Home Klik Di Bawah

Ahad, 12 April 2015

Kisah Sahabat Wanita Cemburu terhadap apa yang Lelaki dapat

Traditional Malay 3d house
"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [Surah an-Nisaa' : 32]
Imam Ahmad berkata, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari ibnu Abu Nujaih dan dari Mujahid yang menceritakan bahawa Ummu Salamah r.a. pernah berkata, "Wahai Rasulullah, kaum lelaki boleh ikut berperang, sedangkan kami (kaum wanita) tidak boleh ikut berperang, dan bagi kami hanya separuh warisan (yang diterima lelaki)." Maka Allah swt. menurunkan firman-Nya:
وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللَّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ
"Dan janganlah kalian iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kalian lebih banyak dari sebahagian yang lain......." [An-Nisaa' : 32]
 
Ibnu Abu Hatim, Ibnu Jarir, Ibnu Murdawaih, dan Imam Hakim di dalam kitab Mustadrak-nya telah meriwayatkan melalui hadits As-Tsauri, dari Ibnu Abu Nujaih, dari Mujahid yang menceritakan bahawa Ummu Salamah pernah berkata, "Wahai RasuluIIah, mengapa kami tidak boleh berperang dan tidak dapat mati syahid, dan mengapa kami tidak dapat mewaris (sepenuhnya)?" Maka turunlah ayat ini, dan Allah menurunkan pula firman-Nya:
"Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang-orang yang beramal di antara kalian, baik lelaki ataupun perempuan." [Aali Imran: 195]
Ali ibnu Abu Talhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas berhubungan dengan ayat ini (an-Nisaa' : 32), janganlah seorang lelaki berharap melalui ucapannya, "Aduhai, sekiranya aku mempunyai harta dan isteri seperti yang dimiliki oleh si Fulan." Maka Allah S.w.t melarang hal tersebut, tetapi hendaklah dia memohon kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya.
Al-Hasan, Muhammad ibnu Sirin, Ata, dan Ad-Dahhak mengatakan hal yang semisal. Pengertian ini merupakan makna lahiriah dari ayat. Akan tetapi, tidak termasuk ke dalam pengertian ini hal berikut yang disebutkan di dalam sebuah Hadits Shahih, iaitu:
"Tidak boleh dengki kecuali dalam dua hal, iaitu (terhadap) seorang lelaki yang telah dianugerahkan oleh Allah harta yang banyak, lalu dia menginfakkan / membelanjakan) nya di jalan yang hak, dan ada lelaki lain mengatakan, "Seandainya aku mempunyai apa yang sebanding dengan yang dipunyai oleh si Fulan, nescaya aku akan mengamalkan hal yang sama," kedua-duanya beroleh pahala yang sama.
Maka sesungguhnya iri hati yang disebutkan di dalam hadits ini bukan termasuk hal yang dilarang oleh ayat ini. Demikian itu kerana hadits menganjurkan berharap untuk memperolehi nikmat yang sebanding dengan apa yang diperoleh si Fulan. Sedangkan makna ayat melarang berharap mempunyai kebendaan yang sebanding dengan apa yang dimiliki oleh si Fulan tersebut.
Allah S.w.t berfirman;
"Dan janganlah kalian iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kalian lebih banyak dari sebahagian yang lain......." [An-Nisaa' : 32]
Yakni yang berkenaan dengan masalah-masalah duniawi; demikian pula dengan masalah-masalah agama, kerana berdasarkan kepada hadits Ummu Salamah dan Ibnu Abbas.
Hal yang sama dikatakan oleh Atha' ibnu Abu Rabah, bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan larangan mengharapkan dapat memiliki apa yang dimiliki oleh orang lain, berkenaan dengan harapan kaum wanita yang menginginkan agar mereka seperti lelaki sehingga mereka dapat berperang. Demikianlah menurut riwayat Ibnu Jarir.
Kemudian Allah S.w.t berfirman:
لِلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبُوا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِمَّا اكْتَسَبْنَ
"....... (Kerana) bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan......." [An-Nisaa' : 32]
Dengan kata lain, setiap ganjaran disesuaikan dengan amal perbuatannya. Jika amal perbuatannya baik, maka balasannya pun baik; jika amal perbuatannya buruk, maka balasannya pun buruk juga. Demikianlah menurut pendapat Ibnu Jarir.
Menurut pendapat yang lain, makna yang dimaksudkan dengan hal tersebut berkaitan dengan masalah miras (warisan). Dengan kata lain, setiap ahli waris mendapat bahagian sesuai dengan kedudukannya dengan si mayat. Demikianlah menurut Al-Wabili dari Ibnu Abbas.
Kemudian Allah memberikan petunjuk kepada mereka untuk melakukan hal yang bermaslahat buat diri mereka. Untuk itu Allah S.w.t berfirman:
وَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ
"....... dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya ......." [An-Nisaa' : 32]
Dengan kata lain, janganlah kalian iri-hati terhadap apa yang telah Kami lebihkan buat sebahagian dari kalian atas sebahagian yang lain, kerana sesungguhnya hal ini merupakan takdir. Dengan kata lain, berharap untuk memperolehinya merupakan hal yang tidak ada manfaatnya sama sekali. Tetapi mintalah kalian sebahagian dari kemurahan-Ku, nescaya Aku akan memberi kalian, kerana sesungguhnya Aku Maha Mulia lagi Pemberi.
Kemudian Allah S.w.t berfirman:
إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمًا
"....... Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [An-Nisaa': 32]
Dia Maha Mengetahui terhadap orang yang berhak memperolehi duniawi, lalu Dia memberinya sebahagian dari duniawi; juga terhadap orang yang berhak mendapat kemiskinan, lalu Dia membuatnya miskin. Dia Maha Mengetahui terhadap orang yang berhak mendapat pahala ukhrawi, lalu Dia memberinya taufik untuk mengamalkannya. Dia Maha Mengetahui terhadap orang yang berhak mendapat kehinaan, lalu Dia membuatnya hina hingga tidak dapat melakukan kebaikan dan penyebab-penyebabnya.
[Petikan dari kitab Tafsir Ibnu Katsir, Surah an-Nisaa' ayat 32 - Imam Ibnu Katsir]
Di dalam suatu riwayat, ada dikemukakan bahawa Ummu Salamah berkata; "Kaum lelaki pergi berperang, sedangkan kaum wanita tidak, dan kita hanya mendapat setengah daripada pembahagian harta pusaka lelaki." Allah menurunkan ayat ini (Surah an-Nisaa' : 32) sebagai teguran untuk tidak iri-hati dengan ketetapan Allah.
Malahan sehubungan dengan itu, turunlah ayat (Surah al-Ahzaab : 35) sebagai penjelasan bahawa Allah S.w.t tidak membezakan antara Muslimin dan Muslimat di dalam memberi keampunan dan pahala. [Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan al-Hakim dari Ummu Salamah]
Dalam riwayat lain pula, ada dikemukakan bahawa seorang wanita mengadu kepada Rasulullah dengan berkata, "Ya Nabiyullah! Kaum lelaki mendapat dua bahagian melebihi wanita di dalam pembahagian harta pusaka dan dua orang saksi wanita sama dengan seorang saksi lelaki. Apakah di dalam beramal pun begitu juga? (iaitu amal baik seorang wanita mendapat setengah daripada jumlah pahala lelaki).
Maka Allah menurunkan ayat ini (an-Nisaa' : 32) sebagai penjelasan bahawa lelaki dan wanita akan mendapat balasan yang sama sesuai dengan amalannya. [Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, dari Ibnu Abbas]
[Imam as-Suyuthi - Lubaabun Nuquul fii Asbaabin Nuzuul]


p/s: Ada juga wanita yang tidak puas hati kerana seakan-akan kedudukan mereka di bawah kaum lelaki. Ada juga yang tidak puas hati kerana kenapa wanita sahaja yang mengandung, datang haidh, kena pakai tudung dan menutup aurat lebih banyak dari lelaki, tidak boleh itu ini. Padahal, kaum lelaki pun ada perkara-perkara yang terbatas, seperti tidak boleh memakai cincin dan perhiasan emas, suami menanggung dosa isteri jika dia tidak menegur (atau membiarkan isteri buat maksiat), wajib menanggung nafkah isteri dan macam-macam lagi.

Hakikatnya, masing-masing ada batas dan kewajipan masing-masing, maka perlu saling faham-memahami antara satu sama lain, agar dunia ini aman. Wallahu a'lam .......
unikversiti

Tiada ulasan:

Catat Ulasan