Home Klik Di Bawah

Selasa, 13 Mei 2014

Saya Pernah Bencikan Islam – Leia Azzahra

Saya Pernah Bencikan Islam – Leia Azzahra
Meskipun pernah membenci Islam  , namun segalanya berubah buat Leia Azzahra Justin apabila ia bertukar kepada rasa cinta dan sayang kepada agama suci itu.

Menurut Leia, dia dibesarkan di dalam sebuah keluarga Kristian yang berpecah belah dan telah ditanam di dalam dirinya untuk membenci Islam sejak kecil serta menyifatkan Islam sebagai sebuah agama yang ‘ganas’.

“Saya begitu membenci Islam dan menyifatkan Rasulullah sebagai pencetus keganasan, sekiranya baginda masih hidup, saya ingin membunuhnya.



“Namun, hati saya bertukar menjadi kasih kepada Muhammad   SAW setelah saya didatangi mimpi mendengar seruan azan, dan melalui Al-Quran serta pembacaan buku-buka agama, terus terang, saya akhirnya jatuh cinta pada agama ini dan Rasulnya,” katanya yang ditemui di gerai pameran TV Al-Hijrah di Karnival Inovasi Islam, Masjid Negara di sini hari ini.

Leia adalah salah seorang daripada tujuh orang kumpulan artis baru yang menggelarkan diri mereka Studio Muallaf yang bakal berkongsi pengalaman, pahit manis, getir perjalanan hidup sebagai seorang saudara baru bersama rakan-rakan lain iaitu James Vernon Burge (JV), Divesh Kumar Daniel, Robby, Alex Koh Kee Kiat, Ustaz Ng dan pengasas kumpulan Studio Muallaf, XiFu.

Bagi pengasas kumpulan tersebut, XiFu, Islam adalah sebuah agama yang penuh dengan keajaiban dan bukannya sebuah agama warisan di mana ajarannya begitu mudah serta senang diamalkan oleh sesiapa sahaja.

Kumpulan yang sudah berusia dua tahun ini bakal berbicara dan menonjolkan konsep ‘aktivis artis Islam’ kepada seluruh umat Islam sebagai sebuah anjakan paradigma dengan menekankan Islam sebagai cara hidup yang sempurna bagi industri hiburan tanahair.

James Vernon atau nama Islamnya, Mohd Nur Hafizuddin berkata, pelbagai cerita suka dukanya akan dikongsi bersama penonton di program tersebut mengenai dirinya setelah memeluk agama Islam.

Menurutnya yang merupakan bekas penyanyi kumpulan X-Factor dengan nama ‘Ivans’ itu, kontrak rakaman album dan pelbagai kontrak lumayan lain pernah ditarik balik setelah dia berstatus ‘Muslim’.

Bagi Divesh yang terpaksa menyembunyikan keIslamannya selama 10 tahun dari pengetahuan keluarganya pula bakal berkongsi cerita mengenai dirinya yang menerima pelbagai dugaan dan ugutan setelah memeluk agama Islam.

Bagaimanapun, menurutnya, segala cabaran itu tidak pernah membuatkan semangatnya luntur dari terus mendalami Islam dan memahami agama itu bersama rakan-rakannya yang lain.

Bagi Robby yang pernah menganggotai kumpulan pendakwah Kristian pula, setelah meneliti, berhujah dan berdebat dengan pelbagai pihak, termasuk paderi gereja Roman Katolik, jiwanya begitu tenteram dan meyakini bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang ‘syumul’ dan tiada cacat celanya.

“Saya telah mengkaji Injil dan memperbandingkannya dengan Al-Quran, sirah Rasulullah serta ajaran baginda, ternyata Islam yang dibawa Muhammad SAW itu lebih jelas serta benar belaka”, katanya dengan penuh yakin.
 http://malay.bismikaallahuma.org

Tiada ulasan:

Catat Ulasan