Home Klik Di Bawah

Khamis, 14 Ogos 2014

Menaik Dibaca - Sebab Sihir Jiwa Kacau

Solat Subuh itu mempengaruhi perjalanan hari anda hingga ke malam
Oleh:Nadia Mingguan Wanita
Suasana hati anda tidak menentu, asyik berasa mahu marah, tertekan, terlibat konflik dengan kawan di pejabat hingga bergaduh suami isteri, membuli anak, rugi dalam perniagaan dan segalanya seolah-olah membawa derita setiap hari. Mengapakah hidup anda tak bahagia hari ini, apakah anda telah melanggar pantang larang tertentu atau mungkin terkena sihir buatan orang?
 
Sihir atau syaitan tak akan boleh menaklukkan orang beriman melainkan mereka sendiri yang membuka jalan dimasuki kejahatan sebagaimana firman Allah SWT:  “Apa saja musibah yang menimpa kamu maka ia adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri.” (Surah Al-Syura ayat: 30)
 
Oleh itu sebelum menyalahkan orang lain eloklah anda meneliti sifat-sifat dan tabiat dalam diri, kerana ramai yang bersangka buruk pada persekitarannya tetapi tidak mahu mengakui kelemahan sendiri. Apakah punca utama yang membuat jiwa tertekan?


 
Terlepas solat
Percayakah anda jika solat Subuh itu mempengaruhi perjalanan hari anda hingga ke malam? Boleh jadi tekanan jiwa yang anda derita itu dimulakan dengan terlepasnya solat Subuh . sebagaimana hadis Nabi SAW:
 
“Apabila seseorang dari kalian tidur, maka syaitan akan mengikat hujung kepalanya sebanyak tiga ikatan dan dituliskan pada masing-masing ikatan tersebut: Tidurlah, malam masih panjang. Apabila dia terbangun dan berzikir kepada Allah maka terlepaslah satu ikatan. Jika dia berwuduk terlepaslah ikatan kedua dan apabila dia mengerjakan shalat maka terlepaslah ikatan ketiga sehingga dia bangun pagi dalam keadaan bersemangat dan bertenaga. Jika tidak, pagi hari itu dia akan berasa lesu dan malas.” (Hadis Al-Bukhari)
 
Serangan syaitan sudah bermula pada awal pagi anda terjaga, jika tiada kekuatan  iman yang cukup apakah yang boleh menyelamatkan anda daripada tipu dayanya? Solat wajib amalan yang cukup ampuh menolak sihir, menghalau syaitan dan merasa diri sentiasa dalam penjagaan Allah SWT.
 
Suka maksiat
Seorang  wanita yang suka mengumpat, mencaci, memfitnah, menipu, berhutang, terlibat konflik dengan ramai orang dan enggan memajukan diri dengan ilmu, tidak pandai mencari peluang rezeki dan membiasakan diri dengan maksiat sungguh hidupnya bagai musibah yang tak berhujung.
 
Dosa menjadikan hati hitam dan melahirkan perangai yang hodoh sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Sekali-kali tidak (demikian) sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (Surah al-muthaffifin: 14)
 
Abdullah bin Abbas r.a berkata: “Sesungguhnya kebaikan akan memberi sinar di wajah, cahaya pada hati, keluasan rezeki, kekuatan badan dan kecintaan di hati manusia. Adapun kemaksiatan menjadikan hitam pada wajah, kegelapan dalam hati, kelemahan badan, kekurangan rezeki dan kebencian di hati manusia.”
 
Maksiat walaupun kecil jika dibiarkan menjadi kebiasaan akan membawa impak negatif dalam kehidupan. Berbohong jika dibiarkan menjadi pecah amanah, berhutang membentuk peribadi menghalalkan apa saja jika sudah terdesak, mengata orang setiap hari boleh menimbulkan pergaduhan, perkelahian bahkan pembunuhan. Oleh itu jangan sekali-kali memandang remeh maksiat walau sekecil apa pun, ia akan membakar diri kita. Sebenarnya kita sendiri yang telah menyihir diri jika biarkan maksiat menjadi amalan setiap hari.
 
Ghairah dunia
Bagaimanakah orang yang memiliki ciri-ciri ini boleh mendapat ketenangan? Iaitu mereka yang hidupnya semata-mata didedikasikan atas nama hawa nafsu saja, untuk cari duit dan bergaya, celik internet dan bebas bersosial, menjadikan kemewahan sebagai matlamat, buta agama bahkan prejudis terhadap orang-orang soaleh. Apakah mereka yang glamor itu betul-betul bahagia, atau sentiasa dihantui ketakutan atas dosa dan balasan akhirat sana?
 
“Dan kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada)di hadapan mereka. Dan sekatan (yang menghalang mereka memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu kami tutup pandangan mereka, maka dengan itu mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar)”. (Surah Yasin ayat: 9)
 
Ketenangan yang sejati hanya dapat anda rasa melalui hati yang bersih dan dekat kepada Allah yang Maha Mengasihani. Sesuai dengan firman-Nya: “Dan demi sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.” (Surah Qaf ayat: 16)
 
Kembali kepada Allah satu-satunya cara merehatkan jiwa yang tenat. Wanita yang kacau fikiran dan perasaan mungkin telah lama tidak menitiskan air mata mengingati Allah disebabkan jiwanya begitu sibuk mencari kepuasan. Padahal dengan satu langkah mudah dia mampu mengubati jiwanya itu malang sungguh ramai yang tak mahu. Mengapa menolak ampunan Allah, mengapa lari dari pintu syurga, mengapa lepaskan ikatan kasih sayang Allah dari jiwa kita? Jangan sihir diri sendiri dengan kelalaian kemudian cuba mencari ubat dengan cara mensyirikkan Allah SWT Nauzubillah! Mari muhasabah!
mingguan wanita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan