Home Klik Di Bawah

Sabtu, 17 Mei 2014

Matlamat Hidup Yang Perlu Dicapai


matlamat
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah pada hal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi pembalasan bagi segala yang kamu kerjakan).” (Surah al-Baqarah, ayat 28)
Mengingkari Allah SWT setelah menyaksikan sendiri dalil yang jelas serta menerima pelbagai nikmat-Nya adalah kekufuran yang amat buruk dan keji.


Antara pendekatan al-Quran supaya manusia beriman kepada Allah SWT dan risalah yang dibawa oleh Nabi serta Rasul ialah dengan mengingatkan mereka perkara yang dekat dengan mereka.




Allah SWT menjelaskan antara tanda kebesaran-Nya yang sememangnya cukup mudah difahami ialah penciptaan mereka sehinggalah kepada kematian mereka. Allah SWT mencipta manusia dalam bentuk paling baik dan melebihkan mereka dengan mengurniakan akal, pengetahuan dan pemahaman.

Kenyataan di mana kita masih boleh bernafas dan hidup sekarang sebenarnya dalil yang kuat menunjukkan adanya Allah SWT. Hidup ini yang berakhir dengan kematian juga adalah dalil kewujudan Allah SWT yang menentukan kematian itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Persoalan hidup, mati

Persoalan hidup dan mati dua perkara yang tidak menjadi pertikaian manusia kerana mereka dapat melihat sendiri kematian ahli keluarga, sahabat handai dan yakin bahawa mereka tidak boleh melepaskan diri daripada kematian.

Apa yang diragukan oleh mereka ini ialah bagaimana manusia boleh dihidupkan kembali dan akan dihisab.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka berkata: “Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.” (Surah al-Jathiah, ayat 24)

Pada hakikatnya, Allah SWT menghidupkan kembali manusia bukan suatu yang pelik dari sudut pemikiran, mengadakan sesuatu yang tidak pernah wujud seperti seorang manusia mampu dilakukan oleh Allah SWT, apalah sangat di sisi Allah menghidupkan sesuatu yang sudah ada.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (mengenai kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu? Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakan-Nya).” (Surah Yasin, ayat 78-79)

Manusia begitu gembira dan seronok berbicara soal kehidupan dan akan mengelak daripada berbicara soal kematian. Ini adalah sesuatu yang didedah oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya).” (Surah al-Jumuah, ayat 8)

Jadikan kehidupan sebagai wadah

Kehidupan ini bermula daripada Allah dan berakhir kepada Allah, justeru kita wajar menjadikan kehidupan sebagai wadah untuk mencari keredaan Allah SWT. Menjadi satu hikmah besar kita tidak mengetahui bila dan di mana kematian supaya sentiasa bersiap sedia untuk bertemu Allah SWT dengan membawa bekalan amal yang secukupnya.

Bagi Mukmin yang memahami hakikat mereka akan kembali kepada Allah SWT, pasti akan membetulkan jalan hidup dengan mengikut manhaj al-Quran. Mereka akan memahami matlamat kehidupan sebenar seperti mencari rezeki halal dan membina kehidupan keluarga bersyariat.

Sekurang-kurangnya ada tiga perkara harus kita renungkan waktu di dunia ini. Pertama, bagaimana cara terbaik kita boleh bahagia dan dapat memberi sumbangan kepada orang lain. Kedua, apakah perasaan isteri, suami, anak, keluarga dan rakan taulan selepas ketiadaan kita.

Ketiga, berapa banyak amalan soleh yang kita bawa untuk bertemu Allah SWT. Sudah tentu setiap daripada kita jika sentiasa berfikiran begitu akan berusaha melakukan yang terbaik dalam hidup ini.
Jika kita seorang pekerja, sudah tentu kita bekerja dengan tekun dan amanah. Jika kita seorang suami, kita pasti berusaha menjadi suami yang bertanggungjawab dan penyayang. Jika kita seorang pemimpin, sudah tentu kita menjadi pemimpin yang adil kepada semua rakyat.

AHMAD SHUKRI YUSOFF
 http://merdeka-online.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan