Home Klik Di Bawah

Selasa, 14 April 2015

Tip Kecantikan Dari Rumah Yang Boleh Menjimatkan Wang

Pada masa kini, produk kecantikan boleh dikatakan sebagai keperluan untuk individu-individu yang mementingkan imej dan ketrampilan dari hujung rambut ke hujung kaki, lalu setiap bulan golongan ini berlumba-lumba membeli serum wajah A, krim anti penuaan B atau mungkin tonik rambut C, tidak termasuk rawatan spa terkini; terapi oksigen, rawatan Ultrasonic untuk mata dan wajah serta terapi rawatan laser.

Sesuai dengan fitrah wanita yang sentiasa ingin kelihatan cantik, muda dan tiada cela, ramai yang sanggup berhabis sehingga ribuan ringgit setiap bulan untuk memastikan kemahuan yang satu ini tercapai.

Tetapi, kami disini adalah pejuang Jimat Cermat tegar, ingin berkongsi dengan anda tentang panduan-panduan kecantikan dari bahan yang lebih semulajadi serta murah untuk amalan kecantikan anda.  Teruskan membaca!


MADU untuk Keserian Wajah

Madu sudah terkenal seantero dunia dengan kepelbagaian khasiat samada untuk dalaman mahupun luaran. Sejarah menceritakan bagaimana orang-orang terdahulu menggunakan madu dalam penjagaan kesihatan.

Bagi orang masa kini, madu lebih banyak digunakan sebagai bahan masakan dan pemanis minuman.  Kaya dengan khasiat antaranya Vitamin C dan Vitamin E yang memang diketahui bagus untuk kesihatan kulit, serta zat-zat galian lain, penggunaan madu untuk kecantikan adalah sesuai untuk diamalkan disamping menjimatkan.

Bukan sahaja ianya murah (dari RM15 sebotol), madu juga tiada tarikh luput seperti yang diceritakan sewaktu penemuan makam Raja Tutankhamun pada 1922 oleh Horward Carter, terdapat balang yang mengandungi sarang lebah yang mengandungi madu dan madu itu masih boleh dimakan.

Antara amalan kecantikan menggunakan madu ialah dengan mengambil 4 titis madu dan sapukan rata ke seluruh wajah pada waktu malam.  Biarkan selama 20 minit kemudian boleh dicuci dengan air sejuk.  Madu yang juga merupakan anti bakteria semulajadi boleh membantu membersihkan kulit dari bakteria yang menyebabkan jerawat.

Anda boleh nampak bagaimana wajah akan menjadi berseri-seri secara semulajadi selepas penggunaan rutin.  Tetapi, pastikan anda menggunakan madu asli untuk jadikan amalan ini berkesan. 
honey on face

Selesaikan Masalah Kulit Kepala Dengan LIMAU NIPIS

Seringkali limau nipis digunakan sebagai salah satu bahan masakan serta minuman.  Rasanya yang masam dengan aroma kuat menjadikan limau antara bahan yang selalu ada di dapur orang-orang Malaysia.

Jika anda salah seorang dari individu yang selalu keguguran rambut, tiba masa untuk anda gunakan limau untuk menyelesaikan masalah kulit kepala anda.  Sebiji sudah cukup, perahkan jusnya dan sapukan rata ke seluruh kepala lalu dibiarkan semalaman.  Rajinkan diri anda untuk lakukan rawatan ini setiap hari sehingga masalah keguguran rambut anda selesai.

Kebaikan tambahan selepas melakukan rawatan keguguran rambut menggunakan limau nipis adalah, masalah kelemumur anda juga boleh hilang selain dari mendapat rambut yang berbau harum lagi segar.
rambut-gugur

SERBUK KOPI untuk Lulur

Berita gembira kepada peminat kopi lebih-lebih lagi yang selalu membancuh kopi di rumah.  Kini anda mempunyai sebab terbaik untuk tidak membuang serbuk kopi yang sudah digunakan itu kerana ianya sangat sesuai untuk digunakan sebagai lulur badan.

Selain dari kafein, kopi juga mengandungi magnesium, asid organik, alkaloid, potassium serta mineral lain yang sangat baik untuk kesihatan kulit.  Ramai yang tidak tahu tentang khasiat kopi yang boleh menegangkan kulit, menghaluskan kulit, membuang selulit serta menyegarkan kulit wajah dan tubuh jika digunakan sebagai lulur atau scrub.

Jangan risau apabila menggunakan serbuk kopi kerana ia tidak akan membuat kulit anda menjadi gelap.  Caranya juga amatlah mudah, hanya ambil serbuk kopi yang sudah dicampur sedikit air agar menjadi pes lalu disapukan ke kulit dan lulurkan perlahan-lahan untuk menanggalkan daki-daki degil yang melekat di kulit.  Kekerapan yang paling baik adalah 2x seminggu, usai lulur, cuci bersih kulit anda.

Anda pasti kagum apabila merasakan perbezaan pada kulit sebelum dan selepas menggunakan lulur serbuk kopi.  Bukan hanya di badan, wajah juga boleh dilulur dengan serbuk kopi!

Processed with VSCOcam with t1 preset

Serap Minyak di Wajah dengan TEPUNG JAGUNG

Siapa kata tepung jagung hanya untuk memekatkan sup atau sebagai bahan untuk membuat kek? Ramai yang mengalami keadaan kulit berminyak kerana masalah hormon serta keadaan cuaca panas dan lembap di negara ini yang membuatkan kulit ‘bersinar-sinar’ sewaktu selfie.

Kulit yang berminyak boleh membuatkan partikel debu mudah melekat ke wajah sekaligus menjadi punca masalah jerawat.  Antara cara termurah dan termudah untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan membancuh tepung jagung sehingga menjadi pes lalu sapukan ke wajah.  Anda hanya perlukan sekadar satu sudu kecil tepung jagung dan beberapa titis air untuk merealisasikan cara ini.

Selepas sapu bancuhan ke wajah, tunggu sehingga ianya kering dan kemudian basuhlah dengan air suam sehingga betul-betul bersih.  Sudah pasti anda ingin tidur malam dengan wajah yang bebas dari kotoran dan minyak.
Cornstarch3

AIS BATU untuk Mengecilkan Pori-pori Wajah

Pori wajah yang besar memang menyakitkan hati kerana bukan sahaja boleh menimbulkan masalah jerawat, ia juga membuatkan sapuan solekan menjadi tidak kemas dan rata.  Antara punca liang pori menjadi besar adalah kerana terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari, merokok, faktor pemakanan tidak sihat serta penuaan.

Cara paling mudah untuk mengatasi masalah ini adalah dengan membalut ais dengan tuala bersih lalu dituamkan ke wajah secara rata selama 10 minit.  Amalan ini bukan sahaja dapat mengecilkan pori, ianya juga dapat memberikan kesegaran kepada kulit wajah serta mengurangkan kekusaman pada wajah dan mata.  Menggunakan ais adalah cara termurah dan termudah yang boleh dilakukan sambil bersantai di rumah untuk rejim mencantikan kulit wajah.

ice-cube-to-reduce-pimple-in-1-day
Itu dia antara amalan-amalan atau petua kecantikan untuk anda lakukan di rumah yang pastinya dapat menjimatkan puluhan malah ratusan ringgit wang anda setiap bulan.  Anda boleh mencuba rejim kecantikan baru ini untuk mendapatkan wajah dan kulit yang cantik tanpa perlu menghabiskan duit untuk mendapatkan hasil yang sama.  Hanya sedikit kerajinan (sedikit sahaja, tidak banyak) dan selepas itu anda boleh berselfie tanpa perlu bantuan Camera 360 lagi!
 jimatcermat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan