Home Klik Di Bawah

Isnin, 5 Mei 2014

Keindahan Grand Canyon, Keajaiban Ukiran Alam Berusia 2 Bilion Tahun!

Pada pertengahan kurun ke 19, seorang bekas perajurit Amerika Syarikat, Mejar John Wesley Powell bersama sembilan orang rakannya telah menjelajah ke bahagian utara benua Amerika.


Grand Canyon  

Mereka menyusuri sungai Colorado untuk mencari dan membuat kajian tentang sebuah lokasi misteri yang dikenali sebagai Grand Canyon.

Jauh di pedalaman wilayah utara Arizona, Amerika Syarikat, terbentang serangkaian pergunungan purba dengan lapisan gaung berwarna-warni yang sangat dalam.






Grand Canyon [2]  

Kewujudan sungai berwarna hijau yang membelah daratan membuatkan kawasan ini benar-benar memukau pandangan sesiapa saja yang melihatnya.

Itulah Grand Canyon, sebuah fenomena alam yang sangat istimewa kerana di situlah segala sejarah tentang bumi ini terpahat.

Selama bertahun-tahun kewujudan Grand Canyon dan dataran tanah tinggi Colorado sekian lama telah menjadi misteri geologi. Namun kini, tabir misteri struktur anomali raksasa itu mula diperkatakan.

Sesiapa sahaja yang bertandang ke Grand Canyon dan melihat ke bawah pasti akan berfikir atau tertanya-tanya, bagaimana fenomena itu boleh terbentuk.

Jawapan paling ringkas yang menebak fikiran ialah, aliran air sungai yang menghakis gaung dan lurah gunung.

Namun, disebalik hujah tersebut sebenarnya terdapat beberapa faktor semula jadi lain yang menyumbang kepada pembentukan misteri alam itu.

Grand Canyon [3]
Grand Canyon [4]
Grand Canyon [5]

Bumi memerlukan hampir dua bilion tahun untuk membentuk fenomena di Grand Canyon. Proses pembentukannya melewati pelbagai tempoh penting apa yang berlaku di muka bumi.

Antaranya ialah perubahan iklim, pembentukan gunung-ganang, pergerakan lempeng bumi dan beberapa perkara lainnya.

Setiap tempoh perubahan itu, menyumbang satu lapisan pada Grand Canyon. Dengan meneliti lapisan demi lapisan di Grand Canyon, para penyelidik dan ahli geologi dapat mengetahui apa sahaja yang terjadi di bumi kita selama dua bilion tahun.

Menurut seorang ahli seismologi dari University of Arixona, Amerika Syarikat, George Zandt, faktor awal kemunculan Grand Canyon adalah disebabkan berlakunya tumbukan dua buah lempeng bumi.

Ketika lempeng Pacifik dan lempeng benua Amerika Utara bertembung, maka terbentuklah rangkaian pergunungan purba yang sangat besar dan tinggi. Seiring waktu, pergunungan purba ini kemudiannya terhakis sedikit demi sedikit.

Iklim bumi yang tidak menentu mengikis keadaan pergunungan ini. Ketika air laut naik, pergunungan ini tenggelam ke dasar laut. Ketika laut surut pergunungan ini muncul semula. Timbul tenggelam pergunungan inilah yang meninggalkan jejak berupa lapisan di Grand Canyon.

Ketika pergunungan ini tenggelam, pasir laut menutupinya dan haiwan-haiwan laut hidup di atasnya.

Grand Canyon [6]

Apabila paras laut surut, endapan pasir itu tetap wujud, begitu juga dengan haiwan laut di atasnya. Ini dibuktikan dengan penemuan banyak batuan endapan (sedimen) pada Grand Canyon.

Seperti yang diketahui, batu endapan ini hanya boleh terbentuk di dasar laut atau perairan cetek. Manakala haiwan-haiwan laut pula ditemui di lapisan teratas Grand Canyon dalam bentuk fosil. Antaranya ialah fosil Brachiopoda, Koral, Moluska, Kerang dan Cacing Laut.

Menurut George Zandt, faktor lain yang membentuk Grand Canyon adalah Sungai Colorado. Ketika Dataran Tinggi Colorado terangkat setinggi tiga batu daripada permukaan laut yang disebabkan oleh aktiviti lempeng bumi, sungai ini secara langsung telah memotong Dataran Tinggi Colorado, melewati Grand Canyon.

Ketika tanah disekitar sungai terangkat ke atas, ia membelah Colorado dengan lebih dalam.

Sungai ini mengikis dinding-dinding Grand Canyon dan tebing-tebingnya. Kemampuan sungai ini menghakis sungguh menakjubkan.

Setiap hari, ia membawa setengah juta tan sisa kikisan ke lautan Pacifik. Begitulah proses semula jadi ini berlaku sehingga membentuk fenomena Grand Canyon seperti yang dapat dilihat hari ini.

Sebenarnya, jurang paling dalam di dunia bukanlah Grand Canyon yang cuma berkedalaman 1,600 meter. Terdapat beberapa lagi jurang lain yang lebih dalam seperti Colca Canyon dan Cotahuasi Canyon di Peru yang berkedalaman lebih daripada 3,000 meter.

Grand Canyon [7]

Namun, apa yang membuatkan Grand Canyon terkenal adalah keunikan strukturnya, warna-warni landskap dan sejarah bumi yang terkandung di dalamnya.

Itulah sebabnya kenapa Grand Canyon yang memiliki panjang 446 kilometer dan lebar antara enam hingga 29 kilometer ini dikunjungi oleh jutaan pelancong setiap tahun, menjadikannya antara lokasi paling terkenal di dunia.

Sungguhpun begitu, fenomena indah ini akan berubah juga dalam suatu tempoh tertentu suatu masa nanti.

Ketika itu, Grand Canyon akan memahat pula peristiwa yang berlaku di bumi pada masa kini dan akan datang.

-Sentiasapanas.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan