Seorang bekas pelajar UITM Perlis yang kini sedang bertugas di KUIS
telah menyampaikan satu kisah luarbiasa dan menarik mengenai keajaiban
Al Quran khususnya Surah Yaa Sin, kepada kakitangan Ingress, dalam satu
program ceramah agama bulanan syarikat tersebut.
Kisah ini telah
benar-benar memberikan kesan yang mendalam kepada jiwanya mengenai
mukjizat AlQuran khususnya disaksikan sendiri oleh seorang yang bukan
Islam.
Pada suatu hari sekitar tahun 2004, salah seorang kawan
beliau telah terlibat dalam kemalangan jalanraya yang dikategorikan
sebagai amat serius. Salah satu tulang kerangkanya yang patah hampir
mencucuk jantung dan yang satu lagi telah menembusi paru-parunya dan
menyebabkan pendarahan.
Tempurung kepalanya kemek dan pecah.
Bunyi tarikan nafasnya hampir sama seperti seekor lembu yang telah
disembelih dan sedang putus nyawanya. Oleh kerana keadaan beliau sangat
teruk maka beliau telah dimasukkan ke Wad ICU. Dalam keadaan seperti itu
maka tidak ramailah kawan yang boleh ziarah dengan serentak secara
beramai-ramai.
Usaha untuk membantu diteruskan. Doktor terus
memberikan rawatan rapi seperti bantuan pernafasan dan sebagainya.
Bacaan electrocardiogram (ECG) agak rendah sekitar 45 - 50 sahaja. Pada
zahirnya, mangsa ini agak sukar untuk hidup. Walaupun ia akan pulih,
mungkin percakapannya tidak lagi seperti keadaan sebelum kemalangan.
Setelah semua usaha dibuat, maka sebagai orang Islam kepada Allahlah
diserahkan segala-galanya. Ikhtiar berdoa dilakukan. Bacaan Surah Yaa
Siin dimulakan secara beramai-ramai diluar bilik ICU.
Sedang
mereka membaca Yaa Siin, dan belumpun selesai, tiba-tiba doktor Karam
Singh yang bertugas pada hari itu, dengan tergesa-gesa meminta kumpulan
yang membaca Yaa Siin ini masuk ke bilik, walaupun melebihi 2 orang.
Dalam
hati mereka, tertanya-tanya apakah maksudnya tindakan doktor tersebut.
Di atas katil mangsa masih terbaring seperti biasa dan tiada pula tanda
yang menunjukkan ia menemui ajalnya. Dalam fikiran yang penuh
tandatanya, bacaan diteruskan.
Setelah selesai membaca surah Yaa
Siin dan masih lagi berada di sisi katil mangsa, bekas pelajar ini cuba
mengajukan soalannya kepada doktor, "Kenapa doktor suruh kami masuk dan
teruskan membaca Al Quran?"
"Semasa awak membaca awak punya holy
book diluar tadi, dan ketika pintu terbuka untuk bagi orang masuk, saya
lihat bacaan ECGnya naik sampai lebihkurang 70. Ini bukan satu kali,
tetapi berlaku setiap kali pintu terbuka, apabila tutup dia turun
semula. Masa pintu itu buka, suara awak dengar sampai kedalam, dan ada
reaksi positif pada pesakit." Tegas doktor berkenaan.
Subhanallah,
rupanya suara bacaan surah Yaa Sin tadi memberi kesan secara langsung
kepada pesakit tersebut. Inilah kebesaran Allah Subhanahu wa Taala.
Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang Ia kehendaki. Mudah-mudahan
doktor yang merawat peasakit tersebut mendapat petunjuk dan hidayah
daripada Allah swt untuk menganuti agama Islam.
يَا أَيُّهَا
النَّاسُ قَدْ جَاءتْكُم مَّوْعِظَةٌ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَاء لِّمَا فِي
الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ
"Hai manusia,
sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh
bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta
rahmat bagi orang-orang yang beriman." - Surah Yunus ayat 57.
http://ratuhati.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan