Home Klik Di Bawah

Isnin, 13 Oktober 2014

Jalan Yang Perlu Ditempuh

Kelemahan dan ketidakupayaan diri dalam menyelesaikan masalah-masalah yang menghimpit hidup tidak seharusnya menjadi sebab untuk meranapkan tangga-tangga harapan bagi mengecap masa depan yang lebih cerah. Lemah tidak menandakan kita perlu putus asa walaupun berasa diri sudah kehilangan makna bagi meneruskan hidup anugerah Allah ini. Sekiranya persepsi begitu diprogramkan dalam benak, senang sekali cara penyelesaiannya. Tiadalah wujud istilah ‘berjuang’ dan ‘jihad’ dalam kamus kehidupan seseorang muslim.

Seandainya seseorang itu mempunyai kematangan dalam bereaksi dengan kesulitan hidup ini, ‘lemah’ akan diberikan kesimpulan agar ‘perlu usaha lebih gigih’ dan bukan pula akan ditafsir sebagai ‘gagal’, bahkan seharusnya ditafsir sebagai ‘belum berjaya’. Jika kita perhatikan betul-betul, bukankah istilah ‘gagal’ dan ‘belum berjaya’ terdapat perbezaan maksud yang ketara? Kata hukama’, “Kegagalan sebenar bukan ketika kau jatuh dan tewas dalam suatu usaha , tetapi ketika kau sudah berputus asa untuk bangkit kembali.” Seringkali emosi kesedihan melupakan kita terhadap firman Allah ini, “Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya.”
 


Meletakkan daya keterbasan dalam usaha dan kegigihan merupakan satu tindakan yang menyebabkan kita melihat ketidakupayaan diri itu sebagai suatu kelemahan hakiki walhal tidak. Meskipun kita tidak menafikan antara bentuk kelemahan manusia adalah mempunyai had dan batas daya upaya, tetapi adakah kita tahu dimana had dan batas itu? Ternyata tidak. Kegagalan dan kelemahan dalam perkara-perkara yang seolah-olah sulit untuk diselesaikan tidak menandakan kita sudah sampai kepada had kita, sebaliknya memberitahu kita dimana kesilapan yang perlu diperbaiki dan diberi tambah baik untuk melepasi had sebelumnya. Daripada situ kita akan melihat “Kesempurnaan manusia berselindung disebalik ketidaksempurnaannya.” Kerana kesedaran terhadap sifat tidak sempurna inilah mendorong kita untuk sentiasa menuju sempurna.

Cuba kita mengkaji latar kehidupan orang-orang yang berjaya, mereka lebih banyak menghadapi kegagalan berbanding orang-orang yang gagal! Ini bukan sesuatu yang ironi, ini sesuatu yang masuk akal dan rasional. Hal ini kerana mereka telah mengumpulkan tenaga dan kekuatan melalui pengalaman yang banyak dan mengkaji serta belajar cara untuk mengatasi titik-titik kelemahan tersebut dengan teliti bagi terus mencari jalan untuk sampai ke puncak. Hal ini tidak lain dan tidak bukan memerlukan azam dan semangat tanpa padam agar langkah-langkah menuju puncak itu sentiasa konsisten.

Fikirkan pengajaran ini baik-baik. Kegagalan adalah berpunca daripada kelemahan diri dalam mengendalikan sesuatu perkara, walaupunbegitu kegagalan juga merupakan platform untuk kita mengatasi kelemahan diri tersebut. Kita tidak akan jumpa seseorang yang mencapai hidup senang tanpa pernah melalui sebarang kesulitan dan kegagalan. Bahkan kegagalanlah yang mengajar mereka erti berdikari dan matang.

Jika kita menyelak kembali satu per satu lembaran sejarah sekalipun, manusia-manusia genius yang pernah dan masih wujud di atas muka bumi ini tidak semua yang mengecap hidup senang dengan cara yang senang. Sebaliknya ada hidup mereka lebih sulit untuk mencapai kesenangan. Seorang gadis yang dahulu terkenal kerna geniusnya dia, bila dihantar belajar ke luar negara menjadi pelacur. Seorang pemuda yang sangat genius dalam matematik waktu kecilnya, apabila dijejaki kembali kini hanya bekerja sebagai penebar roti canai. Genius tidak memberi kelebihan pun seandainya diri tidak bijak untuk bersikap reflektif secara kreatif dan kritis terhadap masalah dunia yang semakin mencabar. Tiada apa yang mampu menjadikan kita istimewa melainkan usaha dan kegigihan. Allah itu adil. Semua manusia adalah sama.

“Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum selagi kaum itu tidak berbuat usaha untuk mengubah diri mereka sendiri” Ar-Ra’ad 13 : 11

“Bulat tidak datang bergolek, pipih tidak datang melayang”, pepatah ini jelas mengatakan bahawa beginilah lumrah dunia yang harus ditempuh. Segalanya bergantung pada pilihan diri dan usaha kita sendiri. Tiada rezeki dan kejayaan yang datang secara tiba-tiba. Usaha pula perlu kepada keazaman dan tekad yang kuat. Paling penting keyakinan dan kepercayaan kita kepada rahmat Allah yang sentiasa menaungi! Allahlah yang beri senang dan susah. Justeru usaha yang gigih harus tidak mengetepikan doa dan tawakal kepada Allah. Kejayaan juga bukan akan kekal, pasti ia akan silih berganti dengan kegagalan. Dan akhir sekali, kita pilih hendak ke Syurga atau Neraka berdasarkan apa yang telah kita usahakan. Kita yang melukis takdir akhir kita.

Tidaklah Allah menghidangkan semua ini untuk main-main namun Dia ingin menguji siapakah di antara hamba-hambaNya ini yang betul-betul ikhlas mengabdikan diri kepadaNya. Sekiranya Allah ingin menjadikan seluruh manusia ini hidup selesa tanpa kesusahan, memperoleh iman tanpa kepayahan dan mujahadah, hal itu tidaklah susah bagi Allah. Cuma nanti tiadalah beza manusia dan malaikat. Sedangkan usaha, kegigihan dan mujahadah inilah yang membuatkan kita lebih mulia daripada malaikat kerana kita mencari iman melalui ilmu dan ketekunan diri dengan niat yang benar. Ya. Hanya niat yang benar (kerana Allah) sahaja akan membuatkan manusia tidak putus asa bagi mencapai kejayaan dunia dan akhirat. Kerna pekerjaan dilakukan semata-mata mencari keredhaan Allah, bukan demi kepuasan diri yang sebenarnya cintakan dunia.

Wallahu Ta’ala Alam~
i lu islam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan