Home Klik Di Bawah

Jumaat, 18 April 2014

Jangan Cemburu dan 7 Petua Mengatasinya

 
Jadi, adakah anda pernah mengalami sekurang-kurangnya satu daripada senario di bawah ini?

1. Anda sekadar ada kereta kodok Volkswagen model 60-an yang selalu meragam di waktu pagi dan jiran sebelah rumah anda pula ada kereta Honda Civic yang bunyi enjinnya menderum sedap? Anda jadi sangat cemburu sehingga mengharapkan kereta Honda Civic jiran anda itu ditarik oleh bank?
 
2. Gaji anda cukup-cukup makan sahaja. Gaji rakan-rakan anda pula agak besar sehingga mereka mampu untuk makan angin di luar negara. Anda pula nak pergi makan angin di Pulau Carey pun rasa mahu terburai poket seluar. Cemburu punya pasal, anda berdoa agar kapal terbang yang dinaiki kawan anda itu terhempas, atau sekurang-kurangnya dirampas oleh teroris.
 

 
3. Kawan-kawan anda sudah ramai yang kahwin, dan anda juga mahu berkahwin, malangnya atas sebab-sebab yang tertentu anda masih lagi belum boleh berkahwin. Anda jadi tersangat cemburu pada rakan-rakan anda yang sudah berkahwin sehingga kadang-kadang anda harap esok pagi juga mereka bercerai?
4. Anda tambah sendiri senario...

Cemburu Pertama Dalam Sejarah Manusia
Cemburu paling hebat yang pernah terjadi dalam sepanjang alam ini wujud adalah cemburu Iblis kepada Nabi Adam. Apabila Allah menyuruh Iblis sujud pada Nabi Adam, Iblis enggan. Iblis merasakan dirinya lebih bagus dari Nabi Adam. Iblis cemburu kerana Allah memberikan penghormatan yang begitu tinggi kepada Nabi Adam. Akibatnya, Iblis dicampak keluar dari syurga dan kini tempat tinggal abadinya adalah di dalam neraka.


Cemburu manusia yang pertama pula berlaku dalam kisah Habil dan Qabil yang merupakan 2 orang putera Nabi Adam. Qabil tidak puas hati dengan Habil kerana Habil akan dinikahkan dengan Iqlima (saudara kembar Qabil) yang jauh lebih rupawan dari Labuda (saudara kembar Habil). Ini kemudiannya membawa kepada adegan-adegan dramatik yang mencemaskan. Klimaks kepada kisah ini adalah apabila Qabil membunuh Habil. Ini kes cemburu pertama dalam sejarah manusia, dan cemburu pertama ini juga telah membawa kepada tragedi pertumpahan darah yang pertama di atas muka bumi ini.

7 Petua Mengatasi Sifat Cemburu
1) Daripada 2 kisah cemburu yang membabitkan Iblis dan Qabil itu, kita dapati bahawa sifat cemburu tidak membawa sebarang kebaikan langsung kepada kita. Cemburu hanya memusnahkan diri sendiri. Tiada pengakhiran yang baik dan menggembirakan dalam hati manusia yang sering cemburu. Oleh itu sebelum anda mahu cemburu, cuba renung kembali kisah Iblis dan Qabil ini.

2) Kita selaku manusia biasa, memang agak sukar untuk membuang 100% sifat cemburu dari terus mendiami hati. Oleh itu, lempiaskan sifat cemburu ini pada 2 jenis keadaan sahaja berdasarkan kepada hadith Rasulullah sallahu alayhi wasalam dari kitab Sahih Muslim ini:

Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali terhadap dua orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia.

3)
Imam al-Ghazali ada menerangkan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa manusia jenis yang kuat hasad dan cemburu ini, apabila diceritakan kepadanya kesenangan yang diterima oleh orang lain, hatinya akan jadi benci dan resah. Apabila dia mendapat tahu musuhnya ditimpa musibah dan nasib malang, hatinya akan menyanyi keriangan.

Cemburu pada orang lain bermaksud kita tidak gembira pada nikmat yang Allah berikan kepada para hamba-Nya. Ini juga bermakna bahawa kita tidak redha pada takdir dan ketetapan Allah. Jika kita sendiri tidak redha pada Allah, apakah mungkin bagi kita untuk mendapatkan keredhaan Allah? Dan jika Allah tidak redha pada kita, apakah mungkin ketenangan hati itu akan kita kecapi?

Imam Maulud  , seorang ulama Sufi yang hebat, ada menerangkan bahawa untuk membersihkan hati (sekaligus mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa), kita elakkan dari berasa cemburu pada kejayaan orang lain. Sebaliknya, jika manusia lain mendapat kebaikan dan rezeki yang lebih dari kita, kita doakan kebaikan dan kegembiraan untuk mereka. Hatta jika musuh kita yang mendapat kebaikan, jangan juga cemburu. Cemburu kepada musuh hanya akan menambahkan lagi penguasaan psikologi mereka ke atas diri kita.

4) Cemburu hadir sebab kita rasa kita lebih bagus dan lebih mulia dari orang lain.
Apabila kita ada persepsi sebegini, kita akan mudah merasakan bahawa dia dan mereka tidak layak untuk menerima nikmat tersebut. Kita sahajalah yang layak. Buang sifat sebegini dan tanamkan dalam hati dan minda bahawa yang orang lebih mulia di sisi Allah hanya diukur dari segi takwa. Dengan ini, di samping dapat membuang sifat cemburu, kita juga sekaligus dapat berlumba-lumba dengan manusia lain dalam meningkatkan taqwa kepada Allah.

5) Dalam 3 senario di atas, saya ada sentuh tentang bab kahwin. Saya jadikan isu kahwin ini agak spesifik memandangkan saya kenal dan tahu beberapa orang kawan saya, dan kebanyakkan adalah perempuan yang mengeluh kerana masih lagi belum bertemu jodoh. Mereka agak depress.

Berkahwin memang seronok. Siapa tidak suka kahwin. Tetapi menjadikan perkahwinan sebagai alasan untuk memberikan kebahagian hidup agak kurang tepat. Pasangan berkahwin yang kelihatan gembira mungkin kerana sejak zaman bujang lagi mereka sudah memiliki gaya hidup yang ceria. Tapi apa akan jadi jika Lelaki A yang pesimis berkahwin dengan Wanita B yang bersifat sangat cemburu buta. Anda fikir dengan perkahwinan itu, Lelaki A dan Wanita B itu akan mendapat kegembiraan dan kebahagiaan hidup?

Perkahwinan hanya satu keindahan yang sementara. Jika ia tidak disulami dengan tanggungjawab, perkahwinan adalah satu bala. Terangkan kepada saya mengapa Britney Spears bercerai dengan suami pertamanya, iaitu Jason Allen Alexander setelah mereka sah menjadi suami isteri selama 55 jam sahaja? Saya juga ada seorang rakan (Melayu) yang menceritakan kisah sedih rakannya (Melayu) yang diceraikan suaminya setelah 1 tahun berumahtangga. Mengapa ini berlaku? Tiada kebahagiaan!


Maka, perkahwinan bukan tiket mutlak kebahagiaan hidup. Ketahuilah bahawa sebahagian dari kegembiraan itu terletak pada redha Allah ke atas manusia dan sebahagian lagi terletak pada cara seseorang itu berfikir. Kepada yang masih belum berkahwin, bawa-bawa bersabar. Bak kata senior saya,
let's chill and relax...  
Jangan cemburu kepada rakan-rakan yang terlebih dahulu menamatkan zaman bujang dan anak dara. Bila sampai masa yang ditetapkan Allah, anda pasti akan mendapatnya. Ini konsep tawakal dalam Islam  . Ada yang cepat dan ada yang lambat. Cuba aplikasikan konsep Taburan Normal dalam ilmu statistik untuk lebih memahami masalah ini.

6) Apa yang mereka ada tidak semestinya diberkati Allah. Kadang-kadang rezeki yang Allah beri pada hamba-Nya adalah bersifat istidraj semata-mata. Rasullulah bersabda:

Apabila kamu melihat Allah memberikan nikmat kepada hamba-Nya yang selalu membuat maksiat, ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah.
(Hadith riwayat Imam at-Tabarani, Ahmad dan Al-Baihaqi).


Istidraj adalah nikmat yang Allah berikan kepada orang-orang kafir dan fasik, tetapi dalam masa yang sama Allah hilangkan erti kesyukuran di dalam hati mereka, dan Allah membinasakan mereka secara beransur-ansur tanpa mereka sedari.

Jiran anda di sebelah rumah yang selalu pergi clubbing dan tuang arak dalam perut, tetapi kereta mewah ada 2-3 biji, menjawat pula title CEO di sebuah syarikat besar, maka ketahuilah bahawa rezeki yang mereka terima itu berkemungkinan besar adalah istidraj. Oleh itu, jika anda patuh dan taat pada segala-perintah Allah, melakukan solat tahajjud setiap malam, tetapi rezeki masih lagi dalam keadaan terumbang-ambing, maka janganlah terlalu risau. Rezeki sikit atau banyak adalah ujian dari Allah.

Jangan sangka dengan duit berkepok-kepok di bawah bantal akan membuatkan kita gembira.
Kita gembira kerana Allah yang kasi kita gembira. Jika anda ada buku
Ayah Kaya, Ayah Miskin  , cuba selak semula bahagian awal buku itu, yang mana Robert Kiyosaki ada menceritakan kisah beberapa orang ternama yang kaya-raya waktu itu, akhirnya menerima kesudahan hidup yang menyedihkan setelah berlakunya peristiwa Great Depression  . Lihat, semudah itu sahaja Allah mahu tarik kekayaan seseorang.
7)
Akhir sekali, cemburu datang kerana kurang sifat syukur dalam diri. Kita selalu memikirkan dan berasa rungsing dengan apa yang masih tidak kita miliki. Kita cemburu pada orang lain yang ada apa yang kita mahu. Tetapi selalu sangat kita tidak bersyukur dengan apa yang sedang kita ada.

Jika anda menyimpan makanan dalam peti sejuk,
dan menyimpan baju di dalam almari,
dan ada katil sebagai tempat tidur,
dan memiliki sebuah rumah...

Maka anda sudah jadi lebih kaya dari 75%
penduduk bumi yang lain!


Maka, bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki adalah kunci utama bagi membuang sifat cemburu dan sekaligus mendatangkan kebahagiaan di dalam hati. Jangan apabila ia sudah pergi baru kita mahu bersyukur dan menangis kerana manusia selalunya begitu. Hargai sekecil-kecil nikmat Allah. Insya-Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan