Ramai wanita di Malaysia mengidamkan kulit cerah. Tidak hairan produk
kosmetik untuk tujuan itu semakin meningkat permintaannya. Fenomena ini
semakin berleluasa apabila ramai pengguna, terutama wanita, berani
mengambil ubat secara oral atau suntikan untuk mencerahkan kulit selain
produk kosmetik.
Antara ubat yang semakin berleluasa dijual secara tidak sah di media
sosial dan blog adalah asid Tranexamic. Penjualan ubat ini bertujuan
mencerahkan kulit dengan mengambilnya secara oral atau suntikan.
Ubat ini juga dijual secara kombinasi dengan suntikan vitamin C bagi
memberi kesan lebih ketara kepada penggunanya. Namun, adakah indikasi
sebenar ubat asid Tranexamic untuk memutihkan kulit? Setiap ubat yang
didaftar dengan Kementerian Kesihatan adalah dengan indikasi tertentu
bersama bukti kajian klinikal. Ubat asid Tranexamic didaftarkan untuk
mengawal pendarahan daripada terus berlaku. Ubat ini akan memastikan
proses pembekuan darah terus utuh dan pendarahan dapat dielak atau
dihentikan.
Oleh itu, ubat ini kerap digunakan doktor dalam situasi pesakit
wanita mengalami pendarahan haid tidak berhenti atau pesakit mengalami
pendarahan hidung yang berterusan.
Ubat ini juga digunakan untuk mengawal pendarahan ketika dan selepas
pembedahan prostat, pendarahan organ yang abnormal seperti di paru-paru
dan buah pinggang serta rawatan mengubati gejala seperti eritema,
bengkak dan gatal kulit teruk.
Semua ubat mempunyai kesan sampingan, begitu juga ubat asid
Tranexamic. Doktor perlu menimbangkan manfaat dan risiko ubat ini
sebelum diberi kepada pesakit.
Antara kesan sampingan umum ubat asid Tranexamic adalah pening
kepala, sakit sendi, sakit dan kekejangan otot, saluran hidung
tersumbat, sakit perut dan badan lesu.
Kesan sampingan serius dan memerlukan rawatan segera pula adalah
kesan alergi (ruam, gatal kulit, sukar bernafas, bengkak pada muka,
bibir atau lidah), sakit kaki, bengkak dan sakit seluruh badan, sakit
dada, dada berasa ketat dan sukar bernafas, keliru, batuk berdarah,
kurang atau susah membuang air kecil, gangguan penglihatan warna dan
kabur, rasa kebas pada lengan atau kaki, sawan, pening teruk, pendek
pernafasan, muntah dan kelesuan luar biasa.
Ubat asid Tranexamic tidak boleh digunakan jika pesakit mempunyai
sejarah alergi terhadap ubat ini, mengalami penyakit tromboembolik,
gangguan penglihatan warna, wanita mengalami masalah pendarahan haid
tidak teratur, individu mengalami pendarahan otak, darah dalam air
kencing atau pendarahan akibat masalah buah pinggang, ibu mengandung dan
menyusukan anak serta individu menggunakan ubat kontraseptif estorgen
dan progesterone.
Individu mempunyai masalah pembekuan darah atau situasi yang
meningkatkan risiko pembekuan darah juga tidak boleh menggunakan ubat
ini. Sebagai contoh, pesakit yang ada masalah injap jantung atau degupan
jantung.
Ubat asid Tranexamic membantu memberhentikan pendarahan, justeru
penggunaannya tanpa pemantauan doktor sangat berbahaya kerana dikhuatiri
berlaku tromboembolisme, yang mana gumpalan darah berlaku dalam salur
darah dan hanyut bersama aliran darah.
Seterusnya gumpalan darah ini boleh tersumbat pada salur darah
penting di otak dan jantung yang menyebabkan berlaku strok dan serangan
jantung.
Ubat asid Tranexamic juga menyebabkan pening kepala dan akan
bertambah teruk jika diambil bersama alkohol atau ubat lain. Ubat ini
juga tidak disyorkan bagi remaja berumur bawah 18 tahun kerana status
keselamatan dan keberkesanan ubat ini tidak dapat ditentukan.
Penyalahgunaan ubat ini dilakukan oleh individu tidak bertauliah atau
ada ilmu dalam bidang perubatan dan kesihatan. Mereka yang menjual ubat
asid Tranexamic biasanya mencadangkan dos penggunaan harian yang tidak
betul, malah ada yang mencadangkan ubat ini dibuka daripada kapsulnya
dan dicampurkan dalam minuman jus buah atau air untuk disapukan pada
muka.
Tindakan seperti ini tidak disyorkan oleh pengilang, malah tiada
bukti klinikal menunjukkan tindakan seperti itu lebih berkesan dan boleh
mencerahkan kulit.
Rakyat Malaysia harus menjadi pengguna lebih bijak. Jangan mudah
percaya dan terpedaya dengan promosi jualan di Internet berkaitan ubat
asid Tranexamic untuk mencerahkan kulit.
Sehingga kini tiada data saintifik bahawa ubat ini berkesan untuk
mencerahkan kulit. Malah, tidak berbaloi jika dilihat harga jualan ubat
ini yang mencecah enam kali ganda harga cadangan jualan runcit oleh
pengeluar.
Pengguna dinasihat mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi
terlebih dulu sebelum menggunakan produk asid Tranexamic. Jangan terlalu
ghairah ingin memiliki kulit lebih cerah sehingga memperjudikan nyawa
akibat serangan jantung atau strok kesan penggunaan ubat ini.
Ubat ini hanya sesuai digunakan oleh pesakit yang mendapat rawatan doktor untuk masalah pendarahan, bukan pecerahan kulit.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang
awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National
Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1 800-88-6722.
http://www.mummynemo.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan