Home Klik Di Bawah

Isnin, 26 Januari 2015

Info - Bahaya Air Kosong kepada Bayi Anda


Air merupakan elemen terpenting untuk setiap hidupan di muka bumi. Tubuh manusia sahaja mempunyai 70% air. Dewasa perlu meminum 1 liter air untuk kesihatan yang optimum. Namun ia berbeza kepada bayi yang berumur 6 bulan ke bawah.

Air kosong tidak sepatutnya diberikan kepada mereka walaupun pada ketika cuaca sangat panas. 

Sebaliknya, susu ibu atau susu formula sudah mencukupi untuk mengawal keseimbangan bendalir di dalam badan bayi.

Berikut adalah sebab mengapa anda tidak sepatutnya memberikan air kosong sebagai minuman kepada bayi


  1. Berat Badan akan Susut (Terutamanya Bayi di bawah 5 Minggu)

Apabila air diberikan kepada bayi kecil, mereka mudah kenyang, hilang selera dan kemungkinan tidak mahu menyusu badan yang kaya dengan khasiat. Air juga boleh mengganggu penyerapan nutrien susu di dalam usus. Ini akan menyebabkan bayi kekurangan zat makanan dan boleh menyebabkan berat badan susut serta mengganggu proses tumbesaran.
  1. Demam Kuning (Jaundice) menjadi Berpanjangan

Demam kuning merupakan penyakit biasa kepada bayi yang baru lahir. Hati yang belum cukup matang tidak dapat membuang bilirubin (sejenis bahan kimia yang terhasil apabila sel darah merah mati diproses) daripada badan dengan cepat. Bilirubin yang berwarna kuning berkumpul di dalam badan dan menyebabkan kulit dan bebola mata bayi menjadi kekuningan.

Cara yang terbaik untuk membuang bilirubin daripada badan dengan efektif ialah dengan mengaktifkan sistem penghadaman bayi. Apabila najis dibuang, bilirubin juga akan dibuang bersama. Sistem penghadaman menjadi lebih aktif melalui peyusuan badan yang berterusan.

Masalah berlaku sekiranya bayi diberikan air kosong. Bayi akan cepat kenyang dan tidak ingin menyusu badan. Ini akan menyebabkan bilirubin tidak banyak dapat dibuang melalui najis dan seterusnya akan memanjangkan tempoh demam kuning si bayi.

jaundice

  1. Menyebabkan Mabuk air pada Bayi (Water Intoxication in Infants)

Sekiranya air yang diberikan kepada bayi terlalu banyak, ia akan menyebabkan kesan yang lebih membahayakan nyawa. Menurut Dr. James P. Keating daripada St. Louis Children’s Hospital Diagnostic Center, air yang terlalu banyak diminum oleh bayi akan menyebabkan bendalir di dalam badan terlalu cair dan akan menganggu peredaran elektrolit. Ketidakseimbangan ini boleh menyebabkan sawan, koma, kerosakan otak dan kematian.

Antara tanda-tanda mabuk air ialah perubahan sikap. Mereka kelihatan mabuk, tidak memberi perhatian dan seperti keliru. Mereka juga mungkin akan mengalami kekejangan otot, mual dan muntah, kesukaran bernafas dan lemah. Bawalah anak anda berjumpa dengan doktor sekiranya simptom-simptom di atas berlaku.

Bilakah waktu yang Sesuai untuk memberikan Air kepada Anak Kecil?

Sekiranya bayi anda mengalami masalah sembelit, kemungkinan doktor akan menasihati anda untuk memberi air kosong dengan kadar yang sesuai dan selamat. Risiko bayi untuk mendapat kesan negatif meminum air kosong juga akan berkurangan apabila mereka sudah mula menerima makanan selain daripada susu bayi seperti makanan pepejal pada umur 6 bulan ke atas.

Anda boleh memberikan air kosong kepada anak kecil anda secara berperingkat selepas makanan pepejal diperkenalkan kepada mereka. Berikan dalam amaun yang sederhana sahaja.

Jangan berikan air kosong menggunakan botol susu. Minum menggunakan cawan kecil atau sekadar sesisip dua sisip sudah mencukupi. Teruskan memberi susu badan sebagai sumber air yang terbaik untuk anak anda. Susu formula juga antara alternatif baik selepas susu badan.
http://www.keluargabaru.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan