Home Klik Di Bawah

Jumaat, 18 Julai 2014

Dua nikmat yang sering dirugikan oleh manusia


Daripada Ibn Abbas R.A, Rasulullah S.A.W telah bersabda : Dua nikmat yang sering dirugikan oleh manusia adalah nikmat sihat dan masa lapang.

Memang tidak dapat dinafikan, kita sebagai manusia sering mengabaikan dua nikmat ini. Nikmat sihat dan masa lapang. Sebagai buktinya, kita selalu merungut tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyiapkan tugasan yang diberikan dan tidak kurang pula yang sentiasa mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang sudah tentunya tidak mendatangkan banyak manfaat. Tambahan pula, ada juga di antara kita yang selalu menggunakan usia muda ini dengan berhibur sepuas-puasnya.

“Ala, aku muda lagi kot. Takkan aku nak mengadap sejadah, mengadap al-quran 24 jam? Tak ‘cool’ lah bro!”

‘Cool’?

Apakah berhibur sehingga melampaui batas-batas agama itu dianggap ‘cool’? Atau, adakah duduk melepak di kedai mamak sambil menonton perlawanan bola setiap dinihari itu dianggap ‘cool’? Ya, memang tak ada salahnya andai setiap waktu sembahyang terjaga. Tonton bola tapi kaki masjid, barulah ‘cool’. Tonton bola, tapi waktu subuh sentiasa terjaga, barulah ‘cool’.


Bagaimana pula dengan nikmat sihat yang sering dilupakan itu?

Selalunya, manusia sentiasa mengharapkan mereka sentiasa dalam keadaan sihat walafiat. Bebas daripada segala penyakit yang mampu membataskan diri dari melakukan aktiviti-aktiviti seharian. Tapi, yakinkah kita bahawa esok kita akan bangun dari tidur dalam keadaan sihat juga? Adakah terdapat jaminan bahawa hari esok kita bebas dari segala macam ancaman? Mari kita sama-sama bermuhasabah sejenak. Bagaimana sekiranya esok bukan hari yang baik untuk kita? Bagaimana sekiranya esok segala nikmat sihat itu ditarik olehNya. Na’uzubillah. Namun, andai ia benar-benar terjadi, mampukah kita hadapi? Mungkinkah diri kita akan dihimpit penyesalan kerana tidak menggunakan nikmat sihat itu dengan sebaik-baiknya. Nikmat sihat dan nikmat masa lapang itu sangat berharga. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :

” Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati.” (riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Tetapi, memang sudah menjadi resmi manusia. Dah sakit baru nak menghargai nikmat sihat. Dah miskin baru merasai betapa bernilainya harga syiling 10 sen. Dah sibuk barulah bertimpa-timpa penyesalan datang kerana tidak memanfaatkan waktu dengan sebaiknya. Dah meningkat umur barulah menyesali dengan usia muda yang diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Namun, bila tibanya saat kematian, apakah kita juga akan menyesali dengan hidup ini?

Oleh itu, marilah kita atur strategi kita yang baru. Strategi untuk memanfaatkan setiap nikmat kurniaan dariNya. Moga hidup ini membawa kita semua ke syurgaNya. Bukankah itu tujuan kita hidup di dunia ini?

Sumber: http://www.blogammar.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan