Home Klik Di Bawah

Ahad, 7 Disember 2014

Kisah dalam Surah Yusuf adalah sebaik-baik kisah dalam Al-Quran

Kisah Nabi Yusuf A.S. terdapat dalam satu surah penuh yang juga bernama surah Yusuf. Disebutkan bahawa sebab turunnya surah itu adalah kerana orang-orang Yahudi meminta Rasulullah S.A.W untuk menceritakan kepada mereka kisah Nabi Yusuf A.S.


Kisah dalam Surah Yusuf adalah sebaik-baik kisah dalam Al-Quran !..
Kisah dalam Surah Yusuf adalah sebaik-baik kisah dalam Al-Quran !..
Kisah sebenar telah mengalami perubahan pada sebahagiannya dan terdapat penambahan pada sebahagiannya. Lalu Allah S.W.T menurunkan satu surah penuh yang secara terperinci menceritakan kisah Nabi Yusuf A.S.
 

Allah S.W.T berfirman:
Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan Al-Quran ini kepadamu, (Muhammad) dan sesungguhnya kamu sebelum kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahuinya. (Yusuf: 3)

Para ulama’ berbeza pendapat dalam hal mengapa kisah ini disebut sebagai kisah yang terbaik? Ada yang mengatakan bahawa kisah ini memiliki keistimewaan dibandingkan dengan kisah-kisah Al-Quran yang lain, dilihat dari aspek kandungannya yang memuatkan pelbagai ungkapan dan hikmah.

Ada yang mengatakan kerana Nabi Yusuf A.S mengampuni saudara-saudaranya dan bersikap sabar atas tindakan mereka. Ada pula yang mengatakan bahawa kerana di dalamnya terdapat kisah para Nabi dan orang-orang soleh.

Terdapat juga pelajaran tentang kehormatan diri dan adanya godaan, kehidupan para raja, lelaki dan wanita serta tipu daya kaum wanita. Di dalamnya disebut tentang aspek tauhid dan fiqh, juga tentang mimpi dan tafsirannya. Di samping itu, ia adalah surah yang penuh dengan peristiwa-peristiwa dan perasaan atau cinta.

Ada yang mengatakan bahawa ia disebut sebagai kisah yang terbaik kerana semua orang-orang yang disebut di dalamnya, pada akhirnya mendapatkan kebahagiaan.

Apa yang jelas, kita percaya bahawa terdapat sebab penting di sebalik keistimewaan kisah ini. Dari awal sampai akhir kita akan merasakan adanya kekuasaan Allah S.W.T dan pelaksanaan perintah-Nya, meskipun ramai manusia berusaha menentang.

Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya.” (Yusuf: 21)

Nabi Yusuf a.s menerima pelbagai ujian dalam hidupnya. Beliau menghadapi pakatan jahat dari orang-orang yang dekat dengannya, iaitu saudara-saudaranya. Mereka merancang untuk membunuhnya sejak Yusuf A.S masih kecil.

Kemudian Yusuf A.S dijual di pasar hamba di Mesir lalu dia dibeli dengan harga yang sangat murah. Selepas itu, dia menghadapi godaan dari isteri seorang pembesar. Apabila dia menolak godaan wanita itu, dia pun disumbat ke dalam penjara. Dalam beberapa waktu, dia menjadi tahanan di penjara.

Meskipun mendapat pelbagai kehinaan, pada akhirnya dia menduduki tampuk kepimpinan di Mesir. Beliau menjadi pembesar dari raja yang pertama dan memulakan dakwahnya bagi melaksanakan perintah Allah S.W.T. Demikianlah kandungan dari kisahnya.

Kisah tersebut menggambarkan suatu rentetan peristiwa yang sangat mengkagumkan. Permulaan kisah itu adalah mimpi, di mana mimpi para Nabi pasti mengandungi kebenaran. Allah S.W.T menyingkapkan di dalamnya pelbagai peristiwa yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Al-Quran menceritakan bagaimana Nabi Yusuf A.S menceritakan mimpinya kepada ayahnya, Nabi Ya’kub A.S:

(Ingatlah), Ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: ”Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku.” (Yusuf: 4)

Dengan gambaran ini, kisah Nabi Yusuf A.S dimulai, sebagaimana yang diceritakan oleh Allah S.W.T di dalam kitab-Nya.

Ayahnya berkata: ”Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka membuat onar (untuk membinasakan)mu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Yusuf: 5)

Si ayah mengingatkannya agar jangan menceritakannya kepada saudarasaudaranya. Sesungguhnya saudara-saudara Nabi Yusuf A.S membencinya dan dengki dengan perhatian ayah mereka kepada Yusuf A.S.

Yusuf bin Ya’kub bin Ishak bin Ibrahim. Salasilah suci dalam keturunan suci. Ketika mendengar mimpi anaknya, Nabi Ya’kub A.S merasa bahawa anaknya itu akan memikul suatu amanah besar. Sebahagian ulama’ berkata bahawa Nabi Ya’kub A.S merasa bahawa Allah S.W.T memilih Yusuf A.S melalui mimpi ini.

Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu (untuk menjadi Nabi) dan diajarkannya kepadamu sebahagian dari ta’bir mimpi-mimpi.” (Yusuf: 6)

Makna takwil atau ta’bir adalah mengetahui akhir dari sesuatu dan kemampuan untuk menyingkap suatu kesimpulan, juga mengetahui rahsia yang belum terjadi. Nabi Yusuf A.S mampu mentafsirkan mimpi serta petanda yang tersembunyi.

Dia mampu melihat apa yang akan terjadi di masa depan. Ada yang mengatakan bahawa Nabi Yusuf A.S mengetahui kesudahan dari suatu peristiwa, baik dari permulaannya atau akhirnya. Allah S.W.T akan memberikan ilham padanya sehingga dia dapat mentakwil mimpi.

Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (Yusuf: 6)

Pada akhir pembicaraannya, Nabi Yusuf A.S mengembalikan ilmu dan hikmah kepada Allah S.W.T. Sebahagian ulama’ ada yang mengatakan bahawa ayat tersebut bukan termasuk sebahagian dari percakapan Nabi Ya’kub A.S bersama anaknya Yusuf, namun ia merupakan pujian Allah terhadap Yusuf.

Perkataan tersebut dimasukkan dalam rangkaian kisah sejak permulaannya, padahal ia bukan sebahagian darinya. Jadi, sejak awal Nabi Yusuf dan Nabi Ya’kub’ A.S tidak mengetahui petanda dari mimpi itu. Pendapat ini dikemukakan oleh Al-Qurthubi dalam tafsirnya Al-Jami’li Ahkamil Quran.

Sesungguhnya Allah S.W.T menceritakan bagaimana Dia memilih Yusuf A.S. Ini bererti proses kenabian Yusuf A.S dan bukan mengajarnya untuk mentakwilkan mimpi serta memberitahu tentang hakikat simbol-simbol yang ada dalam kehidupan atau mimpi, selain mukjizat-mukjizatnya sebagai seorang Nabi. Allah S.W.T Maha Mengetahui kepada siapa agama-Nya diserahkan. Nabi Ya’kub A.S mendengar kisah mimpi anaknya dan mengingatkan agar jangan menceritakan kepada saudara-saudaranya. Yusuf A.S memenuhi permintaan ayahnya.

Sesungguhnya ada beberapa tanda-tanda kekuasaan Allah pada (kisah) Yusuf dan saudara-saudaranya bagi orang-orang yang bertanya. (iaitu) ketika mereka berkata: ”Sesungguhnya Yusuf dan saudara kandungnya (Bunyamin) lebih dicintai oleh ayah kita daripada kita sendiri, padahal kita (ini) adalah satu golongan (yang kuat). Sesungguhnya ayah kita ada dalam kekeliruan yang nyata.

Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu (daerah yang tidak diketahui) supaya perhatian ayahmu tertumpah kepadamu saja, dan sesudah itu hendaklah kamu menjadi orang-orang yang baik.” Seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah dia ke dalam sumur, supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, jika kamu hendak berbuat.” (Yusuf: 7-10)

Saudara-saudaranya tetap merencanakan konspirasi dan niat jahat padanya. Salah seorang berkata: “Mengapa ayah kita lebih mencintai Yusuf daripada kita?”

Saudara yang kedua berkata: ”Barangkali kerana ketampanannya.”

Saudara ketiga berkata: ”Yusuf dan saudaranya, kedua-duanya mendapat tempat di hati ayah.”

Salah seorang dari mereka mengusulkan: ”Kalau begitu, bunuhlah Yusuf!”

“Mengapa kita membunuhnya? lebih baik kita membuangnya di bumi yang jauh, lalu kita merasa tenang.” Salah seorang di antara mereka berkata.

“Kalau begitu, lebih baik kita membuangnya ke dalam sumur (perigi) yang menjadi tempat laluan para kafilah. Maka kafilah itu akan mengambilnya dan membawanya ke tempat yang jauh. Dengan jauhnya Yusuf A.S, maka tujuan kita akan tercapai. Kemudian setelah itu, kita bertaubat dari kejahatan dan kembali menjadi orang-orang baik,” usul yang lain pula.

Cadangan untuk membuang Yusuf A.S ke dalam perigi dianggap sebagai paling baik. Dari sini kita memahami bahawa saudara-saudara Yusuf A.S, meskipun penuh kejahatan dan sifat dengki, namun dalam hati mereka masih tersisa titiktitik kebaikan. Akhirnya, mereka sepakat untuk melaksanakan tindakan itu:

Mereka berkata: ”Wahai ayah kami, apa sebabnya kamu tidak mempercayai kami terhadap Yusuf, padahal sesungguhnya kami adalah orang-orang yang ingin kebaikan baginya. Biarkan dia pergi bersama kami esok pagi, agar dia (dapat) bersenang-senang dan (dapat) bermain-main. dan sesungguhnya kami pasti menjaganya.

Berkata Ya’kub: “Sesungguhnya pemergian kamu bersama Yusuf amat menyedihkanku dan aku khuatir kalau-kalau dia dimakan serigala, sedang kamu lengah darinya. Mereka berkata: Jika dia benar-benar dimakan serigala, sedang kami golongan (yang kuat), sesungguhnya kami kalau demikian, adalah orang-orang yang rugi.” (Yusuf: 11-14)

Begitulah percakapan mereka yang penuh kelembutan dan dendam tersembunyi. Mereka memujuk agar Nabi Ya’kub A.S mengizinkan Yusuf A.S pergi dengan mereka. Akhirnya, mereka berjaya meyakinkan si ayah yang sangat khuatir kalau-kalau Yusuf A.S dimakan oleh serigala.

“Kami sepuluh orang lelaki, maka tak mungkin kami yang ramai ini lalai darinya. Sungguh kami akan kehilangan sifat kejantanan seandainya terjadi peristiwa itu.

“Kami berjanji akan menjaga keselamatannya. Kerana itu, tiada yang perlu dikhuatirkan.” Begitulah janji mereka.

Ayah pun mengizinkan Yusuf A.S pergi bersama mereka. Pada hari berikutnya, mereka berangkat menuju tempat yang jauh. Belum pernah mereka berjalan sejauh itu. Mereka mencari sumur yang sering dilalui para kafilah untuk memasukan Yusuf A.S ke dalamnya. Allah S.W.T mengilhamkan kepada Yusuf A.S bahawa dia akan selamat, maka dia tidak perlu takut.

Tiba di suatu perigi, mereka pun melakukan rancangan jahat itu. Mereka memukul Yusuf A.S dan membuka bajunya, lalu mereka menghumbankan Yusuf A.S ke dalam perigi.

Kemudian Allah S.W.T mewahyukan kepada Yusuf A.S bahawa dia akan selamat dan tidak perlu takut. Di dalam perigi itu terdapat air, namun tubuh Nabi Yusuf A.S tidak terkena apa-apa yang membahayakan. Dia duduk sendirian di perigi itu.

Kemudian mereka datang kepada ayah mereka di senja hari sambil menangis. Mereka berkata: Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala; dan kamu sekali-kali tidak akan pernah percaya kepada kami, walaupun kami adalah orang-orang yang benar.

Mereka datang membawa bajunya (yang berlumuran) dengan darah palsu. Ya’kub berkata: ”Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sajalah yang dimohon pertolonganNya terhadap apa yang kamu ceritakan.” (Yusuf: 16-18)

Mereka melumurkan darah palsu iaitu darah binatang ke pakaian Yusuf A.S. tetapi mereka lupa untuk merobek-robek pakaian itu. Malah mereka membawa pakaian sebagaimana biasanya (masih utuh) tetapi hanya berlumuran darah.

Nabi Ya’kub A.S memegang pakaian anaknya dan memerhatikannya. Baju itu masih utuh dan tiada tanda-tanda cakaran atau robek. Serigala apa yang makan Yusuf? Apakah ia memakannya dari dalam pakaian tanpa merobek pakaiannya?

Seandainya Yusuf mengenakan pakaiannya lalu dia dimakan oleh serigala, nescaya pakaian tersebut akan robek. Melalui bukti-bukti itu, Nabi Ya’kub A.S mengetahui bahawa Yusuf tidak dimakan oleh serigala. Si ayah mengetahui bahawa mereka berbohong. Ia mengungkapkan hal ini dalam perkataannya:

Ya’kub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku).

Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan.” (Yusuf: 18)

Demikianlah akhlak Nabi yang bijaksana. Dia meminta agar diberi kesabaran dan memohon pertolongan kepada Allah S.W.T atas apa yang mereka lakukan terhadap anaknya.

Selanjutnya, terdapat kafilah besar yang datang dari jauh menuju ke Mesir. Semua ahli kafilah itu menuju ke sumur (perigi) untuk berhenti rehat dan mengambil air. Seseorang menghulurkan timba ke dalam perigi itu, lalu Yusuf A.S bergantungan dengannya. Orang itu mengira bahawa timbanya telah penuh dengan air lalu menariknya. Tiba-tiba dia terkejut apabila menemui seorang budak di dalamnya.

Yusuf A.S dibawa pergi bersama mereka. Apabila sampai di Mesir, Yusuf A.S dijual di pasar hamba dengan harga yang sangat murah. Dia telah dibeli oleh seorang lelaki.

Kemudian datanglah kelompok orang-orang musafir, lalu mereka menyuruh seorang pengambil air, maka dia menurunkan timbanya, dia berkata: Oh! Khabar gembira, ini seorang anak muda!” Kemudian mereka menyembunyikan dia sebagai barang dagangan.

Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. Dan mereka menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham saja, dan mereka tidak tertarik hatinya kepada Yusuf. Dan orang Mesir yang membelinya berkata kepada isterinya: Berikanlah kepadanya tempat (dan layanan) yang baik, boleh jadi dia bermanfaat kepada kita atau kita pungut dia sebagai anak.”

Dan demikianlah Kami berikan kedudukan yang baik kepada Yusuf di muka bumi (Mesir) dan agar Kami ajarkan kepadanya ta’bir mimpi. Dan Allah berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.” (Yusuf: 19-21)

Perhatikanlah bagaimana Allah S.W.T berkuasa terhadap urusan-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.Yusuf A.S benar-benar diuji dengan ujian berat. Dia dimasukkan ke dalam sumur, dipisahkan dari ayahnya, kemudian dia diambil dari sumur lalu dijual di pasar.

Selepas itu dia dibeli oleh seorang lelaki Mesir lalu menjadi seseorang yang dimiliki oleh lelaki itu. Demikianlah ujian demi ujian telah dialaminya. Yusuf A.S kelihatan tidak memiliki daya dan upaya, tetapi hakikat selalu berlawanan dengan prasangka. Itu adalah tragedi, ujian dan dugaan Allah S.W.T.

Yusuf A.S mendapat tempat di hati orang yang membelinya. Lelaki itu seorang yang berkuasa di Mesir dan bergelar Al-Aziz (bermaksud raja). Demikianlah Allah S.W.T memartabatkan Yusuf A.S di muka bumi. Al-Aziz berkata kepada isterinya: ”Hormatilah dia, kerana barangkali dia bermanfaat bagi kita atau kita dapat menjadikannya sebagai anak.”

Nabi Yusuf S.W.T adalah orang yang sangat tampan, di mana wajahnya mengundang kagum orang yang melihatnya. Sikapnya yang bersopan santun dan berakhlak mulia semakin menambah ketampanannya. Hari demi hari terus berlalu, Yusuf S.W.T pun semakin meningkat dewasa.

Dan tatkala dia cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat bait” (Yusuf: 22)

Yusuf A.S diberi kemampuan untuk menyelesaikan masalah serta pengetahuan tentang kehidupan dan peristiwa-peristiwanya. Dia juga diberi kebolehan bercakap yang dapat menarik hati orang yang mendengarnya.

Yusuf A.S diberi kemuliaan sehingga menjadi tokoh yang agung. Tuannya mengetahui bahawa Allah S.W.T memuliakannya dengan mengirim Yusuf A.S. Dia mengetahui bahawa Yusuf A.S memiliki kejujuran, kemuliaan dan istiqomah (keteguhan).

Sementara itu, isteri tuannya itu selalu mengawasi Yusuf A.S. Dia suka duduk di samping Yusuf A.S dan berbual bersamanya. Dia mengamati kejernihan mata dan ketampanan Yusuf A.S. Akhirnya, kekaguman dan rasa cintanya semakin bertambah pada Yusuf A.S.

Al-Quran menceritakan kisah dari perjalanan cinta ini, di mana wanita itu (Zulaikha) mula menggoda Yusuf A.S.

Dan wanita (Zulaikha) yang Yusuf tinggal di rumahnya menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadanya) dan dia menutup pintu-pintu seraya berkata: Marilah ke sini.” Yusuf berkata: Aku berlindung kepada Allah, sungguh tuanku telah memperlakukan aku dengan baik.” Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada beruntung.

Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikan dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan darinya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba yang terpilih.” (Yusuf: 23-24)

Zulaikha sangat mencintai Yusuf A.S. Dia merayu dengan cara terang-terangan lalu menutup pintu-pintu. Ini bererti bahawa terdapat peristiwa godaan sebelumnya di mana Yusuf A.S dapat menghindari. Peristiwa sebelumnya tidak disampaikan dengan cara terang-terangan seperti ini. Yusuf A.S telah terdidik di istana seorang pemerintah Mesir. Tinggal di lingkungan mewah, dikelilingi dengan wanita-wanita cantik.

Bayangkanlah mereka berdua tinggal bersama di dalam satu rumah selama beberapa tahun. Wanita yang terbelenggu dengan hawa nafsunya, menggoda dan merayu Yusuf A.S, sementara Yusuf A.S masih bertahan dengan ketaqwaannya.

Kemudian datanglah hari apabila wanita itu bosan dengan sikap tidak peduli dan keengganan Yusuf A.S melayaninya. Dia langsung mengubah perancangannya. Dia tidak lagi menggunakan isyarat, sebaliknya dia lebih berani memilih bahasa dan permintaan secara terang-terangan. Dia menutup semua pintu dan merayu tanpa rasa malu dengan hasrat menyatakan cinta dan memuaskan nafsunya.

Allah S.W.T berfirman: ”Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikan dia tidak melihat tanda (dan) Tuhannya.”

Para ahli tafsir sepakat tentang keinginan wanita itu untuk melakukan maksiat, manakala mereka berselisih pendapat tentang hasrat yang ada pada Nabi Yusuf A.S. Ada yang mengatakan bahawa wanita itu memang ingin melakukan maksiat dengannya dan Yusuf A.S pun memiliki perasaan sama, namun dia tidak sampai melakukannya. Ada yang mengatakan lagi bahawa wanita itu berhasrat untuk menciumnya dan Yusuf A.S berhasrat untuk memukulnya.

Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa hasrat ini memang terdapat di antara mereka sebelum terjadinya peristiwa itu. Ia merupakan pergolakan jiwa yang terdapat dalam diri Yusuf A.S ketika menginjak usia remaja, kemudian Allah S.W.T memalingkan kemungkaran darinya. Maka sebaik-baik tafsir, bahawa di sana terdapat pendahuluan dan pengakhiran dalam ayat tersebut.

Abu Hatim berkata: ”Aku membaca bahagian dari Al-Quran pada Abu Ubaidah dan aku sampai pada firman-Nya: ”Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf, dan Yusuf bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikan dia tidak melihat tanda (dan) Tuhannya.”

Abu Ubaidah berkata: Ini berdasarkan pendahuluan dan pengakhiran. Dengan pengertian bahawa wanita itu benar-benar cenderung pada Yusuf A.S, dan seandainya Yusuf A.S tidak melihat tanda kebenaran dari Tuhannya nescaya dia pun akan cenderung padanya. Aku kira tafsir ini sesuai dengan kemaksuman para Nabi sebagaimana ia juga sesuai dengan maksud ayat yang datang sesudahnya.” Demikianlah, agar Kami memalingkan darinya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf itu termasuk hamba-hamba yang terpilih.”

Ayat tersebut menetapkan bahawa Nabi Yusuf A.S termasuk hamba-hamba Allah S.W.T yang ikhlas. Pada ketika yang sama, menetapkan juga kebebasannya dari pengaruh kekuasaan syaitan. Allah S.W.T berkata kepada iblis pada hari penciptaan:

Sesungguhnya hamba-hamba-Ku tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikuti kamu, iaitu orang-arang yang sesat. (AlHijr:42)

Selagi Yusuf A.S termasuk hamba-hamba-Nya yang ikhlas, maka dia akan suci dari pelbagai dosa. Ini tidak bererti bahawa dia tiada naluri kejantanan. Juga tidak bererti bahawa dia berada dalam kesucian para malaikat yang tidak terpengaruh dengan hawa nafsu. Namun beliau mempunyai keteguhan iman bagi menghadapi godaan yang cukup lama dan dia mampu untuk melawannya. Kemudian dia dibimbing dan ditenangkan oleh ketaqwaannya yang mampu melihat tanda-tanda kebenaran dari Tuhannya.

Zulaikha menghulurkan tangannya untuk memeluk tubuh Yusuf A.S. Dengan pantas Yusuf mengelak dan berlari menuju ke pintu. Wanita itu mengejar dan menarik pakaian Yusuf A.S. Kedua-duanya sampai ke pintu. Tiba-tiba pintu itu terbuka dan Al-Aziz (suami Zulaikha) datang bersama seorang ahli keluarganya.

Dan keduanya berlumba-lumba menuju pintu dan wanita itu menarik baju Yusuf dari belakang hingga koyak dan kedua-duanya mendapati suami wanita itu di muka pintu.” (Yusuf: 25)

Wanita yang sedang mabuk cinta kepada Yusuf A.S itu melihat suaminya muncul tiba-tiba. Dia segera menggunakan helahnya. Yusuf A.S gementar dengan penuh rasa malu. Sebelum suaminya membuka mulutnya untuk berkata, wanita itu mendahuluinya dengan melontarkan tuduhan kepada Yusuf A.S.

Wanita itu berkata: Apakah pembalasan terhadap orang yang bermaksud berbuat serong dengan isterimu, selain dipenjarakan atau (dihukum) dengan azab yang pedih?” (Yusuf: 25)

Zulaikha menuduh Yusuf A.S telah menggodanya dan cuba memperkosanya. Yusuf A.S memandang wanita itu dengan kesabaran. Sebenarnya dia berusaha menyembunyikan rahsia wanita itu, namun ketika dia dituduh, Yusuf A.S terpaksa mempertahankan dirinya.

Yusuf berkata: Dia menggodaku untuk menundukkan diriku (kepadanya).

Al-Aziz kebingungan cuba mencari kepastian tentang kejadian itu. Kemudian seorang ahli keluarga mengemukakan hujah yang boleh menghuraikan kekusutan itu. Menurutnya, kunci persoalan adalah terletak pada baju Yusuf A.S.

Dan seorang saksi dari keluarga wanita itu memberikan kesaksiannya: Jika bajunya koyak di depan, maka wanita itu benar dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta. Dan jika bajunya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar.” (Yusuf: 26-27)

Mereka pun memeriksa pakaian Yusuf A.S dan mendapatinya dalam keadaan koyak dari belakang. Maka jelaslah bahawa Zulaikha yang cuba menggoda.

Maka tatkala suami wanita itu melihat baju Yusuf koyak di belakang berkatalah dia: Sesungguhnya (kejadian) itu adalah tipu daya kamu, sesungguhnya tipu daya kamu adalah besar.” (Yusuf: 28)

Ketika si suami memastikan pengkhianatan isterinya, dia masih bertenang dan tidak menunjukkan emosi yang berlebihan. Dia menganggap apa yang dilakukan oleh isterinya sebagai tipu daya yang sangat besar (berbahaya). Kemudian dia menoleh kepada Yusuf A.S sambil berkata:

Hai Yusuf! Berpalinglah dari ini, dan (kamu hai isteriku) mohon ampunlah atas dosamu itu, kerana kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang berbuat salah.” (Yusuf: 29)

Al-Aziz mahu Yusuf A.S merahsiakan kejadian itu dan dia juga menyuruh isterinya meminta ampun dan bertaubat kerana melakukan dosa yang besar. Setelah pernyataan dan nasihat, Al-Aziz mengakhiri masalah tersebut.

Namun kejadian itu tidak berakhir begitu saja. Apa yang jelas, cerita itu akhirnya tersebar. Kemudian wanita-wanita yang tinggal di istana itu mula menjadikannya sebagai bahan cerita.

Dan wanita-wanita di kota berkata: ”Isteri Al-Aziz menggoda bujangnya untuk menundukkan dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada bujangnya itu adalah sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata.” (Yusuf: 30)

Wanita-wanita itu mencerca Zulaikha sebagai sesat. Sedangkan mereka tidak pernah melihat bagaimana tampannya wajah Yusuf A.S. Mereka tidak mengetahui kehebatan daya tarikannya.

Zulaikha merancang untuk mengenakan orang-orang yang mencercanya. Dia mengatur jamuan besar di istana dan mengundang wanita-wanita untuk hadir ke majlis itu. Mereka datang beramai-ramai dan jamuan itu berlangsung dengan cukup meriah. Zulaikha memanfaatkan majlis itu sebagai kesempatan untuk menunjukkan seorang pemuda yang paling tampan dan mengkagumkan.

Maka tatkala wanita itu (Zulaikha) mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebilah pisau (untuk memotong buah) kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka” Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada (keelokan rupa)nya, dan mereka melukai (jari) tangannya dan berkata: “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia.

Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia.” Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak.

Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia termasuk golongan orang-orang yang hina.” Yusuf berkata: “Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku.

Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.” Maka Tuhannya memperkenankan doa Yusuf dan Dia menghindarkan Yusuf dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Yusuf: 31-34)

Para tetamu wanita itu tercengang ketika menyaksikan wajah bercahaya yang menampakkan ketampanan luar biasa. Wanita-wanita itu pun terpaku dan mereka terus memotong buah yang ada di tangan mereka dengan pisau. Semua pandangan tertuju hanya kepada Yusuf A.S dan tidak melihat buah yang ada di tangan.

Akhirnya, wanita-wanita itu memotong jari tangan sendiri namun mereka tidak merasa kesakitan. Sungguh kehadiran Yusuf di tempat itu sangat mengkagumkan sehingga tidak merasa sakit meskipun keluar darah dari luka jejari tangan mereka.

Kita tidak mengetahui secara pasti apa yang terjadi di tempat jamuan itu. Apa yang jelas, wanita-wanita yang hadir di majlis jamuan itu telah tergoda kepada Yusuf A.S. Dia berdoa kepada Allah S.W.T agar memalingkan tipu daya mereka darinya sehingga dia tidak cenderung kepada mereka dan kemudian menjadi orang yang bodoh. Allah S.W.T mengkabulkan doanya.

Akhirnya, wanita-wanita itu merasa putus asa untuk mendapatkan Yusuf A.S dan merasa bahawa rasa cinta mereka kepada Yusuf A.S adalah suatu keinginan yang mustahil untuk diwujudkan.

Wanita-wanita itu mula membicarakan tentang ketampanan luar biasa, pengaruh, kewibawaan dan kemuliaan Yusuf A.S. Mereka menceritakan bagaimana mereka memotong jejari mereka dengan pisau lantaran terlalu asyik ketika melihat Yusuf A.S. Akhirnya, berita itu tersebar dengan meluas.

Maka mulalah masyarakat merasakan bahawa Yusuf A.S seorang yang merbahaya dan wajar dikenakan sekatan. Selanjutnya dicadangkan agar Yusuf A.S dihukum penjara agar dia tidak dapat meninggalkan sebarang pengaruh ke atas sesiapa jua.

Kemudian timbul fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda (kebenaran Yusuf) bahawa mereka harus memenjarakannya sampai sesuatu waktu.” (Yusuf: 35)

Di sinilah kewibawaan pemerintah dipertaruhkan dan menjadi pertimbangan. Lalu, rejim yang berkuasa menangkap Yusuf A.S dan dimasukkan ke dalam penjara untuk menutup cerita itu. Yusuf A.S telah berkata bahawa penjara baginya lebih disukainya dari memenuhi ajakan untuk melakukan kemungkaran. Maka Yusuf A.S dipenjarakan walaupun dia tidak bersalah.

Demikianlah ayat Al-Quran menggambarkan secara singkat suasana yang penuh dengan kekotoran dan kerosakan jiwa. Penjara menjadi jalan keluar yang dipilih oleh hukuman yang mutlak. Seandainya kita memerhatikan keadaaan masyarakat Mesir ketika itu, maka kita akan memahami mengapa kekuasaan mutlak itu dipergunakan. Orang-orang Mesir menyembah tuhan-tuhan yang beraneka ragam. Mereka menyembah sembahan selain Allah.

Meskipun Yusuf A.S sebagai seorang Nabi, beliau tetap dipenjarakan tanpa melalui proses pengadilan. Yusuf A.S masuk ke dalam penjara dengan hati yang tenang dan tidak menampakkan kesedihan. Baginya, penjara adalah suatu tempat yang damai, di mana di dalamnya dia mampu menenangkan diri dan berfikir tentang Tuhannya. Nabi Yusuf A.S memanfaatkan kesempatannya di penjara untuk berdakwah di jalan Allah S.W.T.

Di dalam penjara, beliau mendapati orang-orang yang tidak bersalah juga dimasukkan ke dalamnya. Ketika manusia dizalimi, maka hati mereka akan lebih mudah untuk menerima hidayah dan kebenaran. Memang hati orang-orang yang menderita dan teraniaya lebih terbuka untuk memenuhi panggilan Allah S.W.T.

Yusuf A.S bercerita kepada manusia tentang kebesaran, rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T terhadap makhluk-makhluk-Nya. Dia bertanya kepada mereka: ”Mana yang lebih baik. Apakah akal harus dikalahkan dan manusia menyembah tuhan yang bermacam-macam. Atau akal harus dimenangkan dan manusia menyembah Allah S.W.T Yang Maha Besar.”

Yusuf A.S menyampaikan hujah-hujah yang bernas melalui dakwahnya yang disampaikan dengan ketenangan dan kedamaian. Beliau berhujah dengan mereka secara baik serta niat yang tulus.

Kemudian, dua orang pemuda di dalam penjara bercerita tentang mimpi mereka kepada Nabi Yusuf A.S serta memintanya untuk mentafsirkannya. Yusuf A.S menggunakan kesempatan itu untuk berdakwah.

Allah S.W.T berfirman:

Dan bersama dengan dia masuk pula ke dalam penjara dua orang pemuda. Berkatalah salah seorang di antara keduanya: “Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku memerah anggur.” Dan yang lainnya berkata: ”Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku membawa roti di atas kepalaku, sebahagiannya dimakan burung.

Berikanlah kepada kami ta’birnya; sesungguhnya kami memandang kamu termasuk orang-orang yang pandai (menta’birkan mimpi).” Yusuf berkata: ”Tidak disampaikan kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepadamu melainkan aku telah dapat menerangkan jenis makanan itu, sebelum makanan itu sampai kepadamu. Yang demikian itu adalah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari kemudian. Dan aku mengikut agama bapa-bapaku iaitu Ibrahim, Ishak, dan Ya’kub.

Tidaklah patut bagi kami (para Nabi) mempersekutukan sesuatu apapun dengan Allah. Yang demikian itu adalah dari kurnia Allah kepada kami dan kepada manusia (seluruhnya); tetapi kebanyakan manusia itu tidak mensyukuri(Nya). Hai kedua penghuni penjara, manakah yang baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itu ataukah Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa? Kamu tidak menyembah yang selain Allah kecuali hanya (menyembah) namanama yang kamu dan nenek-nenek moyangmu membuat-buatnya.

Allah tidak menurunkan suatu keterangan pun tentang nama-nama itu. Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan agar kamu tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (Yusuf: 36-40)

Kedua orang pemuda itu pernah bekerja sebagai pembuat roti dan pelayan minuman raja di istana. Mereka menceritakan tentang mimpi masing-masing untuk mengetahui apakah petandanya.

Yusuf A.S berdoa kepada Allah S.W.T. Kemudian beliau memberitahu tukang roti itu, bahawa dia akan mati disalib dan pelayan minuman raja akan keluar dari penjara dan kembali bekerja di istana.

Hai kedua penghuni penjara, adapun salah seorang di antara kamu berdua, akan memberi minum tuannya dengan khamar (arak); adapun yang seorang lagi, maka dia akan disalib, lalu burung memakan sebahagian dari kepalanya. Telah diputuskan perkara yang kamu berdua menanyakannya {kepadaku).” Dan Yusuf berkata kepada orang yang diketahuinya akan selamat di antara mereka berdua: ”Terangkanlah keadaanku kepada tuanmu.” Maka syaitan menjadikan dia lupa menerangkan (keadaan Yusuf) kepada tuannya. Kerana itu tetaplah dia (Yusuf) dalam penjara beberapa tahun lamanya.” (Yusuf: 41-42)

Akhirnya apa yang ditafsirkan oleh Nabi Yusuf A.S benar-benar terjadi. Tukang roti itu pun dibunuh manakala pelayan minuman raja dimaafkan dan kembali ke istana, tetapi syaitan telah membuatkannya lupa menyampaikan pesanan Yusuf A.S kepada raja.

Tahun demi tahun berlalu. Suatu hari si raja tidur dan bermimpi. Dalam mimpinya dia merasa dirinya berdiri di tepi Sungai Nil. Air sungai menjadi kering sehingga sungai itu menjadi tompokan tanah yang tandus. Kemudian ikan-ikan melompatlompat di tanah sungai.

Lalu keluarlah dari sungai itu tujuh ekor sapi (lembu) yang gemuk dan tujuh ekor sapi yang kurus. Semua sapi yang kurus berubah menjadi binatang buas lalu menyerang dan membaham sapi-sapi yang gemuk. Raja berdiri dan menyaksikan pemandangan yang mengerikan itu. Kemudian timbullah di tepi Sungai Nil tujuh tangkai hijau lalu tenggelam dalam tanah. Selepas itu, muncullah di tanah yang sama tujuh tangkai yang kering.

Tiba-tiba raja bangun dari tidurnya dalam keadaan takut. Raja menceritakan mimpinya kepada para penasihatnya dan meminta kepada mereka untuk mentafsirkan makna mimpinya itu. Para penasihat raja merasakan bahawa itu adalah mimpi yang aneh. Kemudian mereka bersepakat bahawa mimpi si raja tidak memiliki makna khusus dan hanya sekadar mainan tidur.

Berita tentang mimpi raja itu sampai ke pengetahuan pelayan minuman raja. Dia teringat kembali sewaktu di penjara, mimpinya pernah ditafsirkan oleh Yusuf A.S dan tafsirannya menepati kejadian yang berlaku. Dia juga teringat pesanan Yusuf A.S untuk memberitahu raja tentang dirinya di penjara. Dia segera menemui raja dan menceritakan peristiwa yang dialaminya bersama Yusuf A.S.

Firman Allah S.W.T:

Raja berkata (kepada orang-orang terkemuka dari kaumnya): “Sesungguhnya aku bermimpi melihat tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir (gandum) yang hijau dan tujuh butir lainya yang kering. Hai orang-orang yang terkemuka, terangkanlah kepadaku tentang ta ’bir mimpiku itu jika kamu dapat menta ’birkan mimpi.”

Mereka menjawab: “(Itu) adalah mimpi-mimpi yang kosong dan kami sekali-kali tidak tahu menta ’birkan mimpi itu.“Dan berkatalah orang yang selamat di antara mereka berdua dan teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya: “Aku akan memberitakan kepadamu tentang (orang yang pandai) menta ’birkan mimpi itu, maka utuslah aku (kepadanya).

(Setelah pelayan itu berjumpa dengan Yusuf dia berseru): “Yusuf, hai orang yang amat dipercaya, terangkanlah kepada kami tentang tujuh ekor sapi betina yang gemuk-gemuk yang dimakan oleh tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus dan tujuh butir i gandum) yang hijau dan (tujuh) lainnya yang kering agar aku kembali kepada orang-orang itu, agar mereka mengetahuinya.

Yusuf berkata: “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memerah anggur.” (Yusuf: 43-49)

Yusuf A.S menjelaskan kepada utusan raja bahawa negeri Mesir akan mengalami musim subur selama tujuh tahun di mana segala tanaman akan tumbuh segar. Maka dinasihatkan agar seluruh rakyat tidak melampaui batas memanfaatkan musim subur ini, kerana setelah itu akan disusuli pula dengan tujuh tahun kemarau. Pada musim itu, apa saja yang disimpan oleh penduduk akan habis. Oleh kerana itu, cara terbaik untuk menyimpan hasil tanaman mereka adalah dengan membiarkannya di tangkai agar tidak rosak.

Demikian takwil terhadap mimpi raja. Yusuf A.S menambah pembicaraan tentang keadaan setelah musim sulit itu. Ia merupakan tahun-tahun yang penuh rahmat kebahagiaan, di mana manusia mendapat kurniaan rezeki dengan banyaknya. Hujan kembali turun membasahi bumi, tanaman tumbuh subur dan mengeluarkan hasil yang melimpah-ruah. Kesuburan tanaman anggur mereka sehingga mereka memerah khamar darinya. Juga suburnya pohon zaitun dan mereka memerah minyak darinya.

Tahun kebahagiaan tidak terdapat dalam mimpi raja. Ia adalah ilmu khusus yang dimiliki Nabi Yusuf A.S. Dia menyampaikannya kepada utusan raja dan berpesan agar bahagian ini juga dikemukakan kepada raja dan masyarakat. Akhirnya, utusan itu kembali dan menceritakan semua yang didengarnya dari Yusuf A.S.

Raja menjadi hairan dengan cerita yang didengarnya. Dia kemudian berkata: ”Siapa gerangan orang yang dipenjarakan ini. Sungguh luar biasa. Dia menceritakan hal-hal yang akan terjadi serta cara-cara untuk mengatasi masalah tanpa meminta upah atau balasan.”

Kemudian raja mengeluarkan perintah agar Yusuf A.S dibebaskan dari penjara dan dipertemukan dengannya. Lalu seorang pembesar negara pergi ke penjara untuk menemui Yusuf A.S. Dia memerintahkan agar Yusuf A.S dibebaskan dari penjara untuk dibawa keluar dan dipertemukan dengan raja. Nabi Yusuf A.S telah bertahun-tahun berada dalam penjara itu serta hidup dalam seksaan dan penderitaan. Namun tawaran raja untuk membebaskannya tidak dipedulikannya.

Nabi Yusuf A.S menolak untuk bebas dari penjara kecuali semua tuduhan fitnah terhadapnya digugurkan. Apa yang jelas, pihak pemerintah yang berkuasa telah sewenangnya memfitnah Yusuf A.S dan menghukumnya secara zalim.

Sebagaimana kita ketahui, pihak pemerintah, pemimpin negara serta raja yang tidak beriman kepada Allah S.W.T sentiasa bersifat zalim dan bertindak mengikut hawa nafsu sendiri. Memang, segala kemungkaran dan kezaliman raja atau para pembesar akan disokong oleh para pengampu mereka, tanpa memikirkan hukuman Allah S.W.T. Segala tindakan zalim raja atau pemerintah dianggap betul dan tepat oleh manusia yang tidak beriman.

Kemungkaran dan kezaliman dilakukan secara berleluasa oleh raja yang hidup di istana kerana hukum yang dipakai di istana adalah hukum mutlak manusia yang didewakan oleh manusia. Malah biasanya raja akan didaulatkan dan disembah oleh manusia kerana terlalu taksub. Alangkah bodohnya. Lantaran itulah ada para ulama’ yang menganggap bahawa raja yang tidak beriman adalah bayangan iblis di dunia!

Nabi Yusuf A.S tidak mahu keluar dari penjara kecuali jika dibicarakan secara adil. Dia mahu kebenaran dapat ditegakkan agar dirinya yang menjadi mangsa fitnah akan terlepas dari segala tuduhan jahat lagi zalim itu.

Raja berkata: “Bawalah dia kepadaku.“Maka tatkala utusan itu datang kepada Yusuf, berkatalah Yusuf: ”Kembalilah kepada tuanmu dan tanyakanlah kepadanya bagaimana halnya wanita-wanita yang telah melukai tangannya. Sesungguhnya Tuhanku, Maha Mengetahui tipu daya mereka.” (Yusuf: 50)

Utusan itu kembali kepada raja. Dia memaklumkan bahawa Yusuf A.S menolak untuk keluar dari penjara kecuali semua tuduhan terhadapnya dibicarakan. Maka raja memerintahkan agar kes godaan Zulaikha dan wanita-wanita yang terpotong jari (kerana terlalu asyik apabila melihat ketampanan Yusuf A.S) dibicarakan. Lalu berlangsunglah perbicaraan untuk mencari titik kebenaran.

Raja berkata (kepada wanita-wanita itu): “Bagaimana keadaanmu pendapatmu) ketika kamu menggoda Yusuf untuk menundukkan dirinya (kepadamu)?” Mereka berkata: ”Maha sempurna Allah, kami tiada mengetahui sesuatu Keburukan darinya.”

Berkata isteri Al-Aziz: “Sekarang jelaslah kebenaran itu, akulah yang menggodanya untuk menundukkan dirinya (kepadaku) dan sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang benar.” Yusuf berkata: “Yang Jemikian itu agar dia (Al-Aziz) mengetahui bahawa sesungguhnya aku tidak khianat kepadanya di belakangnya, dan bahawasannya Allah tidak meredhai tipu daya orang-orang yang berkhianat.” (Yusuf: 51-52)

Dengan pengakuan wanita-wanita yang telah menggoda Yusuf A.S itu, maka tersingkaplah kebenaran. Nabi Yusuf A.S didapati tidak bersalah lalu dibebaskan dari tuduhan yang mengaibkan itu.

Yusuf A.S akhirnya dapat membersihkan namanya yang dicemari fitnah. Dia bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah membebaskannya dari musibah. Begitu juga para wanita penggoda menginsafi di atas keserakahan nafsu mereka dan dengan berani telah membuat pengakuan terhadap kejahatan yang dilakukan sehingga Nabi Yusuf A.S dipenjarakan sekian lama.

Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf: 53)

Melalui ayat Al-Quran, kita dapat mengetahui bahawa hati raja dan para wanita penggoda mula dijamah sinar hidayah untuk mengikuti agama tauhid yang didakwahkan oleh Nabi Yusuf A.S. Dengan izin dan rahmat Allah S.W.T, raja telah mengurniakan kepada Yusuf A.S kedudukan yang tinggi dalam kerajaan.

Dan raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku.” Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: ”Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami.”

Berkatalah Yusuf: “Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan.” Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; (dia berkuasa penuh) pergi menuju ke mana saja yang dia kehendaki di bumi Mesir itu.

Kami melimpahkan rahmat Kami kepada siapa yang Kami kehendaki dan Kami tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik. Dan sesungguhnya pahala di akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan selalu bertaqwa.” (Yusuf: 54-57)

Sesungguhnya Nabi Yusuf A.S tidak mencari keuntungan peribadi apabila memohon kepada raja agar dia dilantik menguruskan harta kekayaan negara. Dia juga bukan temberang dalam pengakuannya kepada raja bahawa dia mempunyai ilmu yang sangat luas. Sebaliknya, dia memohon untuk memikul amanah besar itu kerana Allah S.W.T semata-mata. Berbakti untuk kesejahteraan hidup manusia. Dia tidak sesekali akan menjadi penguasa yang mempermainkan rakyat.

Demikianlah Allah S.W.T memberi kedudukan kepada Yusuf A.S di Mesir. Raja pun melantiknya sebagai pembesar yang menguruskan hal-ehwal ekonomi serta perbendaharaan negara.

Nabi Yusuf A.S seorang yang bijaksana dan jujur. Oleh kerana itu, selama menduduki pemerintahan, ekonomi Mesir tidak perlu dikhuatirkan. Kemudian roda zaman berputar. Tahun-tahun kejayaan dan kesenangan berlalu dengan cepat, dan datanglah tahun-tahun kesulitan.

Al-Quran membentangkan suatu peristiwa yang dialami saudara-saudara Yusuf A.S, di mana mereka datang dari Palestin untuk membeli makanan di Mesir. Ketika itu makanan terpaksa dicatu. Oleh itu, tiada orang yang berkesempatan membeli makanan untuk disimpannya, sehingga orang lain akan mati kelaparan.

Dari jauh, saudara-saudara Yusuf A.S yang telah membuangnya ke dalam sumur telah datang. Anak-anak Nabi Ya’kub A.S itu berbaris dalam rombongan orang-orang yang memerlukan makanan. Yusuf A.S duduk di atas singgahsana Mesir sebagai seorang penguasa yang memerintah, dikelilingi para menteri, orang-orang penting dan bala tentera. Nabi Yusuf A.S segera mengenali saudara-saudaranya, manakala mereka tidak mengenalinya kerana telah terpisah cukup lama.

Terjadilah pertemuan antara Yusuf A.S dan saudara-saudaranya tanpa mereka mengenali Yusuf A.S. Saudara-saudara Yusuf A.S itu berjumlah sepuluh orang, namun mereka membawa sebelas ekor unta. Yusuf A.S bertanyakan tentang itu. Mereka mengatakan, seorang lagi adik mereka yang paling kecil (Bunyamin) tidak dapat datang. Maka, YusufM menetapkan bahawa bekalan yang diberikan adalah mengikut jumlah orang yang hadir. Lalu bekalan makanan mengikut sukatan yang sempurna dan adil diberikan kepada mereka.

Allah S.W.T berfirman:

Dan saudara-saudara Yusuf datang (ke Mesir) lalu mereka masuk ke (tempat)nya. Maka Yusuf mengenali mereka, sedang mereka tidak kenal (lagi) kepadanya.

Dan tatkala Yusuf menyiapkan untuk mereka bahan makanannya, dia berkata: “Bawalah kepadaku saudaramu yang seayah dengan kamu (Bunyamin), tidakkah kamu melihat bahawa aku menyempurnakan sukatan dan aku adalah sebaik-baikpenerima tamu? Jika kamu tidak membawanya kepadaku, maka kamu tidak akan mendapatkan sukatan lagi daripadaku dan jangan kamu mendekatiku.”

Mereka berkata: Kami akan memujuk ayahnya untuk membawanya (ke mari) dan sesungguhnya kami benar-benar akan melaksanakannya.” Yusuf berkata kepada bujang-bujangnya: “Masukkanlah barang-barang (penukar kepunyaan-kepunyaan mereka) ke dalam karung-karung mereka, supaya mereka mengetahuinya apabila mereka telah kembali kepada keluarganya, mudah-mudahan mereka kembali lagi.” (Yusuf: 58-62)

Saudara-saudara Yusuf A.S pulang dan menemui ayah mereka. Sebelum menurunkan muatan yang dibawa, mereka menemui ayah mereka dan berkata: ”Sungguh kami tidak mendapatkan sukatan makanan (gandum) yang cukup. Ini terjadi kerana ayah melindungi adik kami (Bunyamin). Mereka tidak memberikan sukatan makanan kepada orang yang tidak hadir. Mengapa engkau tidak membenarkan kami membawanya dan sesungguhnya kami akan menjaganya.”

Jelas sekali alasan itu bertujuan untuk menyalahkan si ayah kerana kegagalan mereka memperolehi makanan. Namun, si ayah menjawab dengan menggunakan sopan santun para Nabi. Dia berkata bahawa dia bimbang akan berulang kejadian sebagaimana kehilangan Yusuf A.S dahulu.

Anak-anak itu membuka karung yang mereka bawa untuk mengeluarkan makanan yang ada di dalamnya. Tiba-tiba mereka mendapati barang-barang mereka telah dikembalikan bersama makanan yang dibeli. Pengembalian itu menunjukkan semacam peringatan agar mereka kembali buat kali kedua untuk membayarnya.

Anak-anak itu segera memberitahu ayah mereka:

Wahai ayah, kami tidak berbuat aniaya dan kami tidak berbohong kepadamu. Sungguh harga yang telah kami beli, dikembalikan kepada kami. Ini bererti bahawa mereka tidak menjual kepada kami kecuali jika saudara kami pergi bersama.

Perbincangan dengan ayah mereka terus berlanjutan. Mereka menjelaskan bahawa kekhuatiran si ayah terhadap kehilangan seorang lagi anaknya, mengorbankan kepentingan mereka. Mereka ingin kembali ke Mesir bersama saudara termuda mereka (Bunyamin) untuk menambah bekalan makanan. Mereka berjanji akan menjaga saudara mereka itu. Percakapan tersebut berakhir dengan persetujuan si ayah terhadap keinginan mereka.

Allah S.W.T berfirman:

Maka tatkala mereka telah kembali kepada ayah mereka (Ya’kub), mereka berkata: “Wahai ayah kami, kami tidak akan mendapat sukatan (gandum) lagi, (jika tidak membawa saudara kami), sebab itu biarkanlah saudara kami pergi bersama-sama kami supaya kami mendapat sukatan, dan sesungguhnya kami benar-benar akan menjaganya.”

Berkatalah Ya’kub: “Bagaimana aku akan mempercayakannya (Bunyamin) kepadamu, kecuali seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepada kamu dahulu? Maka Allah adalah sebaik-baik Penjaga dan Dia adalah Maha Penyayang di antara para penyayang.” Tatkala mereka membuka barang-barangnya, mereka menemukan kembali barang-barang (penukaran) mereka, dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata: ”Wahai ayah kami, apa lagi yang kita inginkan. Ini barangbarang kita dikembalikan kepada kita, dan kami akan dapat memberi makan keluarga kami, dan kami akan dapat memelihara saudara kami, dan kami akan mendapat tambahan sukatan (gandum) seberat beban seekor unta. Itu adalah sukatan yang mudah (bagi raja Mesir).

Ya’kub berkata: “Aku sekali-kali tidak akan melepaskannya (pergi) bersama-sama kamu, sebelum kamu memberikan kepadaku janji yang teguh atas nama Allah, bahawa kamu pasti akan akan membawanya kembali kepadaku, kecuali jika kamu dikepung musuh.” Tatkala mereka memberikan janji mereka, maka Ya’kub berkata: “Allah adalah saksi terhadap apa yang kita ucapkan (ini).” Dan Ya’kub berkata: ”Hai anak-anakku, janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikit pun dari (takdir) Allah.

Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakal berserah diri.” Dan tatkala mereka masuk menurut yang diperintahkhan ayah mereka, maka (cara yang mereka lakukan itu) tiadalah melepaskan mereka sedikit pun dari takdir Allah, akan tetapi itu hanya suatu keinginan pada diri Ya’kub yang telah ditetapkannya. Dan sesungguhnya dia mempunyai pengetahuan, kerana Kami telah mengajarkan kepadanya. Akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.” (Yusuf: 63-68)

Dengan restu si ayah, saudara-saudara Yusuf A.S pergi semula ke Mesir. Kali ini mereka datang seramai sebelas orang. Setelah sampai, mereka terus menuju ke tempat Nabi Yusuf A.S.

Firman Allah S.W.T:

Dan tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf, Yusuf membawa saudaranya Bunyamin) ke tempatnya, Yusuf berkata: ”Sesungguhnya aku (ini) adalah saudaramu, maka janganlah kamu berdukacita terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (Yusuf: 69)

Kisah di dalam Al-Quran tidak menyebut bagaimana selanjutnya suasana pertemuan atau percakapan Yusuf A.S dengan semua adik-beradiknya. Namun kita dapat merasai betapa Nabi Yusuf A.S menyayangi dan melindungi saudaranya serta menunjukkan rahsia keakraban keluarga.

Al-Quran selanjutnya mengungkapkan peristiwa tatkala mereka meninggalkan tempat itu. Yusuf A.S merancang sesuatu agar saudaranya yang kecil (Bunyamin) kekal bersamanya. Yusuf A.S sedar bahawa itu akan menimbulkan kesedihan ayahnya. Al-Quran menyentuh rahsia tersebut, iaitu bahawa Yusuf A.S bertindak di bawah bimbingan wahyu Ilahi agar Nabi Ya’kub A.S menerima ujian dan menjalani puncak penderitaan. Sesungguhnya Allah S.W.T menguji Nabi-Nya dengan pelbagai penderitaan dan berkat kesabaran atas ujian-Nya, Allah S.W.T akan mengembalikan kepadanya kedua orang puteranya serta memulihkan penglihatan matanya yang buta.

Yusuf A.S memerintahkan para pengawal meletakkan gelas emas milik raja di tempat simpanan saudaranya. Saudara-saudara Yusuf A.S bersiap-siap untuk pergi bersama saudara mereka yang kecil.

Kemudian pintu kota ditutup dan tiba-tiba seorang pengawal berteriak: ”Hai kafilah, kamu semua adalah pencuri.”

Teriakan itu menghentikan langkah mereka. Kini, mereka semua menjadi tertuduh.

Barang apa yang hilang dari kamu?” tanya saudara-saudara Yusuf.

Kami kehilangan gelas emas milik raja. Barangsiapa menemuinya, maka kami, akan memberikannya makanan,” ujar petugas itu.

Saudara-saudara Yusuf A.S yakin mereka tidak mencuri. Mereka menegaskan bahawa kedatangan mereka bukan untuk berbuat jahat, malah mereka adalah dari keturunan yang mulia.

Pengawal berkata (sebelumnya mereka telah mendapat arahan dari Yusuf): ”Hukuman apa yang kalian inginkan bagi pencuri?”

Saudara-saudara Yusuf A.S berkata:

Dalam peraturan kami, orang yang mencuri akan menjadi budak suruhan bagi orang yang kehilangan barangnya.

Petugas itu berkata:

Kami akan menerapkan peraturan kalian. Kami tidak menggunakan undang-undang Mesir yang memenjarakan pencuri.

Tawaran ini tentu rencana jitu Allah S.W.T di mana Yusuf A.S diberi ilham untuk membicarakan hal itu kepada pengawalnya. Seandainya bukan kerana rencana Ilahi, Yusuf A.S tidak akan dapat mengambil saudaranya.

Maka diarahkan semuanya menjalani pemeriksaan sambil diperhatikan oleh Nabi Yusuf A.S. Dia telah memerintahkan untuk bermula dengan memeriksa saudarasaudaranya dan hendaklah mereka tidak mengeluarkan gelas raja kecuali pada pemeriksaaan terakhir.

Kemudian selesailah pemeriksaan saudara yang pertama, kedua, sampai saudara yang kesepuluh dan tidak ditemui gelas emas itu. Saudara-saudara Yusuf merasa bahawa mereka terlepas dari tuduhan mencuri.

”Kami semua telah diperiksa kecuali saudara kami yang kecil,” ujar mereka.

”Dia tidak perlu diperiksa. Nampaknya dia bukan pencuri,” ujar Yusuf A.S.

Saudara-saudara Yusuf A.S berkata: ”Kami tidak akan meninggalkan tempat ini kecuali setelah dia diperiksa. Ini harus dilakukan agar hati kami menjadi tenang, begitu juga hati kalian. Sungguh, kami adalah anak-anak dari seorang tua yang baik dan kami bukanlah pencuri.”

Pengawal pun memeriksa tempat simpanan barang saudaranya yang ke sebelas dan menemui gelas raja di dalamnya. Saudara-saudara Yusuf A.S mencela saudara mereka itu dengan berkata: ”Jika dia mencuri, maka saudaranya yang dulu pun juga mencuri.”

Yusuf A.S merasa amat sedih mendengar tuduhan mereka namun dia berusaha menyembunyikan perasaannya.

Kemudian mereka mohon pertimbangan Nabi Yusuf A.S agar hukuman dipinda. Mereka berkata: ”Wahai orang mulia, wahai raja, sungguh dia mempunyai ayah yang sudah tua, maka ambilah salah seorang dari kami sebagai gantinya. Sungguh kami melihatmu sebagai seorang yang baik.”

Yusuf A.S berkata dengan penuh ketenangan: ”Bagaimana kami harus melepaskan seseorang yang kami temukan gelas raja di tempatnya, lalu kalian meminta seseorang yang lain sebagai gantinya? Ini adalah tindakan yang zalim dan kami tidak akan berbuat zalim.”

Saudara-saudara Yusuf A.S berusaha untuk merayu tetapi ditolak. Maka mereka mesti pulang dan meninggalkan saudara mereka menjalani hukuman. Mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan serta bagaimana mereka akan menghadapi ayah mereka untuk menceritakan apa yang terjadi.

Salah seorang saudara yang paling tua duduk di atas tanah dan berkata: ”Aku tidak akan bergerak dari tempatku. Kalian telah berbuat aniaya terhadap Yusuf A.S sebelum ini dan sekarang kalian berbuat aniaya terhadap saudaranya. Pulanglah kalian pada ayah tanpa aku dan ceritakan padanya apa yang terjadi.”

Allah S.W.T berfirman:

Maka tatkala telah disiapkan untuk mereka bahan makanan mereka, Yusuf memasukkan piala (tempat minum) ke dalam karung saudaranya. Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan: ”Hai kafilah, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang mencuri.” Mereka menjawab, sambil menghadap kepada penyeru-penyeru itu: ”Barang apakah yang hilang dari kamu?” Penyeru-penyeru itu berkata: ”Kami kehilangan piala raja, dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperoleh bahan makanan (seberat) beban unta, dan aku menjamin terhadapnya.” Saudara-saudara Yusuf menjawab: ”Demi Allah, sesungguhnya kamu mengetahui bahawa kami datang bukan untuk membuat kerosakan di negeri (ini) dan kami bukanlah para pencuri.”

Mereka berkata: ”Tetapi apa balasannya jika kamu betul-betul pendusta?” Mereka menjawab: ”Balasannya, ialah pada siapa diketemukan (barang yang hilang) dalam karungnya, maka dia sendirilah balasannya (tebusannya). Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang zalim.” Maka mulailah Yusuf (memeriksa) karung-karung mereka sebelum (memeriksa) karung saudaranya sendiri, kemudian dia mengeluarkan piala raja itu dari karung saudaranya. Demikianlah Kami atur untuk (mencapai maksud) Yusuf.

Tiadalah patut Yusuf menghukum saudaranya menurut undang-undang raja, kecuali Allah menghendakinya. Kami tinggikan darjat orang yang Kami kehendaki: Dan di atas tiap-tiap orang yang berpengetahuan itu ada lagi Yang Maha Mengetahui. Mereka berkata: “Jika dia mencuri, maka sesungguhnya telah pernah mencuri pula saudaranya sebelum itu.”

Maka Yusuf menyembunyikan kejengkelan itu pada dirinya dan tidak menampakkannya kepada mereka. Dia berkata (dalam hatinya): “Kamu lebih buruk dari kedudukanmu (sifat-sifatmu) dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu terangkan itu. Mereka berkata: “Wahai Al-Aziz, sesungguhnya dia mempunyai ayah yang sudah lanjut usianya, lantaran itu ambillah salah seorang di antara kami sebagai gantinya, sesungguhnya kami melihat kamu termasuk orang-orang yang berbuat baik.” Berkata Yusuf: “Aku mohon perlindungan kepada Allah dari menahan seseorang, kecuali orang yang kami ketemukan harta benda kami padanya, jika kami berbuat demikian, maka benar-benarlah kami orang-orang yang zalim.”

Maka tatkala mereka berputus asa daripada (keputusan) Yusuf mereka menyendiri sambil berunding dengan berbisik-bisik. Berkatalah yang tertua di antara mereka: “Tidakkah kamu ketahui bahawa sesungguhnya ayahmu telah mengambil janji dari kamu dengan nama Allah dan sebelum itu kamu telah mensia-siakan Yusuf. Sebab itu, aku tidak akan meninggalkan negeri Mesir, sampai ayahku mengizinkan kepadaku (untuk kembali) atau Allah memberi keputusan terhadapku. Dan Dia adalah hakim yang sebaik-baiknya.” (Yusuf: 70-80)

Saudara-saudara Yusuf A.S pun berangkat pulang kembali tanpa saudara kandung mereka yang sulung dan yang bongsu. Sebaik sampai, mereka masuk menemui ayah mereka dan berkata: ”Wahai ayah, anakmu benar-benar telah mencuri.”

Nabi Ya’kub A.S amat terkejut dengan berita yang didengarnya: ”Apa yang kalian katakan ini?” soalnya kehairanan.

Mereka menceritakan apa yang telah terjadi. Nabi Ya’kub A.S amat sedih dan berkata: ”Hanya dirimu sendiri yang memandang baik perbuatan yang buruk itu. Maka kesabaran yang baik itulah kesabaranku. Mudah-mudahan Allah S.W.T mendatangkan mereka semuanya kepadaku. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.”

Nabi Ya’kub A.S bersabar dan bertawakal kepada Allah S.W.T. Dia amat menderita dengan kehilangan Yusuf dan kini sekali lagi dia kehilangan anak.

Allah S.W.T berfirman: .

Kembalilah kepada ayahmu dan katakanlah: “Wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu telah mencuri; dan kami hanya menyaksikan apa yang kami ketahui dan sekali-kali kami tidak dapat menjaga (mengetahui) barang yang ghaib. Dan tanyalah (penduduk) negeri yang kami berada di situ, dan kafilah yang kami datang bersamanya, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar. Ya’kub berkata: “Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku).

Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” Dan Ya ’kub berpaling dari mereka (anak-anaknya) seraya berkata: “Aduhai dukacitaku terhadap Yusuf.” Dan kedua matanya menjadi putih kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya (terhadap anak-anaknya).” (Yusuf: 81-84)

Tangisan yang cukup lama (kerana kehilangan Yusuf) menyebabkan beliau kehilangan penglihatan. Para Nabi adalah manusia yang memiliki perasaan paling besar dan sensitif terhadap penderitaan. Tangisan itu merupakan tingkatan dari cinta, juga merupakan bentuk pengaduan kepada Allah S.W.T. Nabi Ya’kub A.S menangis kerana beliau adalah seorang yang berjiwa besar. Beliau tidak menangis di hadapan orang.

Tangisan beliau sekadar pengaduan kepada Allah S.W.T yang tiada seorang pun mengetahuinya kecuali Allah S.W.T. Tangisan tersebut tidak difahami oleh anak-anak, di mana mereka menasihatinya agar berhenti menangis kerana itu akan menghancurkan dirinya sendiri.

Mereka berkata: “Demi Allah, sentiasa kamu mengingati Yusuf, sehingga kamu mengidap penyakit yang berat atau termasuk orang-orang yang binasa.” Ya’kub menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya.” (Yusuf: 85-86)

Nabi Ya’kub A.S menjawab anak-anaknya itu serta berusaha menunjukkan alasan dan hakikat dari tangisannya. Dia mengadukan penderitaannya kepada Allah S.W.T kerana Allah S.W.T Maha Mengetahui terhadap banyak hal yang tidak mereka ketahui. Dia meminta mereka agar melakukan perkara yang lebih bermanfaat.

Hai anak-anakku, pergilah kamu, maka carilah berita tentang Yusuf dan saudaranya dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.” (Yusuf: 87)

Di tengah kesedihan, Nabi Ya’kub A.S mengharapkan rahmat Allah S.W.T. Beliau mengetahui melalui ilham bahawa Yusuf A.S tidak mati. Oleh itu, dia menyuruh anak-anaknya pergi mencari Yusuf A.S.

Kafilah bergerak menuju ke Mesir. Saudara-saudara Yusuf A.S pergi menemui Al-Aziz. Kefakiran mereka, kesedihan ayah mereka dan penderitaan yang mengiringi mereka telah meruntuhkan kekuatan mereka. Kini mereka menemui Yusuf A.S dan membawa harta benda yang sangat sederhana.

Allah S.W.T berfirman:

Maka ketika mereka masuk (ke tempat) Yusuf, mereka berkata: “Hai Al-Aziz, kami dan keluarga kami telah ditimpa kesengsaraan dan kami datang membawa barang-barang yang tidak berharga, maka sempurnakanlah sukatan untuk kami, dan bersedekahlah kepada kami, sesungguhnya Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bersedekah.” (Yusuf: 88)

Mereka terpaksa meminta sedekah daripada Yusuf A.S dan mengingatkan bahawa Allah S.W.T akan membalas orang-orang yang bersedekah.

Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?” Mereka berkata: ”Apakah kamu ini benar-benar Yusuf?” Yusuf menjawab: “Akulah Yusuf dan ini saudaraku, sesungguhnya, Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami.” Sesungguhnya barangsiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” Mereka berkata: “Demi Allah, sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami, dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa).” (Yusuf: 89-91)

Mereka telah membuat pengakuan atas pengkhianatan terhadap Yusuf A.S. Setelah tahun demi tahun berlalu, maka tersingkaplah tipu daya mereka. Allah S.W.T Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. Masuknya Yusuf A.S ke dalam sumur merupakan awal dari kebangkitan untuk menduduki istana dan kekuasaan. Perpisahan beliau dengan ayahnya menjadi sebab bertambahnya cinta Nabi Ya’kub A.S kepadanya. Ini adalah tabir yang tersingkap di depan mereka.


Pengakuan mereka terhadap kesalahan yang dilakukan turut menyembunyikan kekhuatiran pada diri mereka. Mereka takut Yusuf A.S akan membalas dendam kepada mereka. Tubuh mereka mula gementar ketakutan. Melihat hal yang demikian itu, Yusuf menenangkan perasaan mereka.

Dia (Yusuf) berkata: “Pada hari ini tak ada cercaan terhadap kamu, mudahmudahan Allah mengampuni (kamu), dan Dia Maha Penyayang di antara para penyayang. Pergilah kamu dengan membawa bajuku ini, lalu letakkanlah ke wajah ayahku, nanti dia akan melihat kembali; dan bawalah keluargamu semuanya kepadaku.” (Yusuf: 92-93)

Tiada balas dendam, celaan dan tiada kebencian. Ini mengisyaratkan bahawa beliau mengampuni saudara-saudaranya itu. Nabi Yusuf A.S berdoa kepada Allah S.W.T agar Dia mengampuni mereka dan tentunya doa seorang Nabi akan dikabulkan. Ini adalah sikap beliau yang sangat terpuji. Setelah itu, Nabi Yusuf A.S mengalihkan pembicaraan kepada ayahnya. Beliau mengetahui bahawa mata ayahnya sudah buta dan dapat merasakan penderitaan ayahnya.

Kafilah pun kembali ke Palestin. Sementara itu, Nabi Ya’kub A.S duduk di dalam biliknya dalam keadaan kedua matanya memutih (buta). Tiba-tiba dia bangkit dan nampak perubahan di wajahnya. Dia menyalin pakaian lalu keluar ke halaman rumah. Dia menghirap nafas dalam-dalam bagaikan sedang mencium sesuatu yang sangat harum. Dia juga mengangkat kepalanya memandang ke langit. Kemudian dia kembali ke dalam biliknya.

Salah seorang isterinya berkata: ”Hari ini Ya’kub keluar dari biliknya dan dia tidak seperti biasa. Dia tinggalkan persembunyiannya dan berdiri di halaman rumah. Dia melihat ke langit padahal dia buta. Tetapi aku telah melihat senyuman yang menghiasi wajahnya.”

Isteri-isteri lain bertanya: ”Kamu mengatakan bahawa dia memakai baju baru dan kamu mengatakan bahawa dia tersenyum?”

Keadaan itu menghairankan mereka. Isteri-isteri Nabi Ya’kub A.S menemuinya dan mereka nampak senyuman menghiasi wajahnya. Mereka bertanya: ”Apakah yang kamu rasakan, wahai orang yang mulia?”

”Aku mencium bau Yusuf,” jawab Nabi Ya’kub A.S.

Mendengar jawapan itu, mereka semua merasa jengkel. Lalu Nabi Ya’kub A.S menambah: ”Sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal, tentu kamu membenarkan aku.”

Mereka berlalu meninggalkan Nabi Ya’kub A.S sendirian. Mereka terus berbicara sesama sendiri tentang perubahan sikap Nabi Ya’kub A.S yang sangat ganjil itu.

Sementara itu, kafilah dari Mesir berjalan dengan membawa pakaian Yusuf A.S yang disembunyikan di bawah gandum. Dalam waktu yang sama, Nabi Ya’kub A.S solat dan mengangkat kedua tangannya ke langit dan menangis.

Sebaik kafilah dari Mesir tiba, mereka memberikan baju Yusuf A.S kepada ayah mereka. Dengan izin Allah A.S, Nabi Ya’kub A.S dapat melihat semula. Anak-anaknya memohon ampun di atas kesalahan mereka.

Firman Allah S.W.T:

Tatkala kafilah itu telah keluar (dari negeri Mesir) berkata ayah mereka: ”Sesungguhnya aku mencium bau Yusuf, sekiranya kamu tidak menuduhku lemah akal (tentu kamu membenarkan aku). Keluarganya berkata: ”Demi Allah, sesungguhnya kamu masih dalam kekeliruanmu yang dahulu.” Tatkala telah tiba pembawa khabar gembira itu, maka diletakkannya baju itu ke wajah Ya ’kub, lalu kembalilah dia dapat melihat. Berkata Ya’kub: “Tidakkah aku katakan kepadamu, bahawa aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya.” Mereka berkata: ”Wahai ayah kami, mohonkanlah ampun bagi kami terhadap dosa-dosa kami, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah (berdosa). Ya’kub berkata: ”Aku akan memohon ampun bagimu kepada Tuhanku, sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf: 94-98)

Selanjutnya Nabi Yusuf A.S dapat menemui ibu dan ayahnya semula. Mereka telah dibawa ke Mesir untuk menemui anak yang telah sekian lama hilang. Inilah fasa terakhir dari kisah Nabi Yusuf A.S di mana kisahnya dimulai dengan mimpi dan terakhirnya menyebutkan takwil mimpi.

Al-Quran menyatakan kisah pertemuan mereka itu. Firman Allah:

Maka tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf, Yusuf merangkul ibu bapanya dan dia berkata: ”Masuklah kamu ke negeri Mesir, Insya-Allah dalam keadaan aman.” Dan dia menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya bersujud kepada Yusuf. Dan berkata Yusuf: ”Wahai ayahku, inilah ta’bir mimpiku yang dahulu itu; sesungguhnya Tuhanku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Tuhanku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari rumah penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antaraku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (Yusuf: 99-100)

Dengan wujudnya kebenaran mimpi yang dialami, Nabi Yusuf A.S merasa amat bersyukur dengan kurniaan Allah S.W.T. Beliau berdoa:

Ya Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah menganugerahkan kepadaku sebahagian kerajaan dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian ta’bir mimpi. (Ya Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkaulah Pelindungku di dunia dan di akhirat, wafatkanlah aku dalam keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.” (Yusuf: 101)

Demikianlah kisah Nabi Yusuf A.S putera Nabi Ya’kub A.S yang mulia. Sesungguhnya menerusi kisah ini terdapat pengajaran bagi orang yang berakal demi menambahkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T. - Wa Allahu'alam..
sumber: anakkampungdelek.blogspot

Tiada ulasan:

Catat Ulasan