Home Klik Di Bawah

Ahad, 19 April 2015

Iblis akan berjaya Menyesatkan seluruh manusia kecuali Satu Golongan

Jalan Sesat
"(Iblis) berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka." [Surah al-Hijr : 39 - 40]
Allah menceritakan perihal iblis dan pembangkangan serta keangkuhannya, bahawa dia berkata kepada Tuhannya;
بِمَا أَغْوَيْتَنِي
"...... oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat......." [Al-Hijr : 39]
 
Sebahagian ulama mengatakan bahawa iblis bersumpah atas nama penyesatan Allah terhadap dirinya. Menurut kami, makna ayat dapat ditakwilkan bahawa "kerana Engkau telah menyesatkan aku".
لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ
"....... pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, ......." [Al-Hijr : 39]
Yang dimaksudkan dengan 'mereka' ialah anak cucu dan keturunan Adam a.s. Dengan kata lain, iblis mengatakan, "Sesungguhnya aku akan membuat mereka senang dan memandang baik perbuatan-perbuatan maksiat, dan aku akan anjurkan mereka serta mengiring mereka dengan agresif untuk melakukan kemaksiatan." 
وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ 
"....... dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya." [Al-Hijr : 39]
Yakni sebagaimana Engkau telah menyesatkan aku dan menakdirkanku menjadi sesat, maka aku akan berupaya keras untuk menyesatkan mereka. 
إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
"Kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka." [Al- Hijr : 40]
Ayat ini semakna dengan yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman- Nya;
"Terangkanlah kepadaku inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil." [Surah Al-lsra : 62]
[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Hijr, ayat 39 - 40]
Hal yang sama juga disebutkan dalam ayat berikut;
قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ . إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
"(Iblis) menjawab "Demi kekuasaan Engkau aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hamba Mu yang mukhlis di antara mereka"." [Surah Shaad : 82 - 83]
Iblis akan berusaha sedaya upaya setiap masa untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah. Ini ditunjukkan lagi dalam ayat berikut;
"(Iblis) menjawab: "Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus, kemudian aku akan mendatangi mereka dari depan dan belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur (taat)"." [Surah al-A'raaf : 16 - 17]
Hanya golongan yang ikhlas kerana Allah akan terselamat dari penyesatan Iblis. Ikhlas adalah tanpa riya', 'ujub, sum'ah. Ikhlas bukannya dengan memberitahu orang lain bahawa kita ini ikhlas. Biarlah orang kata kita tidak ikhlas, asalkan kita sendiri tahu bahawa kita betul-betul ikhlas kerana Allah.
Betapa utamanya ikhlas, hinggakan Imam al-Bukhari pun meletakkan hadits berkenaan ikhlas pada permulaan kitab Shahih-nya. Begitu juga Imam an-Nawawi meletakkan hadits ikhlas pada permulaan kitab Hadits 40 beliau. Dan Imam as-Syafi'e mengatakan bahawa hadits ikhlas itu adalah sepertiga ilmu dan merupakan 70 cabang dalam fiqh.
Zaman sekarang, cabaran kepada ikhlas semakin besar dengan adanya media-media sosial seperti Facebook, Twitter, Myspace, Friendster dan sebagainya. Sangat mudah untuk menunjuk-nunjuk dan memberitahu kepada ramai orang tentang ibadah dan kebaikan-kebaikan yang kita lakukan. Semoga Allah S.w.t jauhkan kita dari beramal kerana manusia, kerana dibimbangi amalan kita akan sia-sia dan pahala hilang, malah kita akan mendapat dosa besar pula (contohnya kerana riya'), na'udzubillahi min dzaalik. Allahul Musta'an.

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ
"Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan yang demikian itulah Agama yang benar." [Surah al-Bayyinah : 5]

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kalian, juga harta kalian, akan tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kalian." [HR Muslim no. 4651]
unikversiti
Wallahu a'lam .......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan