Home Klik Di Bawah

Rabu, 9 Julai 2014

Al-Kubra: Srikandi Islam Dambaan Rasul SAW

10 Ramadhan, ulang tahun wafatnya isteri tercinta dan paling setia, merangkap seorang ibu yang paling penyayang. Dialah Sayyidah Khadijah al-Kubra r.a. Sayyidah Khadijah adalah seorang wanita yang telah mengorbankan jiwa, raga dan hartanya untuk Islam, sehingga kita sebagai umat Islam pada hari ini sangat terhutang budi kepadanya. Justeru, ambillah sedetik waktu untuk kita mengenang kembali pengorbanan beliau dan mendoakannya supaya roh beliau tenggelam dalam lautan rahmat dan kasih sayang Allah swt.

 



Sayyidah Khadijah adalah isteri pertama Nabi Muhammad Saw dan wanita pertama yang masuk Islam. Dari sisi nasab dan keturunan, beliau memiliki status sosial dari keluarga terhormat yang memiliki kedudukan yang sangat istimewa di antara golongan wanita Jazirah Arab dan Quraish. Manakala dari sudut kesempurnaan, kecantikan, karakter dan kemurahan hati, beliau menjadi kebanggaan bagi para wanita pada masa itu.
Sejak usia remaja, Sayyidah Khadijah menjadi salah satu perempuan dan pedagang paling terkenal di Hijaz. Wanita suci dan agung tersebut menjalankan aktiviti perdagangannya berdasarkan ciri dan karakter utama kemanusiaannya. Ketika berdagang, beliau tidak pernah melakukannya dengan cara yang salah untuk meraih keuntungan. Beliau sentiasa berusaha melaksanakannya dengan tidak keluar dari jalur yang benar. Kejujuran dalam berdagang membuatnya dipercayai oleh masyarakat di Hijaz.
Sayyidah Khadijah menggunakan kekayaan berlimpah beliau untuk membantu orang-orang miskin, anak-anak yatim dan keluarga mereka, bahkan di atas kemurahan hati tersebut, beliau disebut sebagai"  Ibu orang-orang miskin" dan "Ibu anak-anak yatim." Kemuliaan, kemurahan hati, kearifan, kebijaksanaan, kesederhanaan dan kesucian Sayyidah Khadijah telah menjadikan beliau sebagai wanita terkemuka dan dihormati. Gelar "Pemimpin Wanita Quraish" yang diberikan kepada beliau menunjukkan kedudukan tinggi beliau di antara masyarakat Jazirah Arab.
Pada waktu itu, Sayyidah Khadijah dikenal sebagai satu-satunya perempuan pedagang. Pada waktu yang sama, ada seorang pemuda bernama Muhammad yang dikenal dengan kejujuran dan sifatnya yang amanah. Sifat-sifatnya yang mulia akhirnya tersebar di seluruh penjuru Hijaz dan beritanya juga sampai ke telinga Sayyidah Khadijah. Beliau mendengar sifat amanah dan akhlak mulia serta gelaran yang diberikan kepada Nabi Muhammad Saw sebagai "Al-Amin."
Segala sifat mulia yang dimiliki Muhammad saw membuat Khadijah menjadi tertarik dengan pemuda ini. Khadijah kemudian memilihnya sebagai pimpinan rombongan dagangnya. Sebagai pimpinan kafilah dagang, Muhammad Saw berhasil membawa keberuntungan yang tidak pernah diperolehinya selama ini. Hal ini membuat Khadijah semakin tertarik dengan keperibadian pemuda itu. Keagungan jiwa, pemikiran dan cara hidup Muhammad Saw membuat Khadijah ingin hidup bersatu dengannya dalam sebuah rumah tangga.
Meskipun orang-orang kaya Quraish datang untuk meminang Sayyidah Khadijah, tetapi beliau tidak menerimanya. Beliau telah terpikat dengan kejujuran, akhlak mulia dan kerohanian Muhammad Saw. Akhirnya, Khadijah melamar Muhammad Saw dan beliau pun menerima lamarannya.
Setelah menikah dengan Muhammad Saw yang miskin, perempuan-perempuan Mekah memutuskan hubungan dengan Sayyidah Khadijah. Bagi menghadapi situasi tersebut, suatu hari beliau mengumpulkan wanita-wanita Mekah dan mengatakan, "Aku mendengar dari para perempuan Arab bahawa suami-suami kalian memprotes aku bernikah dengan Muhammad Saw. Sekarang aku bertanya kepada kalian, apakah di Mekah dan di tempat lainnya kalian akan mampu menemukan orang seperti Muhammad Saw yang memiliki keindahan dan kemuliaan akhlak, sifat terpuji, nasab dan martabat agung?"

 

Rentetan kenyataan tersebut, beliau telah memahamkan kepada mereka bahawa orang yang sepadan dengan Muhammad Saw tidak dapat ditemui, namun beliau tidak mampu melenyapkan kebodohan dari hati mereka. Beliau juga tidak mampu memberikan perubahan signifikan terhadap sikap perempuan-perempuan Mekah itu.
Sayyidah Khadijah adalah isteri pertama Nabi Muhammad Saw dan sepanjang hidup beliau, Rasulullah Saw tidak pernah mengahwini perempuan yang lain. Dari hasil perkahwinan tersebut, lahirlah dua anak laki-laki: Qasim dan Abdullah, dan empat anak perempuan: Zainab, Ummu Kultsum, Ruqayah, dan Fatimah, namun kedua putera beliau meninggal dunia sebelum beliau diutus menjadi rasul.
Sayyidah Khadijah adalah wanita agung Islam dan perempuan pertama yang masuk Islam. Sementara Ali bin Abi Thalib adalah laki-laki pertama yang masuk Islam. Kemuliaan tersebut sudah cukup bagi Sayyidah Khadijah untuk menjadi isteri Rasulullah Saw, bahkan kekayaan beliau yang dikorbankan untuk Islam telah menjadi faktor penting dalam perluasan agama Samawi tersebut.
Salah satu sahabat Nabi Muhammad Saw berkata, "Suatu hari Rasulullah Saw melukis empat garisan di tanah dan berkata, apakah kamu tahu maksudnya? Mereka yang berada bersama beliau tidak mampu meneka dan hanya mengatakan, Allah Swt dan Nabi-Nya lebih mengetahuinya. Kemudian beliau bersabda, "Perempuan-perempuan terbaik di syurga ada empat orang: Khadijah r.ah isteriku, Fatimah r.ah puteriku, Asiah isteri Firaun dan Maryam ibu Isa as."
Sayyidah Khadijah adalah seorang isteri yang setia, penuh kasih sayang dan pengorbanan. Beliau penolong terbaik bagi Rasulullah Saw dalam setiap kesulitan. Syair fasih dan bermakna beliau tentang Rasulullah Saw mencerminkan ilmu dan kesempurnaan cinta beliau kepada suaminya itu. Dalam sebuah syair tentang Nabi Muhammad Saw, Sayyidah Khadijah mengatakan, "Jika semua nikmat di dunia menjadi milikku dan jika semua kerajaan dan raja-raja menjadi milikku, maka menurutku semua itu tidak ada nilainya sama sekali jika aku tidak dapat menatapmu."
   
Sayyidah Khadijah adalah wanita sempurna dan memiliki keperibadian yang agung sehingga beliau lebih istimewa dibandingkan dengan isteri-isteri Rasulullah Saw yang lain, bahkan Rasulullah Saw sangat mencintai beliau. Menurut sejarawan, Aisyah binti Abu Bakar, salah satu isteri Rasulullah Saw, mengatakan, ”Aku selalu kagum dengan cinta Nabi Saw kepada Khadijah; beliau selalu mengingati Khadijah, hingga suatu saat aku hilang sabar dan aku berkata, dia tidak lebih hanya seorang wanita tua dan Allah Swt telah memberikanmu yang lebih baik dari dia. Perkataanku telah membuat beliau marah hingga tanda kemarahan beliau tampak di wajahnya."
Mendengar perkataan Aisyah tersebut, Rasulullah kemudian berkata, "Selamanya tidak demikian…tidak akan pernah ada isteri yang lebih baik dari Khadijah. Ketika semua orang mendustakanku, Khadijah beriman kepadaku. Kekayaannya diberikan kepadaku pada saat-saat yang paling getir. Darinya, Allah Swt telah memberikan anak-anak kepadaku yang tidak diberikan oleh isteri-isteriku yang lain. "
Selama 25 tahun hidup bersama Nabi Muhammad Saw, Sayyidah Khadijah telah memberikan pengorbanan besar kepada beliau dan Islam. Dukungan kewangan, mental dan spiritual kepada Rasulullah Saw, keyakinan dan pembenaran atas kenabian beliau di saat orang-orang mendustakannya, serta pertolongan beliau kepada Nabi Saw dalam menghadapi orang-orang musyrik adalah bagian dari pengorbanan besar beliau kepada Rasulullah Saw dan Islam.
Ketika Nabi Muhammad Saw menjalankan tugas beliau sebagai utusan Allah Swt untuk membimbing umat manusia, orang-orang musyrik mengganggu dan memusuhi beliau. Di saat-saat seperti itu, isteri yang mengerti dan penuh kasih sayang seperti Khadijah adalah penenang hati terbaik yang meredakan kesusahan tersebut.
Ibnu Ishaq, seorang sejarawan terkenal menulis, "Nabi tidak mendengar perkataan kaum yang menolak dan mendustakan, di mana menyebabkan kesedihan dan mengganggu pemikirannya, kecuali Allah Swt telah menghilangkan kesedihan itu melalui Khadijah. Khadijah telah meringankan beban berat dari ucapan-ucapan kasar yang dilontarkan kepada Rasulullah Saw dan membenarkan beliau. Beliau juga memandang hina kepada perilaku dan kelancangan orang-orang musyrik kepada Rasulullah Saw.
Hari kesepuluh dari bulan Ramadhan adalah hari terakhir bagi seorang perempuan yang selama 25 tahun senantiasa mengiringi langkah utusan terakhir Allah Swt. Nabi Muhammad Saw pada hari semacam ini harus merelakan isteri tercintanya untuk kembali kepada Yang Maha Kuasa. Sebuah peristiwa yang menyayat jiwa beliau setelah beberapa waktu sebelumnya beliau kehilangan bapa saudaranya Abu Thalib as.
Wafatnya Sayyidah Khadijah begitu mempengaruhi beliau, sehingga tahun itu disebut sebagai "tahun kesedihan" (Am al-Huzn). Ketika Sayyidah Khadijah as wafat, Nabi Muhammad Saw menangis. Nabi mengusap air matanya yang bercucuran dengan kedua tangannya ketika memakamkan isteri tercintanya. Pada waktu itu beliau berkata, "Tidak ada yang dapat menandingi Khadijah. Ketika semua mendustakanku, dia membenarkanku. Dia menjadi penolongku dalam menyampaikan agama Allah Swt dan dengan hartanya, dia membantuku.

Al-Fatihah buat Srikandi Islam, Ummul Mukminin Sayyidah Khadijah r.ah.
 http://faizassyirazi.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan