Home Klik Di Bawah

Rabu, 4 Jun 2014

Keajaiban Bintang Paling Terang Di Angkasa!

Bintang Sirius, tidaklah seserius seperti namanya. Malah, dalam sejarah astronomi, bintang ini sangat mesra pada pandangan mata pemerhati kerana kehadirannya mudah dilihat berbanding jutaan bintang lain.


Sirius  
Bintang paling terang di angkasa.

Betapa tidak, Sirius merupakan bintang paling terang di langit terutamanya pada waktu malam. Kecerahannya tidak terbatas kerana ia tetap boleh dilihat walaupun ketika waktu siang.

Dan berdasarkan pemerhatian, penampakan unik sedemikian boleh diamati dengan jelas tatkala berada di Hemisfera Selatan.



Dan kerana sifat bintang Sirius yang terlalu terang, ramai orang terdahulu percaya bahawa bintang ini membawa bermacam-macam perkara. Dalam mitologi Mesir Kuno, Sirius dianggap suci kerana andaian bahawa di situlah terletaknya syurga.

Selain disembah, sejarah juga menunjukkan masyarakat asli yang menghuni pulau-pulau Polinesia - rantau kecil di Oceania, terdiri daripada lebih 1,000 buah pulau di selatan Lautan Pasifik telah menggunakan kecerahan bintang Sirius untuk Navigasi.

Mereka menjadikan kedudukan bintang di langit sebagai kompas dalam menentukan arah laluan sebenar terutamanya ketika dalam pelayaran pada waktu malam.

Soal bagaimana bintang berkenaan memiliki kecerahan yang tidak sama dengan ribuan bintang lain telah cuba dikaji ramai ilmuwan terdahulu.

Antaranya, pada tahun 1844, ahli astronomi Jerman, Friedrich Bessel, telah menjalankan penelitian ke atas bintang ini. Daripada pemerhatian tersebut, dia menyimpulkan bahawa Sirius berkemungkinan memiliki pasangan.

Hampir dua dekad kemudian, pembuat teleskop dan ahli astronomi Amerika, Alvan Graham Clark, berjaya mengesan bintang redup yang dinamakan sebagai Sirius B. Bintang ini ada kalanya juga dikenali dengan nama Sirius A.

Sirius sebenarnya merupakan bintang ganda yang dikenali sebagai Sirius A dan Sirius B. Dari segi saiz, Sirius B diamati lebih besar berbanding Sirius A. Saiznya yang besar menyebabkan Sirius B membakar lebih cepat dan mati lebih awal daripada Sirius A.


Sirius A Sirius B  
Sirius B lebih besar berbanding Sirius A.

Berdasarkan imej Teleskop Angkasa Hubble menunjukkan Sirius A ialah bintang paling terang di langit pada waktu malam. Ia dapat dilihat dari mana-mana bahagian bumi tanpa menggunakan sebarang peralatan. Kecuali mereka yang tinggal pada garis lintang di atas 73.284 darjah utara.

Pada kedudukan yang sesuai, Sirius dapat dilihat dengan mata kasar ketika matahari masih berada di atas horizon. Bintang ini turut dapat dilihat dalam keadaan cuaca yang sangat baik ketika matahari berada di atas kepala, asalkan kita berada ditempat yang tinggi dan posisi matahari cukup rendah.

Sementara Sirius B pula berbeza dengan pasangannya kerana ia sudah berevolusi dan mati menjadi kerdil putih. Keadaan ini membuatkan ia tidak dapat dilihat tanpa teleskop.

Walaupun bintang ganda ini memiliki kecerahan berbeza, pasangan Sirius tetap mengorbit pada paksi yang sama dalam buruj Bintang Canis Major. Masa peredaran Sirius A dan Sirius B ketika mengelilingi titik pusat graviti berlangsung selama 50 tahun untuk satu pusingan.

Sirius juga dikesan telah berusia antara 200 hingga 300 juta tahun. Ia merupakan jiran paling dekat dan bintang paling hampir dengan Bumi pada jarak 8.6 tahun cahaya selepas matahari.

Sirius and Earth  
Bintang yang paling hampir dengan bumi.

Walaupun begitu jauh, ahli astronomi mendapati Sirius secara saintifik memiliki jisim dua kali lebih besar dan 25 kali lebih terang daripada matahari.

Penemuan ini hanya diketahui pada akhir abad ke 20 namun sebenarnya bukanlah satu fakta baru apabila Al-Qur'an sudah menjelaskan tentang bintang Sirius ini.

Firman Allah SWT: "Dialah Tuhan (yang memiliki) bintang Syi'ra." (Surah An Najm, ayat 49)

Berdasarkan ayat ini, Allah telah menjelaskan bahawa kecerahan Sirius ialah salah satu bukti ciptaan Allah. Dengan itu, hanya Allah yang benar-benar layak disembah dan bukannya bintang Sirius seperti mana kepercayaan masyarakat Mesir Kuno.

Bintang Syi'ra dalam bahasa Arab membawa maksud setara dengan bintang Sirius. Sirius merupakan nama bintang yang berasal daripada bahasa Yunani, Seirios yang bererti 'menyala-nyala' atau 'amat panas'.

Dalam banyak-banyak bintang, boleh dikatakan Sirius adalah yang paling istimewa kerana ia telah disebut di dalam surah An Najm, surah yang bererti 'bintang'.

Tambah menarik apabila Al-Qur'an telah menyebut bintang ini jauh lebih awal sebelum para astronomi berjaya mengesan kewujudannya.

Demikianlah rahsia keagungan Al-Qur'an yang diturunkan oleh Allah. Subahaanallah..

-Sentiasapanas.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan