Setelah Nabi Ismail
bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi
Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah
s.w.t. menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah
itu.
Ada dua riwayat yang
mengatakan bahawa Allah s.w.t. meninggikan tapak Baitullah sebelum
dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, tapak Baitullah tidak terkena bala
bencana taufan sewaktu taufan besar melanda. Satu riwayat lagi
mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar
sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa
taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang mulakan
pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.
Nabi Ibrahim dan Nabi
Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu
sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang
difirman oleh Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan (ingatlah) ketika
Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak)
Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan
kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat
mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).
Apabila binaan sudah
meninggi, Nabi Ismail, menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan
diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap
pembinaannya. Maka dengan kehendak Allah s.w.t. sebaik sahaja Nabi
Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak
kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini
dekat Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah s.w.t.
Apabila agama Islam
datang, Allah s.w.t. mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang maqam
Ibrahim sepertimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu maqam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).
Yang dikatakan maqam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.
Setelah selesai
pembinaan Baitullah, maka Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Ibrahim
memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, "Dan serulah umat manusia untuk
datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu
dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang
kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).
Setelah itu Nabi Ibrahim
naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan
baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah s.w.t., "Wahai
sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya
bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana." Nabi
Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan.
Allah s.w.t. menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s pada setiap orang yang
diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang yang
mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah tanpa talbiah.
Bacaan talbiah antara lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik"
yang bermakna, "Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah."
Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita
menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya. Banyak orang
menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang
sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat
lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji. Oleh itu, hendaklah kita
mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.
Kalau kita menunaikan
haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji
yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah s.w.t. Dan ini
adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji
melakukan bermacam-macam maksiat. Bagi mereka yang mendapat kenikmatan
haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai
oleh Allah s.w.t. sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim
yang sempurna. Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang
berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan
diterima oleh Allah s.w.t.
*Sumber dari tanbihul_ghafilin.tripod.com menerusi detik islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan