Nanti akan berlakulah, pemimpin menaungi dan
menegakkan keadilan, orang kaya akan pemurah, orang miskin sabar, orang
berilmu memberi ilmu, ulama-ulama memberi nasihat dan mendidik dan
pemuda-pemudi memberi tenaga. Semua manusia bermaruah dan bersifat malu.
Setiap orang akan mengutamakan orang lain. Anak yang kecil ditunjukkan
kasih sayang, anak yang masih bersekolah jangan tunjuk sayang atau benci
manakala terhadap anak yang sudah dewasa, tunjukkan kemesraan dan
selalu dijadikan kawan berbincang.
12. Seseorang manusia itu akan dikasihi atau diberi simpati kalau dia kenal dirinya dan pandai meletakkan diri pada tempatnya.
13. Telah menjadi tabiat
semula jadi manusia setiap orang sukakan keamanan, kasih sayang,
simpati, dibantu, dihormati,dan tidak diganggu. Namun adakalanya manusia
itu lupa, bahkan lumrah berlaku perkara yang dia tidak suka itu
disebabkan oleh dirinya sama ada secara langsung mahupun tidak. Sebagai
contoh, apabila seseorang itu zalim, orang lain akan berdendam dan
membuat kacau hingga hilang keamanan. Bila tiada keamanan, penzalim juga
turut susah dan terancam. Bila orang kaya bakhil, banyak orang dengki
dan sakit hati. Risikonya dia juga ikut sama menanggung. Bila seseorang
itu sombong, orang benci. Jika berlaku sesuatu keadaan yang
menyusahkannya, orang tidak akan ambil peduli dan orang tidak
bersimpati. Jadi, sikap kita itulah adakalanya mengundang bala atau
kesusahan. Bolehlah kiaskan dengan sikap-sikap yang lain.
*Sumber dari usahataqwa.com / detik islam
tq for sharing
BalasPadam