Home Klik Di Bawah

Ahad, 22 Februari 2015

Tips -Tanda Anak Ketagih Main Game Yang Ibu Bapa Perlu Tahu!

 Ketagih main game 
Sebut sahaja game seperti ini: Angry Birds, Clash of Clans, Candy Crush Saga, Doraemon Gadjet Rush, Pirate Kings, Plant vs Zombies, Hay Day, Subway Surfers, Sonic Dash, Temple Run, Dumb Ways to Die dan Talking Tom. Anak zaman sekarang memang kenal. Malah bukan setakat kenal sahaja, lebih handal bermain dari orang dewasa!.

Jika ikut sejarah, permainan video mula diperkenalkan pada tahun 1947 oleh Thomas T. Goldsmith Jr dan Eastle Ray Mann. Permainan interaktif pertama ini menggunakan beberapa peralatan elektronik dan memaparkan format tertentu.

Walaupun permainan video ini sudah agak lama, kini sindrom main game kini bertukar ke arah menggunakan gajet seperti iPhone, iPad dan tablet. Kesannya lebih kurang sama seperti permainan video seperti Sony Playstation, Microsoft XboX dan Nintendo Wii. Sehinggakan, anak kecil berumur 2 tahun juga sudah pandai mengamuk mahu main iPad.



Apakah kesan jika selalu ketagih main game?

Sebenarnya permainan video pada mulanya mungkin dicipta untuk memberikan hiburan alternatif kepada manusia tetapi lama kelamaan ianya telah meracuni dan menjadikan permainan video ini satu aktiviti yang meninggalkan banyak kesan yang negatif.

Permainan video akan memberikan kesan yang buruk seperti ketagihan apabila ianya telah digunakan secara berlebihan dan melampau.

Jika suami pun boleh ketagih game Clash of Clans (COC), anak juga boleh ketagih game yang sama. Bukan setakat itu, mungkin game-game yang lain yang kita tidak sedari.

Apatah lagi jika permainan sebegini sudah diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal 2 tahun, maka kesannya dikhuatiri akan lebih parah. Banyak keburukan iPad dan gajet lain yang ibu-bapa perlu tahu.

Apakah tanda-tanda anak ketagih main game?

1. Semakin kurang berkomunikasi

Anak asyik diam sahaja?. Cuba lihat perkembangan anak. Jika gajet menjadi pengganti ibu bapa, maka bilakah masanya kita berkomunikasi dengan anak? Jika tidak dibendung, anak akan bermain permainan yang bukan-bukan tanpa had dan kawalan.
Ibu bapa pula sibuk dengan tugasan, tidak sempat melarang mahu pun mengawal anak-anak. Maka komunikasi semakin kurang dan hubungan sudah semakin tidak rapat.

2. Tidak fokus

Anak yang terlalu terdedah kepada permainan video, akan mula hilang fokus kepada pembelajarannya. Ini adalah kerana permainan video telah memberi kesan negatif terhadap penglihatannya. Dia hanya berminat terhadap imej-imej yang terang, laju bergerak dan bertukar-tukar.
Buku-buku sudah tidak menjadi bahan yang disukai lagi. Anak akan cepat bosan jika hanya mengadap buku dan duduk mendengar celoteh guru di dalam kelas.

3. Suka mengasingkan diri

Anak yang ketagih permainan video akan suka mengasingkan dirinya kerana dia tidak mahu diganggu kerana terlalu fokus terhadap permainannya.
Dia begitu teruja untuk mengumpul markah dan sentiasa meletakkan target untuk memenangi satu-satu permainan video terbabit. Bilik akan menjadi ‘markaznya’ untuk bermain tanpa sebarang gangguan.

4. Hilang minat terhadap hobi sebelum ini

Anak kita sebelum ini mungkin sangat berminat bermain bola di padang atau bermain basikal bersama kawan-kawannya. Namun sejak ketagihan permainan video, dia mungkin sudah tidak berminat lagi. Dia sudah punya hobi baru iaitu berkubang dengan gajetnya.

5. Emosi terganggu

Anak yang disyaki ketagih permainan video sering kali dilihat terganggu emosinya. Dia mudah marah apabila diganggu atau kalah. Kadang kala dilihat terlalu teruja apabila menang. Jika gajetnya disimpan, dia mula sedih dan ‘mati kutu’ kerana tidak tahu apa yang dia mahu buat pada ketika itu.

6. Mula menipu

Anak yang dikhuatiri ketagihan permainan video, sudah mula untuk menipu untuk mendapat lebih masa bersama gajetnya. Jika tidak dikawal, dia mungkin akan langkau waktu solatnya atau mengatakan kepada ibu dan bapanya bahawa kerja rumahnya yang masih rapi tersimpan di beg sudah pun disiapkan. Inilah bahayanya jika tidak dikawal!

7. Berat badan bertambah

Anak akan kurang bergerak. Peluh tidak ligat dikeluarkan seperti sebelum ini ketika dia bermain bola mahu pun mengayuh basikal. Dia hanya duduk mengadap gajet dan menggerakkan beberapa batang jari. Makanan serta minuman ringan menggelilinginya. Beratnya semakin naik!

Tidak salah untuk memberikan anak gajet. Sekali-sekali mereka perlu juga kepada hiburan, namun biarlah berpada. Janganlah sehingga gajet menjadi pengganti kepada ibu bapa dan anak terus hanyut tanpa pengawalan. Seperti gula yang manis dan sedap, jika ianya berlebihan, tentunya ia akan memberi kemudaratan.
siraplimau

Tiada ulasan:

Catat Ulasan