Home Klik Di Bawah

Ahad, 14 Disember 2014

Luahan Ibu - Maut Dilanggar Lori Kelapa Sawit

Maut dilanggar lori

Setiap kali dia merenung sepasang batu nisan kaku di pusara itu, hatinya berombak rindu. Air mata bergenang menahan sebak. Naluri keibuannya berkocak.
“Kakak...” tuturnya mendayu. “Ibu datang kak... kakak baik-baik di sana. Ibu sayang kakak. Adik-adik pun sayang kakak. Ibu rindu kakak sangat-sangat...”
Aduhai, hati siapalah yang tidak rawan mendengar tangis rintih si ibu yang kerinduan. Setiap hari selepas kejadian, di tanah perkuburan Bukit Badong, Batang Berjuntai, Kuala Selangor, tempat dia meluahkan kerinduan pada anak sulung yang maut dilanggar lori kelapa sawit.



Penulis berkesempatan menemui Rohani Md Noor, 36 tahun, di kediamannya di Kampung Bukit Badong, untuk menyelami perasaannya dan mengetahui perkembangan lanjut mengenai kemalangan yang merentap kegembiraan dia sekeluarga.
Rohani langsung tidak menyangka niat murni anak sulungnya, Intan Dayana Sharulnizam, 16 tahun, mengambil dua orang adiknya dari Sekolah Agama Bukti Badong, berakhir dengan tragedi. Anaknya dilanggar lori kelapa sawit yang memasuki laluan bertentangan.
Tragedi yang berlaku di jalan kampung Bukit Badong itu mengakibatkan Intan Dayana cedera parah dan menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sungai Buloh. Sementara dua orang adiknya, Muhammad Aiman, 10, hanya mengalami luka-luka kecil apabila kaca tertusuk kaki dan hidung, dan Nurul Adila, 8 tahun pula, menerima jahitan luka di mulut serta dirawat sebagai pesakit luar.
Sekali pun tragedi pada 24 Mei itu sudah tiga bulan berlalu, arwah Intan sudah  disemadikan dalam suasana aman, masih ada yang terbuku di hati Rohani. Kes langgar maut anaknya menimbulkan pelbagai persoalan yang belum ditemui jawapan hingga menyebabkan Rohani tidak berpuas hati.
“Sekali pun saya menerima takdir ini dengan redha tetapi sebagai ibu saya sedikit pun tidak redha dengan perbuatan pemandu lori tersebut sehingga menyebabkan kematian anak perempuan saya.”
“Cara dan perbuatan pemandu lori itu membuatkan saya terpaksa turun naik balai polis berdekatan demi sebuah perjuangan menuntut keadilan dan pembelaan,” ujar Rohani lagi.
Berkongsi kisah yang merobek hatinya, ibu kepada enam orang anak ini berkata, pada pagi kejadian, anak sulungnya masih sempat berbaring di sebelahnya dan keduanya sempat berbual kosong.
“Lebih kurang jam 11 pagi, arwah kata mahu pergi mengambil dua orang adiknya, Aiman dan Adila yang bersekolah ganti. Saya biarkan saja kerana selama ini arwah yang banyak membantu menguruskan adik-adik ketika saya keluar bekerja. Tak saya duga, niatnya itu bertukar menjadi tragedi.
“Kurang setengah jam arwah tinggalkan rumah, saya dapat panggilan telefon daripada kenalan memaklumkan yang anak saya kemalangan di jalan kampung Bukit Badong. Tanpa sempat mandi, saya capai telefon berserta duit RM100 dan bergegas ke situ. Saya nampak arwah sudah dimasukkan ke dalam ambulan. Ada dua buah ambulan datang, satu dari Batang Berjuntai dan satu lagi dari Ijok. Saya terus berkejar ke arah ambulannya dan memanggil-manggil namanya.
“Kakak... kakak, bangun kak. Ibu datang. Bangun kak... Tapi anak saya senyap membisu sehinggalah pembantu paramedik meminta saya menaiki sebuah lagi ambulan kerana mereka mahu segera memecut membawa arwah ke Hospital Sungai Buloh. Keadaannya agak kritikal ketika itu. Dahinya dibasahi darah. Begitu juga belakang kepalanya juga berlumuran darah,” kongsi Rohani yang sudah mulai sebak setiap kali nama anaknya disebut.
Akur dengan arahan pembantu perubatan, Rohani bergegas menaiki sebuah lagi ambulan bersama Aiman dan Adila. Anak-anak berdua itu sudah dipasangkan alat penyokong leher dan keadaan mereka kelihatan kurang stabil.
Jika tahu anaknya akan pergi menghadap Ilahi, Rohani tidak mahu menaiki ambulan kedua. Dia terkilan tidak dapat mengajar anaknya mengucap. Dia kesal tidak sempat memeluk dan mengucapkan kata sayang terakhir buat anaknya.
“Saya benar-benar tidak menyangka. Kurang lima minit dari ambulan pertama sampai, saya dimaklumkan agar segera bertemu doktor di bilik kecemasan.
Anak saya disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat kemudian mendapati dia mengalami kecederaan dalaman. Berlaku hentakan di dada menyebabkan dia menemui ajalnya.
“Saya pengsan mendengar berita ini. Sungguh saya tak sangka, niat baiknya mahu menjemput adik-adiknya balik dari sekolah berakhir dengan berita duka. Berita yang sangat sukar saya menerimanya sebagai ibu. Arwah pergi meninggalkan kami tanpa sebarang kata-kata,” katanya sambil air mata tidak henti-henti mengalir.
Kes dalam siasatan
Rohani mengakui tidak puas hati mengenai laporan kes kemalangan yang melibatkan Intan Dayana. Ini disebabkan laporan polis mengenai kejadian dikemukakan oleh bekas suaminya.
Dalam laporan itu, suaminya sekadar memaklumkan tentang kematian anak setelah membuat pengecaman jenazah tanpa menjelaskan bagaimana punca kemalangan dan siapa yang bersalah dalam kemalangan tersebut.
“Inilah yang saya rasa sangat kesal. Saya yang menjaga anak-anak siang dan malam. Saya yang tahu apa terjadi. Tindakan bekas suami mendahului saya membuat laporan polis telah mengusutkan keadaan. Saya tidak boleh menerima kerana ada beberapa perkara berlaku termasuk, keluarga saya diberi RM500 untuk menutup kes,” dakwanya.
“Saya tahu anak tiada lesen. Tetapi berdasarkan gambar lokasi kejadian, jelas lori berkenaan memasuki lorong bertentangan yang menjadi laluan anak saya. Selepas pengebumian, saya ada membuat laporan malangnya tidak diterima kerana laporan pertama dibuat bekas suami itu masih dalam siasatan. Saya hanya dapat membuat laporan kedua pada Ogos lalu,” kata Rohani yang selalu turun naik balai polis berdekatan termasuk ke Bukit Aman untuk mengetahui perkembangan kes kemalangan anaknya itu.
Rohani menegaskan, apa yang dia perjuangkan adalah demi keadilan anaknya. Dia tidak memandang pada wang ringgit kerana semua itu tidak dapat mengembalikan nyawa anaknya.
“Duit tidak bererti buat saya kerana saya masih mampu bekerja. Saya Cuma menuntut keadilan buat anak,” katanya bersemangat.
mingguan wanita

Tiada ulasan:

Catat Ulasan