Home Klik Di Bawah

Ahad, 13 April 2014

Muhasabah Diri - Petanda IMAN Lemah

Assalamu'alaikum dan salam sejahtera semua...
 
Iman. Merupakan suatu anugerah yang tiada tolok bandingnya. Ia adalah benda yang paling berharga, tidak boleh dijual beli, tidak boleh diwarisi dan tidak boleh dimiliki dengan sesuka hati dan perasaan. Ia merupakan nikmat yang hanya akan Allah kurniakan kepada hamba-hamba-Nya yang dikasihi dan disayangi. Merupakan syarat dalam penerimaan segala amal kebaikan mahupun kebajikan yang kita lakukan dan ia merupakan syarat untuk diterima masuk ke dalam syurga.
 
Namun, kita seringkali lemah dan akhirnya tewas dalam hayunan buaian dunia yang begitu mengasyikkan. Begitulah keadaan iman kita sekarang. Bak air yang pasang dan surut. Seumpama kulit bawang yang tersangat nipis, mampu diterbangkan dek kerana tiupan angin dan mampu dihancurkan dengan mudah. 
 
Sesungguhnya penyakit lemah iman itu mempunyai beberapa tanda dan fenomena di antaranya:
 
1. Melakukan maksiat dan dosa.
 
Terdapat orang yang melakukan kedurhakaan secara terus-menerus. Dan ada pula yang melakukannya dengan pelbagai jenis kedurhakaan secara sembunyi-sembunyi. Apabila sering melakukan kedurhakaan, maka ia akan menjadi suatu kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan lagi, seterusnya hati akan menjadi sirna daripada merasa kedurhakaan itu dan akhirnya berani melakukan secara terang-terangan.
 
2. Merasakan kerasnya hati.
 
Seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir-hampir mustahil untuk diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apapun.
 
Firman Allah SWT:  
 
"Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh karena takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (2:74) 

Orang yang hatinya keras tidak mampu dipengaruhi dengan nasihat tentang kematian,tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur kaku. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat tersebut dan mengurungnya di liang lahad, tetapi langkah-langkah kakinya di antara setiap perkuburan tidak ubah seperti langkah-langkah di antara longgokan batu.
 
3. Tidak tekun dalam ibadah.
 
Tidak memikirkan dan menyemak makna-makna setiap doa yang dibaca, sehingga membaca hanya sekadar rutin harian. Mungkin doa yang dibaca hanya terbatas kepada doa-doa yang tertentu sahaja, sehingga tidak merasa perlu untuk memikirkan makna-maknanya. Padahal Allah SWT tidak menerima doa yang dibaca hanya sekadar sahaja, sebagaimana yang disebut dalam satu hadis:
"Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main." ( At-Tarmizi)
 
4. Malas beribadah dan selalu berlengah-lengah.
 
Ibadah yang dilakukan hanya sekadar aktiviti yang kosong tanpa roh. Allah telah menyifatkan orang-orang yang munafik dalam firman-Nya:
 
"Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas" (4:142). 

Selain daripada itu, mereka tidak mempedulikan hilangnya tanda-tanda kebaikan dan meremehklan waktu-waktu yang tepat untuk beribadah. Contohnya, menunda-nunda akan solat jemaah dan solat jumaat.
 
5. Tidak tersentuh dengan ayat Al-Quran.
 
Tidak tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, pensifatan kiamat dan lain-lainnya di dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengar kandungan isi Al-Quran, dan tidak berusaha untuk mengajak dirinya berhubung secara langsung dengan Al-Quran.
 
6. Tidak khusyuk dalam berzikir dan berdoa.
 
Berzikir menjadi satu pekerjaan yang berat bagi dirinya. Jika mengangkat tangannya untuk berdoa, dengan sepantas kilat juga dia akan menelangkupkan tangannya dan menyudahinya. Allah telah menyifatkan orang-orang munafik dalam firman-Nya: 
 
"Dan mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sahaja" (4:142)

7. Tiada rasa tanggungjawab demi kepentingan Islam.
 
Tidak mahu berusaha untuk menyebarkan dakwah. Keadaan ini jauh berbeza dengan para sahabat nabi. Seorang pemuda Ibn Amr terus pergi melakukan dakwah kepada kaumnya sebaik sahaja masuk Islam. Tetapi majoriti orang-orang zaman sekarang hanya duduk senang lenang.
Wallahu 'alam...
 http://kum-pun.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan