Wang adalah keperluan, itu adalah benar
dan kerana itulah kita perlu sentiasa mempunyai wang untuk melunaskan
keperluan-keperluan lain kehidupan; makanan, pakaian, tempat tinggal.
Jika anda selalu kehabisan wang sebelum anda melangsaikan
keperluan-keperluan kehidupan anda, mungkin anda tidak sedar yang selama
ini anda dibelenggu 5 sikap yang membuatkan anda kehabisan duit lebih
cepat dari orang lain.
1. Gopoh
Ya, anda mungkin tidak sedar kegopohan
anda untuk menggunakan wang yang ada tanpa berfikir panjang samada wang
itu digunakan ke tempat yang betul atau sebaliknya. Mangsa selalunya
akan merasa menyesal sesudah menyedari dirinya kehabisan wang kerana
pembelian yang tidak dirancang. Tetapi, sesal kemudian tidak berguna,
kan?
2. Rambang Mata
Sikap ini sangat merbahaya untuk wang
anda kerana ini adalah antara punca utama keborosan. Jika anda merasa
ingin membeli semua yang anda tengok di pasaraya, maka bersedialah untuk
pokai lagi bulan ini kerana sikap rambang mata anda itu. Selain dari
sukar membuat pilihan antara barang keperluan dan kehendak, jika anda
seorang yang rambang mata, anda mungkin sukar juga untuk merasa puas
dengan apa yang dimiliki sekaligus menjadikan anda seorang yang tidak
kisah menghabiskan duit untuk kepuasan hati.
3. Tak Tetap Pendirian
Belanjawan, menabung, buku kira-kira,
senarai barang untuk dibeli, semuanya sudah anda sediakan kerana bulan
ini anda tidak mahu poket kosong lagi seperti bulan-bulan sebelumnya.
Tetapi apabila sampai ke pasaraya, belanjawan kemana, senarai barang pun
entah terbang menghilang tidak dapat dikesan. Jika anda tidak tetap
pendirian, masalah pokai sukar untuk pergi dari diri anda dan wang pula
semestinya semakin sukar untuk melekat dalam poket.
4. Terlalu Bermewah
Mungkin anda memang sudah lama
mengidamkan tas tangan Bally, tidak ada masalah jika anda mampu untuk
membelinya. Tetapi jika kewangan anda bukan berada pada tahap optimum
lagi, lebih baik anda tangguhkan niat itu dulu jika tidak mahu berhutang
dengan orang lain semata-mata ingin memuaskan kemahuan bermewah itu.
Ibarat pepatah, “Ukurlah baju pada badan sendiri”.
5. Tak Kisah
Tak kisah esok makan apa, tak kisah esok
nak pergi kerja macam mana. Jika anda ada sikap sebegini, hentikan
sekarang. Sikap tidak ambil pusing tentang masa hadapan bukan sahaja
membawa musibah dari segi kewangan tetapi juga kepada kehidupan secara
keseluruhan kerana anda mungkin bukan setakat menyusahkan diri sendiri,
anda mungkin bakal menyusahkan orang yang rapat dengan anda juga.
Golongan ‘tak kisah’ ini selalunya tidak kisah jika dalam dompet hanya
ada RM200 dan membelanjakan semuanya sekaligus kerana mereka tidak
mempunyai perancangan rapi tentang kewangan. Akhirnya wang mereka akan
habis dengan pantas tanpa mereka sedari.
Jadi sekarang soalannya berbalik kepada
diri anda sendiri, bagaimana untuk menangani sikap ini? Jawapannya, anda
perlu mengubah diri dan membentuk 5 sikap yang akan membantu anda
menjadi individu yang lebih ‘sayang duit’ dari sebelumnya.
1. Berhemah
Berhemah adalah sahabat karib berjimat
cermat. Jika anda dapat berbelanja secara berhemah, sudah pastinya anda
mampu menjimatkan lebih banyak wang. Antara cara perbelanjaan berhemah
adalah:
- Membuat perbandingan harga semasa aktiviti membeli belah.
- Menetapkan belanjawan untuk perbelanjaan.
- Berusaha untuk tidak berbelanja sehingga membazir.
2. Berdisiplin
Pastinya setiap malam sebelum tidur,
anda merancang untuk menjadi orang yang lebih baik pada esok hari. Oleh
itu, jangan jadikannya setakat sebuah perancangan, jadikannya realiti
dan kuatkan semangat untuk menjadikan perancangan anda itu suatu
kejayaan. Sebagai contoh, jika anda merancang untuk memastikan duit
gaji bulan ini mampu bertahan sehingga ke hujung bulan, maka anda
haruslah berdisiplin untuk menahan diri anda dari godaan yang akan
membuatkan anda berbelanja sewenang-wenangnya.
3. Bersederhana
Walaupun anda mempunyai harta setinggi
gunung, tidak semestinya anda harus menghabiskannya dalam satu hari.
Orang paling kaya di dunia pun mempunyai sikap bersederhana, memang elok
untuk kita jadikan itu sebagai contoh tauladan supaya kita merasa
bangga apabila memilih untuk berbelanja secara bersederhana. Anda boleh
jadikan ini suatu tabiat, jika anda berjaya membeli barang pada harga
lebih murah, kongsikan di laman sosial. Pasti ramai yang akan turut
serta dan seterusnya mengikut jejak anda berjimat cermat.
4. Memikir Masa Depan
Menjadi individu yang berwawasan adalah
menjadi individu yang sentiasa memandang jauh ke depan dan bukan sekadar
menjalani kehidupan hari ini sahaja. Berdikit-dikit, menabung,
berbelanja mengikut had merupakan tabiat yang perlu anda pupuk untuk
menjadi seorang yang beringat tentang masa akan datang.
Sekurang-kurangnya, anda tidak perlu runsing bila waktu kesusahan tiba
kerana anda sedikit sebanyak sudah bersedia.
5. Bersabar
Walaupun kelihatan seperti tidak releven
tetapi sikap bersabar dapat membawa perubahan dalam gaya berbelanja
anda lebih-lebih lagi kepada mereka yang gemar berboros. Jika anda
merasa seperti terdorong ingin membeli baju baru, sabar sebentar dan
berfikir samada anda benar-benar memerlukan pembelian itu dan adakah
ianya berbaloi pada waktu itu.
Apabila bercakap tentang berjimat
cermat, siapa kata anda tidak boleh berbelanja langsung? Itu adalah
kesilapan besar. Apa yang anda perlu adalah kawalan ke atas diri anda
untuk berbelanja tanpa meletakkan diri dalam keadaan poket kosong. Yang
lebih penting, elakkan diri anda dari poket kosong kerana jika itu
terjadi, tiada apa yang anda dapat berjimat.
jimatcermat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan