Ketika saya bekerja di sebuah syarikat di Petaling Jaya dulu, saya
menumpang kereta seorang kakak yang bekerja di tempat yang sama. Setiap
kali dia melihat orang dengan kereta besar siap dengan drebar, dia akan
berkata, “kalau kita kaya tentu seronok kan!”.
Biasanya saya akan sambut dengan senyuman sahaja tanpa ada jawapan
sama ada setuju atau tidak. Begitulah sepanjang masa, setiap kali dia
ulang ayat yang sama, saya hanya tersenyum.
Satu hari dia bertanya, “Shubhi!, kamu tak teringin nak kaya ke?”
“Kenapa kakak tanya macam tu?”, tanya saya.
Ya lah, setiap kali kakak cerita pasal kaya, kamu buat dek saja!”, rungutnya.
Saya terangkan pada kakak itu, semua orang nak kaya. Mungkin hanya
orang yang tak berapa normal saja yang tak mau kaya. Memang saya mahu
jadi kaya, tapi bagi saya kaya bukan jaminan untuk seronok atau bahagia.
Jadi kalau kita mahu tunggu kaya baru nak bahagia, itu satu perbuatan
yang sia-sia. Belum tentu lagi bila kaya kita akan bahagia.
Cara mudah untuk senang dengan kaya
Ramai orang yang menunggu untuk kaya baru nak bahagia, macam kakak
yang saya tumpang itu. Tapi kebiasaannya mereka tak akan kaya-kaya.
Bahagia yang dinantikan tak tiba.
Lebih malang lagi apabila mereka kaya, bahagia tak juga datang. Lalu
mereka kejar untuk jadi lebih kaya lagi. Bahagia tak datang juga dan
begitulah seterusnya. Mereka kejar untuk jadi lebih kaya dan kaya sampai
maut datang dimuka pintu.
Cara paling mudah yang terbukti berjaya untuk senang adalah dengan
bahagia. Belajarlah untuk bahagia dengan keadaan sekarang, walau apapun
nilai kekayaan yang kita ada, insyaallah kesenangan akan menyusul.
Senang merupakan produk atau hasil daripada rasa bahagia.
Cara mudah untuk senang dengan kerjaya
Satu lagi masalah yang dihadapi oleh orang ramai adalah dalam bab
kerjaya. Ramai yang tak seronok dengan kerjaya mereka. Bila jadi beigtu,
mereka akan mengharapkan untuk mendapat kerjaya yang lebih baik
.
“Kalau aku dapat kerja kat syarikat itu tentu aku bahagia!”, itulah harapan kita. Kita meletakkan syarat untuk bahagia.
Kadang-kadang kita berangan-angan nak naik pangkat atau tukar
jabatan. Kalau dapat tukar jabatan atau naik pangkat, kita rasa akan
bahagia. Lalu kita berangan-angan bahagia kalau dapat semua itu.
Itu juga salah!. Bahagia terlebih dahulu dengan kerja yang kita
sedang lakukan sekarang, sudah pasti pangkat akan menyusul. Sudah pasti
berebut boss dari jabatan lain mahu mendapatkan anda.
Kejayaan dalam sesebuah kerjaya akan menyusul apabila kita rasa bahagia dengan apa yang sedang kita lakukan.
Cara mudah untuk senang dalam rumahtangga
Satu lagi masalah besar dihadapi oleh orang kita sekarang adalah
masalah rumahtangga yang tak bahagia. Isteri rasa tak bahagia dengan
suami dan suami juga rasa tak bahagia denagn isteri.
Bila jadi begitu masing-masing mula cari salah pasangan. Apa saja
perkara kecil yang tak kena akan dibesarkan. Segala usaha ditumpukan
untuk menyakitkan hati pasangan.
Isteri menyesal berkahwin dengan suami dan menyakitkan hati suami
dengan berkata, kalau aku kahwin dengan si anu itu, tentu aku senang
sekarang. Begitulah sebaliknya berlaku pada suami. Kalau aku kahwin
dengan awek itu tentu perkahwinan aku bahagia sekarang.
Selagi suami atau isteri meletakkan syarat untuk bahagia, sampai
bila-bilapun bahagia tak akan muncul. Seandainya suami atau isteri buat keputusan untuk bahagia dengan pasangan yang ada. Insyaallah senang akan datang menyusul.
Buat keputusan untuk bahagia sekarang juga
Cara mudah untuk senang sebagaimana yang kita sedia maklum adalah
dengan berusaha untuk rasa bahagia. Buat keputusan untuk bahagia dan
kekang diri daripada rasa kecewa atau tidak bahagia. Kita sentiasa ada
pilihan selagi tidak membenarkan perasaan menguasai diri.
Sebaik saja kita buat keputusan untuk rasa bahagia, senang akan
datang menyusul secara tidak disedari. Jika kita berusaha untuk kaya,
insyaallah kaya akan datang. Begitulah juga kita berusaha untuk kerjaya,
kesenangan dalam kerjaya juga akan datang.
Begitu juga hubungan suami isteri, buat keputusan untuk menerima
keadaan pasangan masing-masing dan cuba selak kebaikan dan redha dengan
keburukan disamping membantu membaikainya. Rasa bahagia akan muncul dan
seterusnya kesenangan akan datang menyusul.
Secara ringkasnya, bahagia terlebih dulu, insyallah kaya akan datang
menyusul. Bahagia dulu, insyaallah kerjaya yang bagus akan datang
menyusul dan begitulah juga bahagia dulu, kesenangan bersama pasangan
akan datang menyusul.
Untuk bahagia kita perlu terima keadaan
diri tanpa syarat. Buruk atau baik, banyak atau sikit, jauh atau dekat,
hensem atau hodoh, terima saja. Cuba cari kebaikan atau hikmah
disebalik yang buruk dan berikan tumpuan pada yang baik. Dari situ kita
akan mula bersyukur, dan seterusnya bahagia akan menjelma.
Begitulah lebih kurangnya cara mudah untuk senang. Buat diri sendiri dan buat mereka yang mencari formula untuk senang
http://hidupringkas.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan