Home Klik Di Bawah

Khamis, 17 Julai 2014

Resepi - Mee Sup Istimewa Yang Sangat Sedap

Mee Sup Istimewa yang resepinya saya pelajari dari guru Tajwid saya, Kak Kamariah. Menurut Kak Kama, resepi ini telah berpuluh tahun digunakan. Ianya diajar oleh Kak Soraini yang memperolehinya dari seorang Chef di Hotel Shangri La. Kak Soraini juga adalah rakan sepejabat yang telah lama bersara. . Memang dari dulu lagi, saya suka menanyakan resepi jika merasai masakan yang sedap.

Sebelum kita melihat resepi, saya ingin kongsikan doa yang diajar oleh sahabat saya kerana sejak kebelakangan ini saya banyak ditimpa ujian satu demi satu. Namun ianya tidak sekali kali melemahkan saya biar pun pelbagai kata dan sindiran diberi. Malahan saya lagi kuat dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Di antara doa yang saya amalkan adalah,  yang bermaksud “Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari lemah kemahuan dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat penakut dan kedekut, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia".


Jom kita tengok rahsia menyediakan kuah sup yang sangat istimewa ini. Ohh rupa rupanya ada air asam jawa dan belacan bakar. Inilah kali pertama, saya mendengar yang belacan dimasukkan ke dalam sup. Kata Kak Kama, ramai yang tak percaya bila diberitahu yang kuah sup nya dimasukkan belacan. Ramai yang memikirkan yang dia hanya bergurau. Terima kasih kerana sudi berkongsi dan membenarkan saya berkongsinya pula dengan pembaca . Kalau ada yang nak mencuba, silakan lah. Layaann....
 




Mee Sup Istimewa 
Oleh: Azie Kitchen

Bahan bahan:
1 ekor ayam - potong kecil
2 bawang besar kuning - cincang/kisar
1 labu bawang putih - tumbuk
3 inci halia - tumbuk
1 sb jintan manis
1 sb serbuk lada hitam
1 gelas air asam dicampur dengan 1 ibu jari belacan bakar. 
2 kiub stok daging
Air secukupnya
Sedikit minyak untuk menumis

Bahan lain:
2 pek mee kuning/mee hoon - celur
1 ikat sawi - celur
Cili kicap - resepi di bawah
Daun sup - hiris
Bawang goreng

Cara cara;
Tumis bawang putih yang ditumbuk dengan halia. Masukkan bawang besar. Tumis sehingga wangi. 

Masukkan serbuk jintan manis dan serbuk lada hitam. Kacau seketika.





Masukkan ayam dan kacau rata lagi sehingga ayam kecut dan air ayam kering. Masukkan pula air asam jawa tadi yang telah ditapis. 





Masukkan air agak agaklah jumlahnya. Saya guna lebih kurang 1 blender. Masukkan kiub stok daging dan garam secukup rasa. Biarkan kuahnya mendidih.





Sesuaikan rasa dan bolehlah dihidangkan dengan mee atau mee hoon bersama bahan bahan lain.



Cili Kicap 

Bahan bahan:
Segenggam cili padi - 15 biji cili merah dan hijau
3 ulas bawang putih
3-4 biji limau kasturi - perah airnya
Sedikit cuka
Kicap manis
Garam
Gula

Cara cara:
Sangai bawang putih dan cili padi sebelum ditumbuk. Masukkan air perahan limau kasturi, sedikit cuka dan kicap manis. Akhir sekali sesuaikan rasa dan masukkan garam dan gula. 
aziekitchen

1 ulasan: