PANDANGAN konvensional terhadap punca utama penyakit jantung tertumpu kepada empat arterikoronari yang mengalami penyempitan berterusan.
Timbunan plak yang dikaitkan dengan pengambilan makanan berlemak
secara berlebihan, berlemak tepu atau berkolesterol pula dikatakan
sebagai punca arteri menjadi sempit.
Teori tersebut merupakan teori asal pembentukan plak atherosclerosis dan masih digunakan ramai doktor hingga sekarang.
Beberapa dekad kemudian timbul pula teori yang menyatakan lemak atau
kolesterol hanya akan berkumpul dalam lumen arteri jantung jika berlaku
inflamasi atau keradangan.
Di sini penulis bawakan contoh yang ditulis pakar bedah jantung, Dr
Dwight Lundell dengan artikel di internet berjudul ‘Heart Surgeon speaks
out on what really causes heart disease.’
Penulis bersetuju dengan Dr Lindell terutama berkaitan punca
pembentukan plak athereskelrosis hari ini berpunca daripada makanan
rendah lemak dan tinggi karbohidrat.
Namun daripada segi mekanisme pembentukan dan komponen plak pula, penulis mempunyai pandangan berbeza.
Dr Lundell yang berpengalaman sebagai pakar bedah jantung selama 25
tahun dan telah menjalankan 5,000 pembedahan jantung (open heart
surgery) mengaku, teori makanan berkolesterol sebagai punca timbunan
plak berlaku pada lumen arteri jantung tidak boleh diterima secara
bulat-bulat.
Ubah pandangan
Dr Lindell mengaku cuba untuk membaiki fakta perubatan dan sains yang
selama ini diterima dan dianutinya sebagai benar. Sebagai penggubal
pendapat (opinion maker) yang sering disogok dengan pelbagai kajian
sains dan seminar, beliau percaya paras kolesterol tinggi adalah punca
kepada penyakit jantung.
Jadi, rawatan sejagat yang paling mujarab bagi mengawal paras
kolesterol ialah mempreskripsikan ubat-ubatan yang berfungsi menurunkan
paras kolesterol.
Ia disertai dengan cadangan pengamalan diet yang mengandungi paras
lemak yang amat rendah. Beliau percaya mengehadkan diet berlemak dapat
menurunkan paras kolesterol dan seterusnya kadar penyakit jantung.
Menurutnya lagi, sesiapa yang mencadangkan sesuatu selain daripada
cadangan sejagat ini biasanya akan dicap sebagai tidak menjalankan tugas
dengan sempurna!
Beliau percaya keradangan dan kecederaan yang berlaku kepada saluran
darah adalah berpunca daripada makanan rendah lemak yang dicadangkan
oleh golongan perubatan moden.
Beliau menerangkan keradangan kronik berlaku kepada tubuh apabila
tubuh tercedera akibat pendedahan kepada makanan (tambahan penulis:
makanan terproses) dan bahan bertoksik yang tidak boleh diproses oleh
tubuh.
Merokok adalah antara punca bahan yang menyebabkan keradangan kronik.
Apakah punca bahan-bahan bersifat keradangan yang terdapat dalam
makanan rendah lemak yang dimaksudkan oleh Dr Lundell? Beliau percaya
ramai orang terdedah kepada makanan yang tinggi dengan karbohidrat
terproses dan pengambilan minyak sayuran omega-6 secara berlebihan.
Karbohidrat terproses secara keterlaluan yang dimaksudkan beliau
ialah gula, tepung ceruh dan semua produk terhasil daripada
kedua-duanya. Minyak sayuran seperti jagung, bunga matahari dan kacang
soya pula ialah lemak kategori omega-6 yang biasa digunakan dalam
masakan dan terdapat dalam pelbagai makanan terproses.
mummynemo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan