Home Klik Di Bawah

Rabu, 18 Mac 2015

Biarlah Aku Menerima Hukuman Di Dunia


Semasa pemerintahan Sayidina Umar Al Khattab r.a., ada seorang lelaki bernama Hassan. Suatu hari dia keluar dari kampungnya dengan menunggang seekor unta untuk membuat satu perjalanan yang jauh. Setelah lama menunggang, dia keletihan lalu turun dari untanya dan bersandar di sebatang pokok lalu tertidur.

Setelah sedar dari tidurnya didapatinya untanya tidak ada. Dia terburu-buru mencari untanya itu. Dalam keadaan cemas dan bimbang itu, Hassan terjumpa untanya, tetapi telah mati. Alangkah terkejutnya Hassan.
 

“Pakcik yang membunuhnya,” kata seorang tua yang berada di situ.

“Tetapi bukan sengaja. Unta ini memakan tanaman pakcik, jadi pakcik lontar dengan batu kecil. Kena betul-betul di kepalanya. Tiba-tiba unta ini rebah lalu mati.”

Hassan dalam keadaan bingung kerana terkejut dari tidur, tiba-tiba mencabut pedangnya dan dihayun ke arah orang itu dan terpenggallah leher dari badan.

Hassan seakan-akan baru tersedar dari mimpi dan menyesal yang amat sangat. Hassan lalu mencari keluarga si mati dan menceritakan segala-galanya.

Dua orang anak lelaki kepada orang tua itu terus membawa Hassan kepada Amirul Mukminin hari itu juga. Hassan pun dihadapkan ke mahkamah pengadilan. Dengan dihadiri oleh beberapa orang Sahabat, pembicaraan pun dijalankan.

Setelah mendengar pengakuan Hassan sendiri, Sayidina Umar selaku hakim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hassan. Mendengar itu Hassan berkata:

“Demi Allah, saya lebih sanggup dibunuh di dunia daripada mendapat hukuman Neraka di Akhirat. Tapi, wahai Amirul Mukminin, saya minta ditangguhkan hukuman itu beberapa hari kerana saya hendak pulang memberitahu keluarga saya tentang perkara ini. Mereka semua belum tahu dan kerana jauhnya dari sini tentu mereka tidak akan tahu kalau saya tidak memberitahunya.”

Sayidina Umar tidak dapat memperkenannya kalau tidak ada penjamin. Walaupun Hassan merayu, tetapi Sayidina Umar tetap bertegas.

Akhirnya seorang Sahabat bernama Abu Zar bangun dan berkata, “Sekalipun saya tidak kenal saudara Hassan, namun atas nama Sahabat Rasulullah, saya minta tuan hakim memperkenankan permohonan Hassan. Jika sekiranya Hassan tidak datang pada hari akan dijatuhkan hukuman, maka biarlah saya yang dihukum.”

Dengan jaminan itu, maka Hassan pun dibenarkan pulang ke kampungnya. Sesampai di rumah, Hassan terus memberitahu keluarganya tentang apa yang berlaku dan berkata, “Biarlah saya jalani hukuman di dunia dari hukuman di Akhirat.”

Menangislah ibu bapa dan anak isterinya. Tetapi Hassan tidak lemah semangat, terus dipacunya kuda menuju ke tempat pengadilan. Dia lebih takut kepada Allah dan cintakan Akhirat lebih daripada anak isteri.

Di pertengahan jalan, tiba-tiba tali pacu kudanya putus. Hassan cemas kalau-kalau dengan itu dia terlewat sampai. Bagaimanapun dengan susah payah, Hassan dapat membetulkan tali kekang kudanya dan akhirnya dapat meneruskan perjalanannya, tetapi sudah lewat.

Di padang tempat hukuman hendak dijatuhkan kerana kelewatan Hassan, semua yang menanti sangat cemas. Mereka cemaskan Abu Zar yang terpaksa menggantikan tempat Hassan.

Dalam suasana kecemasan yang memuncak, tiba-tiba berbalam-balam di kejauhan semua yang hadir nampak kuda pacuan berlari kencang menuju ke tempat itu. Setelah yakin Hassan yang datang mereka bertempik, “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Suasana tiba-tiba bertukar menjadi sedih dan terharu. Betapa jujurnya anak muda Hassan memegang janjinya sekalipun nyawanya akan melayang.

Sebaik turun dari kudanya, Hassan mengadap tuan hakim dan berkata, “Demi Allah, saya tidak berniat untuk menempah kelewatan ini. Tali kuda saya putus di tengah padang pasir. Puas saya usahakan mencari tali untuk menyambungnya. Alhamdulillah, saya dapat dan selamat tiba ke sini, tuan hakim.” Kemudian katanya lagi, “Sebelum saya dibunuh, izinkan saya bersembahyang dua rakaat.”

Sayidina Umar pun membenarkan. Dalam doa akhirnya, Hassan berdoa: “Ya Allah, ampunkan keterlanjuranku di dunia dan di Akhirat.”

Selesai menyapu muka, Hassan pun mengadap menyerahkan dirinya untuk menjalani hukuman bunuh. Tetapi pada saat genting itu, tiba-tiba kedua-dua beradik anak si mati mengadap tuan hakim dan berkata,

“Kami telah menyaksikan kejujuran dan keikhlasan saudara Hassan dan telah kami saksikan juga keberanian dan kasih sayang saudara Abu Zar. Juga telah kami saksikan ketegasan dan keadilan Amirul Mukminin menjalankan hukuman Tuhan. Hasilnya, kami memperolehi kekuatan untuk meredhakan kematian ayah kami dengan memaafkan saudara kami Hassan. Lepaskanlah saudara Hassan daripada hukuman, wahai Amirul Mukminin.”

Mendengar itu sekali lagi padang itu bergema dengan laungan, “Allahu Akbar! Allahu Akbar!”

Mereka semua bersyukur kerana terampunnya seorang saudara mereka dari hukuman di dunia dan di Akhirat, insya-Allah.

Banyak yang dapat kita pelajari dari peristiwa bersejarah itu. Dari seorang tua yang berani mengaku salah hingga menemui kematian, kemudian Hassan yang lebih berani mengakui kesalahannya dan menyerahkan diri untuk dibunuh. Kemudian Abu Zar yang berjiwa `sahabat` dan sanggup mati kerananya. Tuan hakim yang tegas dan adil. Akhir sekali dua beradik yang berhati mulia merela dan memaafkan pembunuh ayah mereka.

Dengan hati yang beriman dan berkasih sayang, manusia di zaman Sahabat telah menempa satu sejarah yang agung. Dan dengan hati-hati yang beriman, mereka telah berjaya mengangkat Islam setinggi-tingginya sesuai dengan sifatnya.

Dengan itu mereka bukan sahaja telah menguasai dunia, tetapi sedang menikmati kesenangan dan kerehatan di Alam Barzakh dan akan Allah anugerahkan Syurga. Itulah nasib orang yang bernama mukmin yang sebenar. Sekarang Allah taqdirkan giliran kita untuk menentukan nasib dan maruah diri. Semoga kita menggunakan peluang ini sebaik-baiknya menuruti jejak langkah mereka yang mulia lagi diredhai.
 http://wwwsaja-saja.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan