Home Klik Di Bawah

Jumaat, 5 Disember 2014

Jangan Biarkan Hati Kita Penat Memberi Kasih dan Sayang, Walaupun Kita Seakan Tidak Dihargai & Dilupakan.


rasa kasih dan sayang
memberi kasih dan sayang itu kadangkala menyakitkan * Sick by Alephunky

Bila kita ditanya soal hati dan perasaan, ramai yang mengambil berat soalnya. Dan tak lain dan tak bukan pasti mereka yang bergelar wanita.

Mengapa harus begitu?

Tidakkah lelaki juga punya perasaan?

Benar, lelaki juga mempunyai perasaan. Mencintai, menyayangi, mengasihi, sama seperti apa yang wanita itu rasakan.

Tetapi mengapa semua perasaan itu kelihatan begitu ketara dalam diri seorang wanita?



 


Secara ironinya, setiap wanita dikurniakan rahim daripada Allah S.W.T. 

Bukankah rahim itu bermaksud ‘sayang’?

Justeru itulah wanita lebih menunjukkan belas, kasih dan sayangnya.

Tidak kira kepada sesiapapun yang telah Allah gerakkan hatinya.

Mungkin kepada insan yang bergelar kekasih, kepada anak-anak dan mungkin juga kepada insan di sekelilingnya. Wahai wanita, teruslah menyayangi, teruslah mencintai dan teruslah meluaskan rasa kasihmu.
Tidak kira kepada sesiapapun yang engkau rasakan baik untukmu.

Kerana rasa kasih dan sayang yang engkau miliki itu adalah hadiah untukmu yang dikurniakan Allah buat insan disekelilingmu.

Bila kasih dan sayang kita diabaikan.

Ada satu ketika seorang wanita itu akan terasa terbeban dengan kasih dan sayang yang terkumpul di dada hanya kerana kasihnya tidak berbalas.

Dan mungkin kerana kasihnya dipersiakan oleh mereka yang tidak tahu menghargainya. Harus bagaimana?
Jika menyayangi itu menenangkan hatimu, maka mengapa harus berhenti?
  • Ada isteri yang terus menyayangi isi rumah tangganya dan sentiasa terus melaksanakan tanggungjawabnya, sungguhpun dirinya dan perasaannya selalu diabai suami.
  • Ada ibu yang terus mendoakan anaknya, sungguhpun anaknya selalu mengasingkannya.
  • Ada guru yang tetap mendidik dengan ikhlas sungguhpun dia tahu ada anak didiknya yang tidak lagi mahu mendengar suaranya.
Analoginya, jika kita berjalan di sebuah kota.

Ada seorang miskin di situ. Duduk bersila di celah-celah bangunan menadah meraih simpati. Lalu hadir seorang manusia yang penuh belas memberi bantuan kepada si miskin itu. Nah, apa yang engkau rasakan apabila melihat peristiwa itu?

Tidakkah engkau akan melihat baik kepada si pemberi itu? Percayalah, begitu juga kasih Allah.

Memberi itu tidak salah. Ketahuilah, setinggi-tinggi dan seindah indah pemberian itu adalah kasih dan sayangmu.

Sudah Terlalu Lelah Dalam Memberi Kasih dan Sayang

Akan tiba satu saat bila hati terasa lesu menabur sayang. Terasa hilang seluruh tenaga untuk membenih kasih. Lalu apa yang perlu aku lakukan?

Penat menyayangi mereka yang langsung tidak dapat melihat pengorbanan kasih yang selalu aku berikan!
Mengapa mereka terlalu buta?

Setiap yang datang pasti akan pergi juga. Imbas dirimu, lihatlah di mana pernah ada sayang yang diberikan kepadamu. Pernah ada kasih yang menenangkan hatimu.

Mungkin hari ini insan yang memberi sayang itu sudah tiada lagi. Dan dewasa inilah masanya untuk kau mencurahkan kasih sayangmu.

Usahlah terlalu kikir engkau terhadap rasa kasih dan sayangmu. Kerana rasa kasih dan sayang itu tidak akan pernah habis selagi diizinkan Allah.

Maka, ambil masa mu sedikit untuk mencurahkan sayangmu kepada mereka yang selayaknya.

Hubungilah dan ucapkan rasa rindumu kepada ibu ayah yang jauh di kampung, ucapkanlah sayangmu kepada teman sehidup dan sematimu, peluklah tubuh anak yang pernah ketika dahulu lahirnya memberi sebaris senyuman dibibirmu, genggamlah tangan mereka yang selalu ikhlas ada di sisi kita.

Tunduklah dan sujudlah kepada Dia yang tidak pernah lelah memberi segala-galanya yang kita perlukan.

Zahirkan sayangmu. Justeru engkau akan dilihat begitu mahal hanya kerana rendahnya hatimu yang sentiasa menyayangi.
“Ya Rahman, Ya Rahim..Engkau isikanlah hati ini dengan rasa kasih dan sayang dan bantulah aku dalam memilih tepat tangguk hati yang benar-benar untuk aku curahkan rasa kasih ini. Ajari aku ikhlas dalam setiap curahan pengorbanan kasih dan sayang ini.”
 http://akuislam.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan