Home Klik Di Bawah

Selasa, 1 April 2014

Nasihat Penting Kepada Anak-Anak

pakah nasihat atau wasiat penting yang seharusnya kita sampaikan kepada anak-anak kita?

Dalam surah Al-Baqarah, ayat ke-132 dan 133 ada diceritakan contoh wasiat yang diberikan oleh para Nabi yang mulia `alahimus solatu wassalam kepada anak-anak mereka.  Justeru, sewajarnya contoh dari mereka kita jadikan ikutan dan cuba untuk amalkan.

ALLAH `Azza wa Jalla berfirman:
Maksudnya:  Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.
(Surah Al-Baqarah, 2:132)


 
Itulah wasiat yang penting untuk kita sampaikan pada anak-anak kita.  Sekurang-kurangnya kita cubalah sampaikan walau sekali dalam kehidupan mereka.  Supaya mereka maklum akan nasihat penting ini, lalu menyematkannya kemas di dalam dada mereka, in shaa’ ALLAH.
Apakah wasiat penting itu?
“Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.”
Jangan berlengah lagi.  Terus sampaikannya kepada anak-anak kita sekarang!  Supaya kita tidak terlupa.
Di dalam ayat yang seterusnya, ALLAH `Azza wa Jalla berfirman:
Maksudnya:  (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.”
(Surah al-Baqarah, 2:133)
Daripada ayat di atas, bolehlah kita jadikan contoh buat diri kita tatkala sudah tua atau hampir meninggal dunia nanti mengenai apakah nasihat atau wasiat penting yang mesti kita sampaikan kepada anak-anak kita selain wasiat-wasiat yang lain?
Ya, inilah contoh wasiat yang baik dan penting untuk kita sampaikan:
“Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?”
Dan dengarkan apa jawapan mereka…!

Semoga dengan menyampaikannya, kita berasa lega dan tenang kerana telah memastikan anak-anak kita faham dan tekad bahawa kepada ALLAH lah mereka akan sembah dan abdikan diri selepas kematian kita.  Semoga ikrar bahawa “tiada tuhan selain ALLAH” dan “hanya kepadaNYA lah mereka berserah diri!” menjadi pegangan dan ingatan buat mereka selama-lamanya.  Semoga jiwa tauhid terus mekar walau setelah ketiadaan kita.

Kepada ALLAH lah kita serahkan urusan yang penting ini.  Moga-moga ALLAH pelihara iman kita dan zuriat kita, amin…

- muzir.wordpress.com  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan