Home Klik Di Bawah

Khamis, 10 April 2014

Reda ketentuan Ilahi

Kehilangan insan yang disayangi sememangnya sesuatu yang amat pedih dan sukar diterima oleh keluarga dan rakan rapat, terutama jika ia berlaku sekelip mata dan dalam keadaan tragis.

Perasaan kehilangan yang mendalam dirasai hingga ke sanubari dan untuk seketika, dunia dirasakan gelap dan tidak bermakna, hanya mendambakan kepulangan insan tersayang biarpun jauh di sudut hati kita tahu dia sudah pergi buat selama-lamanya.

Keadaan itu mampu membuatkan seseorang bermain dengan perasaannya sehingga tidak lalu menyentuh makanan atau tidur, sebaliknya hanya iringan air mata membasahi pipi setiap saat.


Kesedihan melampau dalam tempoh sebulan dua sememangnya sesuatu yang normal bagi manusia apabila kehilangan orang tersayang, tidak kira sama ada berpisah hidup ataupun mati. 

Foto 
 
 

Ia tindak balas biasa dan kesedihan juga satu cara untuk kita berhadapan dengan sesuatu ujian sehinggalah perasaan kita menjadi lebih tenang dan mula dapat menerima hakikat yang sudah ditentukan oleh Allah SWT.

Bagi orang Islam, rasa reda dengan segala ketentuan-Nya dan yakin kepada takdir serta semua yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri juga sedar semuanya akan kembali juga akhirnya kepada Allah, cara terbaik untuk mengubat hati yang luka.

Siapalah kita untuk menentukan perkara yang sepatutnya berlaku di dalam hidup ini sedangkan kita semuanya milik Allah dan hanya Allah yang maha mengetahui.

Percaya kepada qada dan qadar ternyata kunci kepada kehidupan yang tenang hingga mampu menerima segala ketentuan dengan hati yang terbuka. Kasih sayang Allah tidak sememangnya tidak mampu dibandingkan dengan kasih sayang manusia.

Setiap orang bersedih dengan cara mereka yang sendiri, namun dalam tempoh beberapa bulan, kebanyakannya akan menjadi lebih tenang dan rasional kerana masa sering menjadi pengubat apa saja kesedihan.

Menurut seorang pakar psikiatri Elisabeth ­K¸bler-Ross dalam laporannya pada 1969, kesedihan terbahagi kepada lima tahap iaitu penafian (ini tidak mungkin berlaku), kemarahan (mengapa ini berlaku, siapa yang patut dipersalahkan), mula tawar-menawar (tolonglah kembalikan dia kepada saya), kemurungan (saya sungguh sedih dan tidak boleh melakukan apa-apa) dan akhirnya tahap penerimaan (saya sudah dapat menerimanya).

Terdapat beberapa mitos mengenai kesedihan antaranya jika kita tidak mengendahkan perasaan sedih, ia akan hilang dengan lebih cepat, penting untuk bersikap ‘kuat’ ketika berhadapan dengan kesedihan, menangis satu-satunya cara untuk ­melepaskan kesedihan dan kesedihan selalunya berlangsung sekurang-kurangnya selama setahun.

Hakikatnya, kita perlu berhadapan dengan perasaan sedih dan membiarkan diri melalui proses biasa kesedihan sehinggalah kita menjadi semakin tenang dan rasional. Tidak semua kesedihan akan berkurangan dengan cara menangis tetapi ada pelbagai lagi cara yang boleh dilakukan. Misalnya bagi orang Islam, lebih mendekatkan diri dengan Allah termasuk memperbanyakkan amalan dan membaca ayat suci Al-Quran boleh membantu mengatasi rasa sedih dan kehilangan.

Selalunya pada peringkat awal kesedihan, kita rasa seperti mahu menjadi gila, mempersoalkan kejadian itu sehingga kepada tahap mengapa Tuhan mengambil orang yang tersayang atau berasa diri seperti hanya sedang bermimpi.

Ini disebabkan kejutan selepas menerima berita kematian terutama jika anda baru saja berjumpa sehari sebelum itu atau baru bercakap di telefon, namun secara tiba-tiba dia sudah pergi selama-lamanya dan tidak akan kembali.

Ia juga mungkin didorong oleh rasa bersalah kerana tidak melakukan apa yang dirasakan perlu semasa hayatnya masih ada atau kerana tidak mampu menghalangnya membuat sesuatu yang kemudian menyebabkan kematian.

Ketika bersedih, amat penting seseorang itu mendapat sokongan kuat daripada orang di sekeliling. Apa yang penting mereka dapat berbual dengan orang yang memahami, meluahkan segala yang terbuku di hati dan berkongsi kesedihan.

Bagi rakan atau keluarga yang mungkin juga pernah mengalami pengalaman yang sama, mereka mampu menjadi penyokong kuat untuk memberi kata-kata perangsang supaya seseorang yang bersedih dapat kembali bersemangat dan meneruskan hidup dengan baik.

Selain melalui lisan, perasaan sedih juga boleh diluahkan dengan cara menulis dan bersikap jujur pada diri sendiri. Segala perasaan dan persoalan yang bermain dalam diri perlu diluahkan bagi membantu berhadapan dengan situasi kehilangan orang yang dikasihi.


Luang masa, dengar luahan hati

Seiring masa yang berlalu, seseorang sepatut­nya menjadi lebih tenang dan sekiranya kesedihan terus berlarutan sehingga menjadi lebih teruk, ia mungkin petanda seseorang mengalami masalah emosi dan kemurungan. Mereka perlu bertemu dengan pakar seberapa segera untuk mendapat­kan bantuan khusus.

Apabila kita berhadapan dengan orang yang sedang bersedih, penting untuk memberi sokongan bukan saja melalui kata-kata semangat tetapi juga melalui kesudian meluangkan masa dan mende­ngar luahan hati mereka.

Tunjukkan keprihatinan kepada mereka dan tidak sesekali memasukkan elemen negatif dalam perbualan, sebaliknya menyuntik kata-kata soko­ngan yang bersifat positif.

Kebanyakan orang rasa sukar atau serba salah untuk bertemu orang yang sedang bersedih ­kerana menganggap keadaan akan menjadi ­janggal atau mereka tidak tahu apa yang hendak dikatakan ­untuk mengurangkan kesedihan.

Namun perlu diketahui, sokongan kepada orang yang bersedih tidak perlu diluahkan melalui kata-kata, cukup sekadar bertemu, memegang tangan, memeluk atau meluangkan masa mendengar saja apa yang hendak diluahkan. Ini penting kerana orang yang bersedih memerlukan insan memahami terutama dalam kalangan keluarga dan rakan rapat.

Sememangnya agak janggal apabila hendak memulakan perbualan dengan orang yang bersedih namun terdapat cara yang boleh dilakukan, termasuk menawarkan bantuan pada bila-bila masa ia diperlukan.

Sebaik orang bersedih mula meluahkan perasaan, rakan atau keluarga yang menghulurkan sokongan perlu bersikap terbuka, jangan sekali-kali seperti memaksanya segera melupakan kesedihan.

Menenangkan orang yang bersedih sememangnya perlu, tetapi elakkan diri daripada perkataan yang mungkin menimbulkan kemarahan individu terbabit. Antaranya ‘saya faham apa yang kamu rasa’, ‘kamu perlu meneruskan hidup’ dan ‘lupakan saja orang itu’.

Ajaklah orang yang bersedih itu melakukan tugasan rutin seperti keluar membeli barangan keperluan, membantu menguruskan urusan pengebumian, membantu membersihkan rumah, menjadi pemandu sementara untuk membawanya ke mana-mana yang perlu, membawanya berjalan-jalan di luar rumah dan melakukan aktiviti yang disukai sebelum itu.
mymetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan