Home Klik Di Bawah

Ahad, 24 Mei 2015

Fakta Menarik - 5 Mitos Pemakanan Yang Popular Di Malaysia

Kita sering dimomokkan atau diwar-warkan dengan pelbagai mitos berkaitan diet dan pemakanan. 

Kebanyakan rakyat Malaysia mudah percaya bulat-bulat tentang mitos yang disampaikan kepada mereka. Kesannya, ramai yang mempraktikkan mitos-mitos ini tanpa mengkaji kesahihannya atau merujuk kepada yang pakar.

Antara mitos pemakanan yang terkenal di Malaysia ialah:


1. Makan nasi, menggemukkan!

Nasi bukanlah penyebab kegemukan, tetapi kuantiti nasi yang kita ambil secara berlebihan adalah puncanya. Nasi merupakan salah satu sumber karbohidrat serta makanan ruji rakyat Malaysia. Karbohidrat merupakan sumber tenaga utama yang diperlukan oleh tubuh dan otak. Isunya bukanlah apa yang kita makan, tetapi berapa banyak kuantiti makanan yang kita ambil.

Jika seseorang menggantikan nasi kepada roti dalam diet hariannya, kerana takut gemuk, berwaspadalah dengan kuantiti roti yang anda ambil. Hal ini kerana, 1 keping roti = 1 senduk nasi! Oleh itu, ambillah karbohidrat mengikut kadar tenaga yang diperlukan oleh badan anda, bukan diambil secara berlebihan.

2. ‘Berdiet’ (tidak makan) untuk menurunkan berat badan.

Amalan ‘berdiet’ amat popular bagi individu yang sedang berusaha untuk menurunkan berat badan. Namun, tidak mengambil hidangan utama seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam adalah cara yang salah. Walaupun anda akan mendapati berat badan anda menurun pada peringkat permulaan, tetapi penurunan ini tidak akan konsisten.

Hal ini kerana, apabila hidangan utama tidak diambil, secara automatiknya, badan akan menganggap bahawa anda sedang kebuluran disebabkan oleh tempoh berlapar yang agak panjang. Anda berisiko untuk makan dengan kadar yang banyak dalam satu masa, badan pula akan menyekat jumlah kalori tersebut daripada digunakan sebagai tenaga.

Jadi, makanlah dalam kuantiti yang sedikit untuk setiap hidangan utama sepanjang hari bersama snek yang sihat sebagai hidangan selingan untuk membantu mengawal selera anda.

olive-oil-356102_1280

3. Semua jenis lemak adalah bahaya!

Tidak! Semua nutrien termasuk lemak, mempunyai peranan yang penting untuk tubuh badan manusia. Lemak hanya akan mengundang masalah jika diambil dengan banyak atau dalam kadar yang salah. Secara umumnya, lemak terbahagi kepada dua, lemak tepu dan lemak tidak tepu. Kedua-duanya diperlukan dalam kadar yang sepatutnya.

Hadkan pengambilan lemak tepu seperti santan, susu pekat manis, ghee, butter dan kulit ayam. Lebihkan pengambilan lemak tidak tepu seperti kekacang, ikan, minyak sayuran (minyak bunga matahari, minyak zaitun, minyak canola). Lemak tidak tepu adalah pilihan yang lebih baik berbanding lemak tepu kerana mengandungi vitamin, antioksida dan asid lemak yang diperlukan oleh badan kita.

4. Saya kurus, mesti kolesterol rendah.

Awas! Jangan terus menganggap bahawa badan yang kurus akan terlepas daripada kolesterol yang tinggi dalam darah. Kolesterol tinggi dalam darah adalah berpunca daripada faktor-faktor seperti pengambilan kolesterol dan lemak tepu yang berlebihan, kurang bersenam, merokok dan faktor genetik.
Kolesterol yang tinggi dalam darah akan mengakibatkan arterosklerosis (penyempitan salur darah) yang membawa kepada strok atau serangan jantung jika tidak dirawat. Periksalah tahap kolesterol dalam darah anda sekarang, kerana ianya boleh membunuh secara senyap!

diet-695723_1280

5. Santan selamat digunakan kerana bebas kolesterol.

Santan sememangnya bebas kolesterol kerana kolesterol hanya terkandung dalam haiwan dan sumber haiwan sahaja. Namun, awas kerana santan tinggi kandungan lemak tepu! Pengambilan santan secara berlebihan boleh mengakibatkan peningkatan kadar kolesterol ‘jahat’ (LDL cholesterol) dalam darah.
Oleh itu, hadkan pengambilan serta penggunaan santan dalam menu seharian. Gantikan santan dengan susu rendah lemak di dalam masakan. Ayuh bersama mengurangkan risiko penyakit jantung!
Para pembaca yang prihatin,

Rungkaikanlah segala mitos-mitos yang anda dengar atau percaya, dengan mencari kesahihan fakta tersebut. Elakkan amalan pemakanan yang hanya berdasarkan mitos semata-mata kerana ini boleh menjejaskan kesihatan. Amalkan gaya hidup sihat yang sebenar. Anda mampu mengubahnya!
Sekian, terima kasih.

Sumber : Prevent NCDs_Nutrition Month Malaysia 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan