Ia berada pada setiap diri makhluk.
Dan sifat kasih sayang itu bukan hanya khusus pada manusia sahaja. Sebaliknya, setiap makhluk ciptaan Allah SWT dikurniakan sifat tersebut juga.
Sepertimana, seekor kucing akan meminta makanan secara baik kepada manusia sekalipun haiwan itu berada dalam keadaan kelaparan.
Juga, kadangkala kita sentiasa mengambil peluang untuk berehat sebentar di bawah pohon. Tidak pula pohon yang kita menumpang rehat tersebut memarahi kita dengan menghenyak kita.
Itulah antara sifat kasih sayang yang diterjemahkan kepada manusia daripada makhluk lain.
Dan Allah swt juga memberikan kasih sayangNya pada kita dengan mengurniakan rahmat. RahmatNya yang sangat luas sehinggakan mampu menutup keaiban kita, kesalahan kita, dan dosa-dosa yang pernah kita lakukan sama ada secara sedar ataupun tidak.
Tambahan pula, dengan kasih sayangNya, Allah swt mengutuskan seorang insan yang mulia iaitu Nabi Muhammad saw agar kita sentiasa berada pada jalan yang benar.
Kasih sayang itu terus berlanjutan sehingga ke hari ini.
Kasih sayang daripada seorang Nabi dan Rasul kepada umatnya.Baginda saw mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan akhlak. Dan ketika ini, masih ada lagi para alim ulama’ yang sangat baik tingkah laku, dan akhlaknya yang patut kita sama-sama teladani.
Itulah gambaran kasih sayang daripada insan yang mulia Rasulullah saw.
Kasih sayang itu memerlukan kerjasama.
Ia tidak bertindak sendiri dan menyendiri. Kerana, sifat kasih sayang berada pada lubuk hati insan.Sekiranya kita tidak memaknakannya melalui tindakan, dunia pasti sepi.
Seperti anggota tubuh kita. Andai penyakit demam melanda, maka seluruh anggota tubuh badan terasa bahang kepanasan tersebut.
Hampir semua anggota tubuh badan kita menjadi lemah. Sampaikan, kita tidak berasa selesa daripada siang hingga malam.
Pada keesokannya pula, kita bergegas ke klinik dan bertemu dengan doktor.
Kita meluahkan apa yang kita rasa dan lalui pada doktor. Dengan harapan, doktor faham tentang apa yang kita alami.
Lalu, doktor pun membantu diri kita. Kerana adanya sifat kasih sayang, doktor merawat kita sehinggalah kita benar-benar sihat dan ceria.
Kita wajib memaparkan sifat kasih sayang sepanjang hayat. Kerana, sifat kasih sayang membentuk kerjasama dan perpaduan sesama kita.
Tidak kira suku, bangsa, bahasa, dan warna kulit, bahkan saudara se-Islam pun, kita harus bersama-sama. Kasih sayang itu bantu-membantu dan bersatu-padu.
Ia akan huru-hara sekiranya kasih sayang itu bercerai-berai dan mampu merosakkan sifat fitrah makhluk itu sendiri.
Maka, wujudkanlah sifat kasih sayang ini, hidup kita akan lebih harmoni dan sejahtera. Mulakanlah sifat kasih sayang pada diri sendiri terlebih dahulu dengan menghargai diri dan diikuti insan-insan yang terdekat.
Tebarkanlah sifat kasih sayang ini, bukan kerana ingin dihargai semata-mata di mata manusia.
Tetapi kita bersifat kasih sayang kerana kasih sayang Allah dan RasulNya itu lebih besar, mulia, dan agung.
Berkasih sayang itu tanda kita bersyukur.
Berkasih sayang itu tanda kita taat setia. Berkasih sayang itu tanda kita memelihara amanah.Berkasih sayang itu menandakan bahawa kita kasih dan sayang pada Allah dan RasulNya juga.
“Orang yang saling berkasih sayang demi keagunganKu akan mendapat mimbar-mimbar daripada cahaya, hinggakan para nabi dan syuhada juga cemburu dengan mereka.”
(Riwayat Al Tirmizi)
akuislam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan