Home Klik Di Bawah

Jumaat, 2 Mei 2014

Fakta - 62% Boss Penjawat Awam Adalah Wanita

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Kira-kira 62 peratus atau 205,557 orang penjawat awam di peringkat pengurusan dan profesional tahun lepas adalah wanita.
 
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata beliau yakin pencapaian itu akan merintis laluan untuk mereka mendaki tangga kerjaya ke jawatan lebih tinggi.
 
Bercakap pada penutupan Persidangan Kepimpinan Wanita Dalam Sektor Awam dan Swasta di sini hari ini, beliau berkata Malaysia mengakui kepentingan bakat dan keupayaan wanita dalam persekitaran di tempat kerja.
 
Sementara itu, berhubung dasar untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam sektor awam yang diumumkan kerajaan pada 2004, beliau berkata ia telahpun melepasi sasaran.
 
 
  
"Peratusan melibatkan pembuat keputusan dalam sektor awam yang hanya 18.8 peratus pada 2004 telah meningkat kepada 30.5 peratus pada 2009, 31.7 peratus pada 2012 dan 33.7 peratus tahun lepas," katanya.
 
Azizah berkata Malaysia turut mencatatkan perkembangan memberangsangkan untuk merapatkan jurang jantina dalam bidang profesional.
 
Sebagai contoh, pada 2013, wanita membentuk 64.3 peratus daripada semua doktor gigi di negara ini, 50.3 peratus akauntan, 50.5 peratus peguam, 47.8 peratus doktor perubatan, 43.2 peratus juruukur bahan, 41.5 peratus doktor veterinar dan 34.7 peratus arkitek, katanya. - BERNAMA         

Tiada ulasan:

Catat Ulasan