Home Klik Di Bawah

Selasa, 29 April 2014

Kuasai nafsu

AL-FARUQ merupakan gelaran untuk Umar bin al-Khattab. Maknanya orang yang sangat pandai membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Gelaran ini memang sangat sesuai untuk menggambarkan sifat-sifat yang terdapat dalam diri beliau.

Pada suatu hari, Umar berjumpa dengan Jabir bin Abdillah di tengah jalan. Beliau melihat Jabir pulang dari pasar dengan membawa sesuatu. 

Umar bertanya: “Apa yang engkau bawa itu, wahai Jabir?" 

Jabir menjawab: “Ini sepotong daging. Aku membelinya sebab tengah teringin memakan daging." 



Daging makanan yang halal dan baik. Namun berbelanja kerana motif keinginan tidak disukai oleh Umar. Beliau menegur Jabir dengan berkata: “Apakah setiap kali menginginkan sesuatu, engkau terus membelinya?"

Kisah ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam kitab Al-Zuhd.

Ucapan Umar bin al-Khattab ini patut menjadi panduan hidup Muslim moden. Beliau mengajar kita untuk tidak menjadikan keinginan sebagai motif perbelanjaan. Akan tetapi perbelanjaan itu mestilah berasaskan keperluan. 

Keinginan tidak selalu selari dengan keperluan. Sering kali seseorang membeli sesuatu barang bukan karena ia memerlukannya. Ia membelinya hanya karena barangan itu pernah dilihatnya dalam sebuah iklan yang sangat menarik. 

Jika kita menginginkan sesuatu yang tidak diperlukan, maka itu petanda kuasa nafsu yang sangat besar di dalam hati. Kita perlu ingat bahawa hawa nafsu selalu menyuruh kepada keburukan. (rujuk Yusuf: 53)

Nafsu tidak pernah mengenal had batasan. Setiap kali diberi, ia akan meminta yang lain. Jika terus diperturutkan, nafsu akan menjerumuskan kita ke jurang pembaziran. Dan pembaziran akan membawa kita kepada situasi kegawatan kewangan suatu hari nanti.

Cara Muslim

Prinsip ini memperlihatkan ketinggian fikah Umar. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang mencela sikap memperturutkan hawa nafsu. Sikap ini merupakan salah satu cara hidup orang kafir yang mesti dijauhi.

Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. (al-Najm: 23)

Muslim mesti memperlihatkan cara hidup yang berbeza. Kita berbelanja kerana keperluan, bukan setakat kerana keinginan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang meninggalkan sebuah pakaian kerana tawaduk kepada Allah SWT, padahal ia mampu memakainya, maka pada hari kiamat nanti Allah akan memanggilnya di hadapan semua makhluk, lalu membiarkannya memilih baju-baju iman yang ia kehendaki." (riwayat Imam Ahmad)

Sungguh besar balasan orang yang meninggalkan nafsu dan keinginannya kerana Allah SWT. 

Pembaziran

Pada kesempatan yang lain, Umar berkunjung ke rumah anaknya, Abdullah. Setibanya di rumah Abdullah, beliau melihat sepotong daging. Umar lalu bertanya: “Mengapa ada daging di sini?" Abdullah menjawab: “Aku sedang teringin memakan daging, jadi aku membelinya." 

Umar berkata: “Apakah setiap kali teringin sesuatu, engkau terus memakannya? Cukuplah pembaziran yang dilakukan seseorang, setiap kali ia menginginkan sesuatu ia lalu memakannya."
utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan