Alhamdulillah, bersyukurlah kita kepada Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat berada di alam dunia yang fana ini.
Kita telah dihidupkan dan kita juga akan dimatikan dengan izinNya.
Kita
sebagai manusia telah dipinjamkan olehNya jasad dan nyawa untuk
beberapa ketika yang telah diperuntukkan oleh Allah Azza wa Jalla, Tuhan
Sekalian Alam.
Kita sendiri tidak mengetahui akan hal itu dan Allah SWT adalah sebaik-baik pengatur.
Kehidupan
kita ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW adalah seperti
sebuah pengembara yang sedang berjalan jauh sambil bertongkat dalam
menuju perjalanan ke suatu destinasi abadi yang jauh dan memerlukan
banyak bekalan.
Untuk mendapatkan bekalan itu pula memerlukan kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi.
Dalam
perjalanan ini kita mengisi kehidupan dengan dua keadaan iaitu perasaan
atau suasana, juga saat-saat gembira dan saat-saat kesedihan.
Kedua-dua perasaan ini pernah dialami oleh para Nabi dan Rasul Allah, apatah lagi kita sebagai hamba yang kerdil lagi hina ini.
Saya
ambil contoh yang terdekat yang menjadi idola semua umat Islam, iaitu
insan yang sangat saya pandang tinggi dan saya sanjungi, Rasulullah SAW.
Hidup
Baginda penuh dengan saat yang menggembirakan, tidak kurang juga
saat-saat menyakitkan yang sesekali mengundang air mata Rasulullah SAW
yang menandakan Baginda juga adalah seorang manusia biasa.
Kegembiraan
Baginda adalah apabila kita sebagai umat Islam menjalani hidup sesuai
dengan jalan yang ditinggalkannya dan kesedihan Baginda pula adalah
apabila menyaksikan umatnya tersasar jauh daripada jalan yang Baginda
tinggalkan dan umatnya mengikuti jejak langkah syaitan laknatullah.
Hidup ini Keseronokan dan Kebahagiaan Sementara…
Tentunya
dalam perjalanan seorang hamba yang ingin menuju ke sebuah destinasi
cinta, banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamatnya
dan sesekali terasa ingin berputus asa untuk ke destinasi yang pasti
itu.
Bagi seorang pengembara yang bijak dan pandai, semestinya
dirinya tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kenikmatan di
dunia yang sementara kerana dirinya tahu bahawa dia adalah penghuni alam
yang kekal abadi; syurga Allah.
Bagi seorang pengembara yang
senang dan seronok menikmati keseronokan di dunia tanpa memikirkan
dunianya yang kekal abadi, dirinya akan mementingkan hawa nafsu semata
seolah-olah inilah dunia yang kekal selamanya sehingga dirinya terlupa
matlamat atau cita-cita sebenar untuk menuju ke arah akhirat yang abadi.
Mereka terpedaya dengan dunia yang sementara ini.
Dengan
tidak mengendahkan suara iman mereka, mereka terus-menerus meletakkan
halawatul dunia dihati mereka dan menyangka bahawa itulah matlamat
sebenar mereka, na’uzubillah…
Saya teringat kata-kata salah seorang ustaz saya; Ustaz Mizi.
Beliau
berkata, kita juga boleh diibaratkan sebagai seorang pemandu atau
penumpang atau pengembara yang berada di atas sebuah nakhoda yang besar,
yang sedang menuju destinasi selama berhari-hari, malah bertahun-tahun
lamanya.
Sebagai seorang pengembara, kita seharusnya bijak
melayarkan bahtera ke arah yang tepat mengikut kompas yang telah
diberikan dan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita iaitu
Al-Quran dan As-Sunnah.
Dan untuk sampai ke destinasi cinta atau
destinasi yang abadi itu, pungut dan kumpullah bekalan ketika berada di
dunia sebanyak yang mungkin.
Letakkanlah segala keseronokan dan
kenikmatan serta kekayaan di dunia ini di tangan kita dan anggaplah
semua itu hanya bebanan yang boleh menjejaskan perjalanan menuju ke
destinasi cinta abadi.
Oleh itu, sebagai seorang pengembara, kita
seharusnya pandai memilih dan dapat mengenal pasti yang mana satu
bekalan dan mana satu bebanan.
Bekalan ialah sesuatu amalan yang
memudahkan perjalanan sepanjang kita menuju negeri akhirat, manakala
bebanan adalah sesuatu yang merumitkan dan melambatkan perjalanan kita
ke negeri akhirat.
Ingatlah, dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam.
Hasilnya kita akan kecapi di negeri akhirat kelak.
Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya.
Dan beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari. (Sumber Al-Hadis)
Kesimpulannya, persiapkan dan mantapkan diri kita.
Sebagai
seorang pengembara yang kita sendiri masih belum tahu bila akan
sampainya ke destinasi yang dituju, perlunya kita mencari bekalan
sebanyak mungkin.
Dan berhati-hati dengan setiap ujian kesedihan dan kenikmatan yang Allah SWT berikan kepada kita.
Wajibnya
kita menjaga hubungan dengan Allah SWT kerana kita semua yang ada di
muka bumi ini adalah hanya pinjaman untuk menguji kekentalan iman kita
sebagai hambaNya.
Begitu juga dengan hubungan kita sesama manusia,
saling berpegangan tanganlah kita semua agar tiada yang terjatuh dari
kapal dunia ini tanpa ada seorang pun yang berusaha untuk
menyelamatkannya.
Sebaik-baik bekalan adalah iman dan takwa…
Masih
ingatkah kita pada kisah Rasulullah SAW semasa peristiwa Isra’ dan
Mikraj? Dalam perjalanan Baginda, Allah SWT telah menunjukkan satu
golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya.
Baru sahaja beberapa saat ditanam, terus berbuah dan dituai dan begitulah seterusnya.
Inilah
ibaratnya keadaan orang yang sentiasa membuat kebajikan dan tidak
putus-putus menerima ganjaran pahala yang banyak di sisi Allah SWT.
Ganjaran ini kelak akan dinikmatinya di akhirat sana, insyaAllah.
Semoga
kita semua menjadi seorang pengembara yang bijak dan sentiasa
meletakkan kenikmatan di dunia ini di telapak tangan dan bukannya
dihati.
Yang sentiasa mendoakan pengembara yang lain dan mengingati setiap pengembara didalam doanya.
Semoga kita menjadi pengembara yang sentiasa menjadikan redha Allah SWT adalah tujuan utama.
Semoga Allah merahmati, insyaAllah…
i lu islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan